Tragedi nahas helikopter di Ulu Baram, Sarawak mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan orang ramai, termasuk mengenai terjunan kecemasan yang dianggap sesetengah pihak sebagai jalan untuk menyelamatkan diri ketika berlaku kecemasan di udara.
Namun menurut bekas juruterbang Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kapten Mohd Ezairol Rezan Zainol, proses itu bukan sesuatu yang boleh dilakukan sesuka hati kerana ia melibatkan prosedur keselamatan yang ketat, selain bergantung kepada ketinggian pesawat.
NAHAS HELIKOPTER: TERJUNAN KECEMASAN PERLU KETINGGIAN MINIMUM 1,000 KAKI

Bekas juruterbang PDRM, Kapten Mohd Ezairol Rezan Zainol.
Beliau berkata, pesawat perlu berada pada paras melebihi 1,000 kaki atau kira-kira 305 meter sebelum sebarang terjunan dapat dilakukan dengan selamat.
“Apabila ketinggian pesawat tidak melebihi 1,000 kaki, semua penerjun tidak dibenarkan terjun kerana jika terjun sekali pun, payung terjun dikhuatiri tidak sempat terbuka dan kembang dengan baik, seterusnya membahayakan nyawa penerjun,” katanya ketika dihubungi media tempatan.
Dalam kejadian Selasa lalu, helikopter BO-105 yang membawa petugas kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) terhempas dan terbakar berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram.
Lima mangsa yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Sham Bee, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, pembantu pegawai perubatan Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya yang sedang dalam perjalanan untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.
Bukan semua orang dibenarkan terjun
Mohd Ezairol menjelaskan, tidak semua individu layak melakukan terjunan dari pesawat kerana ia memerlukan latihan khas, kemahiran dan tahap kesihatan tertentu.
“Jika berlaku kecemasan pada ketinggian tidak mencapai 1,000 kaki, juruterbang tidak benarkan penerjun keluar dan perlu kekal dalam pesawat.
“Tidak kiralah penerjun profesional yang mahir dan berpengalaman luas sekali pun, mereka tetap perlu kekal dalam pesawat dan mengikut arahan juruterbang,” katanya.

Nahas helikopter di Long Lellang, Sarawak.
Beliau turut menjelaskan tindakan keluar dari pesawat tanpa arahan boleh mengganggu keseimbangan atau pusat graviti helikopter, sekali gus menjejaskan usaha juruterbang untuk mengawal pesawat.
Pada situasi kecemasan di altitud rendah, kebiasaannya juruterbang akan berusaha melakukan pendaratan kecemasan di lokasi yang dirasakan paling selamat.
“Pada masa kecemasan dan kritikal, hanya juruterbang saja tahu cara terbaik selamatkan helikopter dan semua penumpang.
“Dalam nahas di Ulu Baram ini, saya percaya juruterbang sudah mencuba yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa. Mungkin lokasi nahas itu pilihan terbaik kerana kedudukan geografi dan kawasan hutan tebal tidak mempunyai kawasan selamat untuk melakukan pendaratan,” katanya.
Baca juga: Penerbangan Perubatan Doktor Udara Bertukar Tragedi, Ini Kronologi Nahas Helikopter Di Long Lellang
Mengapa helikopter penyelamat tidak diterbangkan segera?
Menjawab persoalan mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR), Mohd Ezairol berkata helikopter yang membawa petugas kesihatan itu berlepas dari Miri, manakala helikopter penyelamat pula berada di pangkalan di Kuching.
Menurutnya, perjalanan terus dari Kuching ke Long Lellang menggunakan helikopter komersial ringan boleh mengambil masa antara tiga hingga empat jam, bergantung kepada keadaan cuaca dan angin.
Selain itu, faktor jerebu serta penglihatan yang terhad pada waktu petang turut meningkatkan risiko kepada kru SAR.
“Keadaan penglihatan di Miri jika dibandingkan dengan di Kuching pada sebelah petang tidak sama dan jauh berbeza,” katanya.
Penjelasan ini sekali gus membantu orang ramai memahami bahawa dalam situasi kecemasan penerbangan, setiap keputusan yang dibuat bergantung kepada faktor teknikal, keselamatan dan arahan juruterbang yang berada di kokpit.
Sumber: Berita Harian
