Dalam setiap pengorbanan yang tidak pernah diharap balasan, tersimpan rahmat yang tidak disangka. Keikhlasan menjaga ibu dengan penuh kasih sayang meskipun dengan keterbatasan diri sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan sejak kecil, mungkin menjadi ‘asbab’ Siti Hadijah Abu Bakar terpilih untuk tunai haji pada musim ini.
ASBAB JAGA IBU, WANITA OKU PENGLIHATAN TERPILIH TUNAI HAJI

Gambar BERNAMA.
Bagi wanita berusia 50 tahun itu, peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci bukan sekadar rezeki, malah dianggap sebagai jemputan Allah yang hadir bersama doa seorang ibu yang tidak pernah putus.
Ketika ditemui pemberita, Siti Hadijah atau lebih mesra disapa Kak Jah tidak dapat menyembunyikan rasa syukur dan sebak apabila akhirnya terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada musim haji kali ini.
“Saya betul-betul tak sangka boleh sampai ke sini. Ini semua dengan izin Allah,” katanya dengan nada sebak ketika ditemui pemberita, semalam.
Perjalanan hidupnya yang dilahirkan dalam keluarga serba kekurangan tidak pernah mematahkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan dengan tabah.
Cabaran kehidupan dilalui Kak Jah bersama 8 adik-beradiknya
Kak Jah berkongsi bahawa kehidupannya penuh cabaran apabila enam daripada lapan adik-beradik turut mengalami masalah penglihatan.
Namun, kekurangan itu tidak pernah dijadikan alasan untuk beliau mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang anak, malah tetap setia menjaga ibunya sehingga ke akhir hayat sambil membesarkan lima orang anaknya sendiri.
“Kak Jah hanya menjalankan tugas seorang anak yang berkhidmat untuk mak sampai akhir hayat. Kak Jah tidak mahu apa-apa balasan sebab bantu mak, biarlah Allah yang balas,” katanya.
Baginya, peluang tunai haji ini adalah satu bentuk rahmat yang tidak disangka hasil daripada keikhlasan yang tidak pernah dihitung.
Baca juga: Baru Peluk Islam, Pak Cik OKU Penglihatan Sebak Terima Al-Quran Braille & Tunaikan Solat Pertama

Gambar Harian Metro.
Ditemani ke Tanah Suci oleh insan yang sangat dekat di hati Kak Jah
Lebih menyentuh hati, perjalanan suci Siti Hadijah ke Tanah Suci turut ditemani seorang wanita yang bukan daripada kalangan keluarga, tetapi hadir sebagai insan yang sangat dekat di hatinya.
Nur Asma A Samat, 40, yang merupakan guru besar di Pusat Tahfiz Al-Hidayah, Jalan Gurney, Kuala Lumpur, menjadi individu penting yang banyak membantu sepanjang perjalanan tersebut.
Hubungan mereka bermula sebagai ibu dan guru kepada anak Kak Jah, namun akhirnya berkembang menjadi persahabatan erat yang tidak disangka membawa mereka bersama ke Tanah Suci.
“Kalau bukan kerana pertolongan dia, mungkin saya tidak sampai ke sini,” kata Nur Asma
Rayuan kami diterima mungkin kerana keberkatan Kak Jah
Menurut Nur Asma, peluang untuk tunai haji bersama Siti Hadijah merupakan satu ketentuan yang sangat bermakna selepas rayuan mereka akhirnya diterima pada percubaan kali ketiga.
“Alhamdulillah, rayuan kami diterima dan saya percaya mungkin kerana (keberkatan) Kak Jah juga Allah membuka jalan untuk kami sampai ke sini,” katanya.
Tambahnya, peluang itu dianggap sebagai amanah besar yang akan dikenang sepanjang hayat.
Sumber: BERNAMA
FT Image: BERNAMA
