Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan isteri Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz mengumumkan kelahiran puteri sulung baginda berdua Tengku Alia Amira Tengku Amir Shah.
Perkhabaran itu dikongsikan menerusi hantaran di media sosial rasmi Raja Muda Selangor yang turut meluahkan rasa syukur atas anugerah cahaya mata pertama mereka.
TENGKU AMIR SHAH UMUM KELAHIRAN PUTERI SULUNG

“Alhamdulillah. Dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT, Beta mengumumkan kelahiran puteri kami.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kesihatan, keberkatan dan rahmat yang berpanjangan buat anakanda kami. Terima kasih buat semua yang mendoakan kami sekeluarga,” tulisnya.
Dalam perkongsian sama, baginda turut memaklumkan puteri sulung mereka diberi nama Tengku Alia Amira Tengku Amir Shah.
Untuk rekod, Tengku Amir Shah dan Tengku Puteri Afzaa Fadini selamat diijabkabulkan dalam Istiadat Pernikahan Diraja yang berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang pada 2 Oktober 2025.
Pasangan diraja itu dinikahkan oleh Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir dengan disaksikan Tengku Panglima Raja Selangor, Tengku Ahmad Shah Alhaj serta Tengku Indera Pahlawan Diraja, Tengku Datuk Setia Putra Alhaj dalam istiadat yang diadakan secara tertutup.

Istiadat pernikahan yang berlangsung penuh tertib mengikut adat istiadat turut disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Warganet tumpang gembira, puji pilihan nama
Ruangan komen dipenuhi ucapan tahniah dan doa daripada rakyat serta warganet yang turut berkongsi rasa gembira atas kelahiran puteri sulung pasangan diraja itu.
“Alhamdulillah, tahniah Tuanku dapat cahaya mata pertama. Pilihan nama Melayu klasik memang sesuai,” komen warganet.
Ramai turut mendoakan agar Tengku Alia Amira membesar dengan sihat, menjadi anak yang solehah serta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.
Baca juga: Janin Bayi Gugur Disimpan Bertahun-Tahun, Jadi ‘Bahan’ Untuk Amalan Syirik Supaya Hajat Tercapai!
Sumber: Facebook Raja Muda Selangor
