Kebaikan Habbatussauda atau Nigella sativa memang terkenal sebagai makanan sunnah yang diamalkan sejak dahulu lagi. Selain baik untuk kesihatan, ramai juga yang tertanya-tanya sama ada ia boleh membantu wanita yang sedang berusaha mendapatkan zuriat (Trying To Conceive atau TTC).
KEBAIKAN HABBATUSSAUDA UNTUK KESUBURAN WANITA

Foto: Magnific
Menurut perkongsian pakar pemakanan Syaza Nutritionist di Threads, beberapa kajian mendapati habbatussauda berpotensi membantu menyokong kesihatan reproduktif wanita.
Habbatussauda mengandungi bahan semula jadi yang bertindak sebagai antioksidan.Antioksidan membantu melindungi sel-sel badan daripada kerosakan. Ini termasuk sel telur wanita yang sangat penting untuk proses kehamilan.
Apabila sel telur berada dalam keadaan lebih sihat, peluang untuk hamil juga mungkin menjadi lebih baik.
Beberapa kajian mendapati habbatussauda berpotensi membantu:
- Melindungi sel telur daripada kerosakan.
- Menyokong kesihatan ovari.
- Mengurangkan masalah berkaitan PCOS.
- Membantu menstabilkan hormon wanita.
Dalam satu kajian melibatkan 207 wanita yang mempunyai PCOS, peserta mengambil minyak habbatussauda bersama ubat metformin selama enam bulan.
Hasilnya, mereka mengalami:
- Kitaran haid yang lebih teratur.
- Penurunan berat badan.
- Keadaan badan yang lebih baik dari segi tekanan oksidatif.
Namun, kerana habbatussauda diambil bersama metformin, penyelidik tidak dapat memastikan semua kesan tersebut datang daripada habbatussauda sahaja.
Cara Pengambilan Habbatussauda
Menerusi perkongsian tersebut, habbatussauda boleh diamalkan dengan cara:
- Mengambil kira-kira satu sudu kecil minyak habbatussauda sehari, atau
- Menambah biji habbatussauda ke dalam masakan.
Yang penting, amalkan secara konsisten dan ambil bersama makanan.
Jangan bergantung pada habbatussauda sahaja

Foto: Magnific
Bagi pasangan yang sedang TTC, habbatussauda hanyalah salah satu usaha untuk menyokong kesihatan.
Pemakanan seimbang, berat badan yang sihat, tidur yang cukup dan pengurusan stres juga memainkan peranan besar dalam meningkatkan peluang kehamilan.
Selain itu, jika pasangan sedang mengambil ubat seperti metformin, ubat diabetes, ubat pencair darah atau menjalani rawatan IVF, berbincanglah dengan doktor terlebih dahulu sebelum mengambil habbatussauda.
Habbatussauda mempunyai potensi untuk membantu menyokong kesihatan reproduktif wanita berdasarkan beberapa kajian. Namun, ia bukan penawar atau rawatan utama untuk masalah kesuburan.
Apa yang lebih penting ialah mengamalkan gaya hidup sihat secara konsisten kerana kualiti sel telur dipengaruhi oleh pemakanan dan penjagaan kesihatan beberapa bulan sebelum kehamilan berlaku.
Baca juga: Tak Main-Main! Indonesia Padam 5 Juta Akaun Platform Digital Kanak-Kanak, Lindungi Generasi Muda
Sumber: Threads @syazanutritionist
