Bukan calang-calang pencapaiannya apabila murid Tahun Lima, Nur Aamily Saffiya Muhd Zabari Izyan, 11, berjaya membawa pulang pingat emas dalam pidato umum di United Kingdom (UK), selepas sebelum ini turut mencipta kejayaan di Dubai.
Kejayaan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Tok Mahat itu ternyata membanggakan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, yang menyifatkan pencapaiannya pada usia muda sebagai contoh keyakinan yang perlu diterapkan dalam diri murid.
Baca juga: “Akidah Cucu Dijaga Sebaik Mungkin”– Nenek Berbeza Agama Besarkan Hazizah & Kini Berjaya Jejak UUM
FADHLINA BANGGA NUR AAMILY SAFFIYA JUARAI PIDATO UMUM DI UK

Gambar FB Fadhlina Sidek: Murid Tahun Lima SK Permatang Tok Mahat itu rangkul emas selepas menang perak dalam pertandingan di Dubai, Februari lalu.
Nur Aamily bukan sahaja muncul juara kategori Public Speaking pada pertandingan iWISE London Global Final 2026 di University of Surrey, malah turut berada dalam kelompok tiga peserta terbaik keseluruhan bagi kategori Bahasa Inggeris.
“Februari lepas dia berucap di Dubai dan pulang dengan pingat perak. Ogos dia terbang pula ke University of Surrey di United Kingdom.
“Kali ini bukan sahaja menang emas Public Speaking (pidato umum), malah menjadi antara tiga peserta terbaik keseluruhan bagi kategori Bahasa Inggeris.
“Sebagai Menteri Pendidikan, inilah keyakinan yang kita mahu tumbuhkan dalam diri anak-anak kita. Sebagai Ahli Parlimen Nibong Tebal pula, saya tumpang bangga. Ini anak kita,” katanya menerusi hantaran Facebook semalam, selepas menyantuni murid berkenaan.
Lebih menarik, kejayaan Nur Aamily bukan sekadar tentang pingat yang dibawa pulang.
Dalam pertemuan tersebut, Fadhlina turut menyampaikan sebuah iPad kepada murid berkenaan bagi membantu pembelajarannya serta menjadi teman untuk terus meneroka lebih banyak perkara.
Menurut Fadhlina, pencapaian Nur Aamily membuktikan murid pada usia muda mempunyai ruang yang luas untuk berkembang apabila diberikan peluang dan keyakinan.
“Saya suka melihat anak-anak begini. Bukan semata-mata kerana pingat yang dibawa pulang, tetapi kerana pada usia 11 tahun, dunianya sudah begitu luas untuk diteroka,” katanya.
Beliau turut berharap Nur Aamily terus melangkah jauh dan mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
Bermula secara dalam talian, akhirnya sampai ke UK

Perjalanan Nur Aamily ke pentas antarabangsa sebenarnya bermula dari Malaysia apabila dia menyertai pusingan kelayakan secara dalam talian.
Pencapaian itu melayakkannya beraksi di Final Dubai Global pada Februari lalu dan dia berjaya membawa pulang pingat perak.
Tidak berhenti di situ, Nur Aamily sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila beraksi di iWISE London Global Final 2026 di University of Surrey pada Ogos.
Pertandingan tersebut menghimpunkan kira-kira 500 peserta dari 29 negara, manakala Nur Aamily bersaing dengan 50 peserta untuk anugerah Best Performer sebelum berjaya menduduki tempat ketiga.
Daripada kelayakan secara dalam talian, membawa pulang perak dari Dubai dan akhirnya meraih emas di UK, perjalanan Nur Aamily pada usia 11 tahun jelas menunjukkan sejauh mana seorang murid sekolah rendah mampu pergi apabila berani mencuba.
Sumber: Facebook Fadhlina Sidek / Berita Harian
