Gelang magnet, air alkali, bengkung infrared hingga produk berasaskan hydrogen antara contoh produk kesihatan tular yang pernah menjadi trend dan dipromosikan dengan pelbagai dakwaan manfaat kepada tubuh.
SENARAI PRODUK KESIHATAN TULAR PERNAH JADI TREND

Gambar hiasan: Gemini AI
Perkara itu mendapat perhatian Public Health Malaysia (PHM) menerusi hantaran di Facebook yang mengingatkan orang ramai supaya tidak terus mempercayai sesuatu produk hanya kerana ia disertakan testimoni atau menggunakan istilah teknologi yang kedengaran canggih.
Menurut PHM, trend produk sebegini silih berganti mengikut zaman, namun pendekatan pemasaran yang digunakan sering mempunyai persamaan.
Antara ayat yang biasa digunakan termasuk “ramai dah cuba”, “badan rasa lain”, “teknologi baru” dan “bukan ubat, sekadar ikhtiar”.
Testimoni pelanggan, demonstrasi produk dan sesi percubaan percuma juga sering digunakan untuk meyakinkan bakal pembeli bahawa sesuatu produk benar-benar memberikan kesan.
PRODUK BERUBAH, STRATEGI PEMASARAN HAMPIR SAMA
PHM berkata, tidak salah untuk seseorang menjalankan perniagaan, namun orang ramai perlu membezakan antara promosi jualan dengan nasihat berkaitan kesihatan.
Penjual sememangnya akan mengetengahkan manfaat sesuatu produk kerana tujuan utama mereka adalah untuk menjual.
Justeru, pengguna disarankan supaya tidak hanya bergantung kepada penerangan daripada penjual apabila sesuatu produk dikaitkan dengan kesihatan.
Sebaliknya, persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana dakwaan tersebut disokong oleh bukti yang kukuh.
“Bila melibatkan kesihatan, jangan tanya penjual sahaja. Tanya: bukti dia mana?” tulis PHM.
ANTARA PRODUK KESIHATAN YANG PERNAH JADI TREND
Menerusi gambar rajah yang dikongsikan, PHM turut menyenaraikan beberapa produk atau teknologi yang pernah mendapat perhatian sejak bertahun-tahun lalu.

- Gelang magnet (2006-2008): Kononnya bantu aliran darah dan tenaga
- Rendam kaki detox (2010-2013): Air bertukar warna, dikata toksin keluar
- Katil terapi haba (2010-2013): Baring atas katil panas dengan batu jade
- Bengkung infrared (2012-2016): Dikaitkan dengan haba, peluh dan detox
- Mesin air alkali (2014-2017): Air pH tinggi dipromosi untuk pelbagai manfaat
- Seluar infrared (2017-2020): Pakaian ceramic fibre untuk haba badan
- Pendant/kad quantum (2019-2022): Istilah seperti scalar, frequency, negative iron
- Hydrogen (2022-2026): Bermula dengan air, kemudian inhaler dan goggles
Kesemua contoh tersebut menunjukkan bagaimana jenis produk yang menjadi perhatian pengguna boleh berubah mengikut masa.
Namun, PHM mengingatkan bahawa perubahan nama, teknologi atau istilah yang digunakan dalam pemasaran tidak seharusnya membuatkan pengguna mengetepikan persoalan paling penting iaitu apakah bukti di sebalik dakwaan manfaat produk tersebut?
Apabila melibatkan kesihatan, pengguna wajar mendapatkan maklumat daripada sumber yang berautoriti dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan wang, lebih-lebih lagi jika produk berkenaan dijual pada harga yang tinggi.
Sumber: Public Health Malaysia
FT Image: Gemini AI
