Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai anak yang masih belum dijemput pulang walaupun waktu balik sekolah sudah lama berakhir.
Perkongsian Malaysia Mendidik menerusi laman Facebook baru-baru ini mengingatkan bahawa dalam keadaan seperti ini, perkara paling penting adalah memastikan murid berada dalam keadaan selamat sementara menunggu ibu bapa atau penjaga tiba.
MURID BALIK SEKOLAH LEWAT, INI APA CIKGU BOLEH BUAT

1. Pastikan murid berada di tempat selamat
Apabila waktu persekolahan sudah berakhir tetapi masih ada murid yang belum dijemput, guru atau petugas sekolah perlu memastikan kanak-kanak berkenaan menunggu di kawasan yang selamat.
Murid juga sebaiknya berada di bawah pengawasan guru atau petugas yang bertanggungjawab sehingga dijemput oleh individu yang sah.
2. Hubungi ibu bapa atau penjaga
Langkah seterusnya adalah menghubungi ibu bapa atau penjaga untuk mengetahui sebab kelewatan serta mendapatkan anggaran waktu mereka akan tiba di sekolah.
Sekiranya ibu bapa tidak dapat dihubungi, pihak sekolah boleh cuba menghubungi penjaga alternatif yang telah disenaraikan dalam rekod kecemasan murid.
Pada masa sama, murid tidak sepatutnya dibenarkan pulang bersendirian hanya kerana ibu bapa lewat tiba. Mereka juga tidak boleh diserahkan kepada individu yang identitinya tidak dapat disahkan.
3, Rekod setiap kejadian
Pihak sekolah turut disarankan menyimpan rekod berkaitan kejadian murid lewat dijemput. Antara perkara yang boleh dicatat termasuk waktu murid sepatutnya pulang, tempoh menunggu, usaha menghubungi ibu bapa atau penjaga serta individu yang akhirnya mengambil murid.
Jika seseorang datang sebagai wakil kepada ibu bapa, pihak sekolah perlu membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum membenarkan murid dibawa pulang.
4. Kelewatan berulang perlu dibincangkan
Jika perkara tersebut berlaku secara berulang, ia tidak seharusnya dianggap sebagai perkara biasa.
Pihak sekolah boleh mengadakan perbincangan secara rasmi bersama ibu bapa atau penjaga untuk memahami masalah yang berlaku dan mencari penyelesaian yang sesuai.
Sebarang tindakan seterusnya pula perlu dibuat berdasarkan peraturan serta prosedur yang ditetapkan oleh pihak sekolah.
Apa perlu dibuat jika ibu bapa tidak dapat dihubungi?

Dalam keadaan tiada penjaga yang dapat dihubungi selepas tempoh munasabah dan wujud kebimbangan terhadap keselamatan atau kebajikan murid, perkara tersebut perlu dimaklumkan kepada pihak pentadbir sekolah.
Guru juga tidak sepatutnya membuat keputusan bersendirian dalam situasi berisiko.
Sebaliknya, pihak sekolah perlu mengikuti prosedur kecemasan yang ditetapkan, termasuk mendapatkan bantuan pihak berkuasa atau agensi berkaitan sekiranya keadaan memerlukan.
Keselamatan dan kebajikan anak bukan hanya menjadi tanggungjawab guru atau pihak sekolah. Sekolah bertanggungjawab memastikan murid berada dalam keadaan selamat, guru menjalankan tugas pengawasan, manakala ibu bapa pula perlu memainkan peranan dengan memastikan anak dijemput pada masa yang ditetapkan.
Baca juga: 9 Tahun Menanti Cahaya Mata, Allah Pinjamkan Faleeq Selama Setahun Saja… “Terlalu Cepat & Singkat”
Sumber: Malaysia Mendidik
