Euforia Bola 2026
Nur

Ini Doa Yang Patut Dibacakan Untuk Jemaah Haji, Bukan Sekadar Hantar & Ucap “Selamat Pergi”

pergi haji

Tatkala sebahagian umat Islam dijemput menjadi tetamu Allah untuk pergi haji, terselit satu tanggungjawab buat kita yang ditinggalkan iaitu mengiringi mereka dengan doa yang tulus.

Menerusi perkongsian di laman Facebook milik Ustaz Wadi Annuar, beliau mengingatkan agar kita sama-sama menitipkan doa agar segala urusan mereka dipermudahkan, diampunkan dosa serta dikurniakan haji yang mabrur.

Baca juga: Air Ketuban & Darah Dah Keluar, Masih Wajib Solat? Hukum Solat Jamak Ketika Sakit Hendak Bersalin Ramai Keliru

DOA UNTUK ORANG PERGI HAJI, SELITKAN SETIAP HARI

Doa yang dikongsikan ini ringkas, namun membawa makna yang sangat mendalam:

زَوَّدَكُمُ اللَّهُ التَّقْوَى، وَغَفَرَ ذَنْبَكُمْ، وَيَسَّرَ لَكُمُ الْخَيْرَ حَيْثُمَا كُنْتُمْ

Maksudnya: “Semoga Allah membekalkan kamu dengan ketakwaan, mengampuni dosamu dan memudahkan kamu melakukan kebaikan di mana sahaja kamu berada.”

PERGI HAJI

Menurut perkongsian tersebut, doa ini sangat sesuai diamalkan khususnya buat mereka yang sedang menunaikan ibadah haji, sebagai tanda sokongan dan kasih sayang sesama umat Islam walaupun dari jauh.

Dalam masa yang sama, Wadi Annuar turut mengajak orang ramai untuk menanam harapan agar suatu hari nanti, kita juga diberikan peluang yang sama untuk menjadi tetamu Allah di Baitullah.

Perasaan ini bukan sekadar impian, tetapi doa yang wajar dipanjatkan secara berterusan disertai usaha, kesabaran dan keyakinan bahawa setiap panggilan ke Tanah Suci adalah pilihan daripada-Nya.

Tambah beliau, keinginan tersebut seharusnya dipupuk dengan memperbanyakkan amal kebaikan serta mempersiapkan diri dari segi rohani dan jasmani. Ini kerana ibadah haji bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi satu perjalanan jiwa yang menuntut keikhlasan serta pengorbanan yang tinggi.

PERGI HAJI

“Ada yang sedang menuju Baitullah sebagai tetamu Allah. Doakan ibadah mereka dipermudahkan dan diterima sebagai haji yang mabrur. Semoga satu hari nanti, nama kita pula yang dipanggil menjadi tetamu-Nya,” jelasnya.

Semoga setiap doa yang dititipkan menjadi asbab kebaikan, bukan sahaja buat mereka yang sedang mengerjakan haji, malah menjadi jalan pembuka rezeki buat kita yang turut mengharapkan jemputan istimewa itu pada masa akan datang.

Baca juga: Ramai Tertanya, Betul Ke Tak Boleh Bercakap Dengan Ahli Kubur Ketika Ziarah? Ini Penjelasan Mufti

Sumber: Facebook Ustaz Wadi Annuar

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×