Isu dakwaan elaun FDS sebanyak RM30 yang diterima petugas Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) rupanya sudah mendapat perhatian Kementerian Kesihatan (KKM) sejak tahun lalu, malah cadangan penambahbaikan telah dibawa kepada pihak berwajib.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kebajikan petugas yang menjalankan tugas melalui perkhidmatan udara itu sememangnya diberi perhatian, termasuk soal elaun yang dianggap sewajarnya dengan tanggungjawab mereka.
ELAUN FDS RM30

Gambar BERNAMA: Dzulkefly Ahmad pada sidang media khas berhubung insiden helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS).
Menurut beliau, KKM sudah mengemukakan cadangan berkaitan elaun petugas FDS pada November 2025 dan kini masih menunggu keputusan rasmi daripada pihak berkaitan.
“KKM memahami dakwaan berhubung elaun RM30 yang diterima petugas FDS dan sudah mengambil langkah lebih awal dengan membawa perkara itu kepada pihak berwajib.
“Antara yang kami angkat, antara cadangan yang kami angkat adalah elaun ‘Flying Doctors’ yang sudah pun kita bawa pada tahun lalu, penghujung tahun lalu, bulan November secara tepatnya 2025.
“Kami yakin akan dapat satu respons positif daripada pihak berwajib dan berkaitan. Kita tahu kita perlu memberikan yang sewajarnya. Sebab itu kami telah mengangkat isu elaun ini awal lagi,” katanya dalam sidang media khas, semalam.
Baca juga: Penerbangan Perubatan Doktor Udara Bertukar Tragedi, Ini Kronologi Nahas Helikopter Di Long Lellang
KKM tunggu keputusan rasmi
Dr Dzulkefly berkata, perkembangan lanjut mengenai cadangan penambahbaikan itu akan dimaklumkan selepas KKM menerima keputusan rasmi daripada pihak berwajib.
“Secara faktanya kita sudah pun mengangkat itu dan insya-Allah kami akan dapat memberikan keputusan itu kepada rakan-rakan media sejurus kita dapat kemas kini,” katanya.
Dalam masa sama, aspek keselamatan petugas FDS turut menjadi keutamaan KKM, terutama berkaitan penggunaan serta penyelenggaraan helikopter yang disediakan menerusi perkhidmatan kontrak.
“Hal yang terkait dengan teknikal, hal terkait dengan keselamatan itu tidak dikompromi sama sekali.
“Kita pastinya mahu keselamatan dan standard di tahap yang terbaik,” katanya.
FDS penting untuk penduduk pedalaman
Perkhidmatan Doktor Udara atau FDS sudah beroperasi sejak 1970-an bagi membantu menyediakan akses kesihatan kepada penduduk di kawasan pedalaman, khususnya di Sarawak yang mempunyai kawasan sukar dihubungi melalui jalan darat.
KKM tidak memiliki aset helikopter sendiri bagi perkhidmatan itu, sebaliknya menggunakan pendekatan sewaan atau kontrak untuk menyediakan pengangkutan udara kepada petugas kesihatan.
Isu berkenaan turut menjadi perhatian selepas sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang dilaporkan terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, Selasa lalu.
Lokasi kejadian dilaporkan kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak.
Sumber: Harian Metro
FT Image: BERNAMA

