Nama warga emas dari Kuala Krau, Temerloh, Pahang ini mengundang perhatian ramai selepas kisah identitinya tular di media sosial.
Mana tidaknya, wanita berkenaan mempunyai nama yang cukup unik iaitu Entah binti Ta’tahu dan turut menunjukkan kad pengenalannya sebagai bukti nama tersebut sememangnya tercatat secara rasmi.
NAMA WARGA EMAS DI PAHANG ENTAH BIN TA’TAHU TULAR

Kisah mengenai nama unik itu menjadi tular selepas dikongsikan oleh Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said menerusi akaun TikTok miliknya.
Menerusi video tersebut, Dr. Ismail dilihat berbual dengan wanita berkenaan dan bertanyakan namanya. Wanita itu kemudian memperkenalkan dirinya sebagai Entah binti Ta’tahu.
Menariknya, bagi membuktikan bahawa nama tersebut bukan sekadar gurauan atau salah faham, wanita warga emas itu menunjukkan kad pengenalan miliknya kepada Dr. Ismail.
MyKad tersebut didakwa memaparkan nama Entah binti Ta’tahu, sekali gus membuatkan kisah itu semakin mendapat perhatian pengguna media sosial.
Dalam perkongsian berkenaan, Dr. Ismail turut menyebut bahawa nama unik tersebut dipercayai hanya dimiliki oleh seorang individu di Malaysia.
Perkongsian itu turut diselitkan dengan reaksi bersahaja apabila beliau mengatakan generasi muda mungkin sukar mempercayai kewujudan nama sedemikian jika hanya diceritakan tanpa melihat sendiri bukti pada kad pengenalan.
Nama unik cetus pelbagai cerita pengguna media sosial
Kisah Entah binti Ta’tahu kemudiannya mengundang pelbagai reaksi di ruangan komen. Tidak kurang juga pengguna media sosial yang tampil berkongsi pengalaman mengenai nama ahli keluarga mereka yang dianggap luar biasa atau jarang didengar pada masa kini.
Seorang pengguna dikenali sebagai Sahabatku Yang Empat mendakwa neneknya mempunyai nama Sepak binti Tunggul.
“Nama nenek saya Sepak binti Tunggul,” tulisnya di ruangan komen.

Perkongsian tersebut menunjukkan bahawa nama-nama yang kedengaran pelik atau tidak biasa sebenarnya pernah wujud dalam kalangan masyarakat terdahulu.
Lebih menarik perhatian, seorang pengguna bernama K Fiys mendakwa pernah mendengar cerita mengenai individu yang mempunyai nama hampir sama ketika masih kecil.
Menurutnya, cerita tersebut berkait dengan seorang bayi yang baru dilahirkan dan persoalan mengenai nama anak itu.
Dia mendakwa, ketika jururawat bertanyakan nama bayi kepada ibunya, wanita tersebut dikatakan menjawab “Entah Tak Tahu” kerana tidak memberikan nama ketika itu.
Jawapan berkenaan kemudiannya dipercayai disalah anggap sebagai nama bayi sebelum ditulis dalam rekod. Pengguna itu berkata, dia tidak pernah menyangka akan bertemu dengan individu yang mempunyai kisah sedemikian sehingga melihat video wanita warga emas berkenaan.
@drismailsaid087 Anak2 Gen Z tak caya bila koi kabo. Nah makcik entah bawa keluar IC. Nama unik ni 1 je dalam Malaysia. Hehehe Entah Binti Ta’ Tahu. #dsims #fyp #foryou #hidupbiarberjasa #namaunik ♬ Nujum Pak Belalang Ukulele Tutorial by Azzmeir – Azzmeir Yunadi 🎤🎶
Sumber: TikTok DS Dr Ismail Mohamed Said
