Isu sama ada seseorang itu dibenarkan bercakap dengan ahli kubur ketika menziarahi tanah perkuburan sering menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat. Menjawab perkara ini, Mufti Negeri Selangor ada menjelaskan dengan lebih mendalam mengenai hukum perbuatan tersebut.
HUKUM BERCAKAP DENGAN AHLI KUBUR KETIKA MENZIARAHI

Menurut penjelasan tersebut, antara amalan yang disunatkan ketika menziarahi kubur ialah memberi salam kepada ahli kubur. Amalan ini bertepatan dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada para sahabat.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Buraidah al-Aslami RA, Rasulullah SAW mengajar agar umat Islam memberi salam ketika memasuki kawasan perkuburan dengan ucapan yang bermaksud:
Maksudnya: “Rasulullah s.a.w pernah mengajar sahabat-sahabatnya apabila mereka menziarahi tanah perkuburan supaya tiap tiap seorang di antara mereka (memberi salam dan berdoa dengan berkata: Salam sejahtera kepada kamu wahai ahli perkampungan (tanah kubur) ini, dari kalangan kaum mukminin dan muslimin; dan bahawa kami juga Insya Allah akan menurut kamu apabila sampai gilirannya; semoga Allah memberi rahmat dan selamat sejahtera kepada kami dan kamu sekelian.” (Riwayat Muslim)
Penjelasan ini menunjukkan bahawa komunikasi dalam bentuk salam dan doa kepada ahli kubur bukan sahaja dibenarkan, malah dianjurkan sebagai salah satu bentuk penghormatan dan ingatan terhadap mereka yang telah meninggal dunia.
Selain itu, amalan membaca talkin selepas pengebumian juga menjadi antara contoh jelas bahawa terdapat bentuk “percakapan” yang ditujukan kepada si mati. Kandungan talkin antara lain mengingatkan jenazah tentang persoalan yang bakal dihadapi di alam kubur, di samping mendoakan agar mereka dilindungi daripada azab dan diberikan kelapangan di alam barzakh.
Dalam masa yang sama, umat Islam juga digalakkan untuk membaca ayat-ayat al-Quran dan menghadiahkan pahala bacaan tersebut kepada ahli kubur.

Doa yang dipanjatkan juga merupakan satu bentuk komunikasi yang bertujuan memohon keampunan dan kesejahteraan buat mereka di alam barzakh.
Kesimpulannya, bercakap kepada ahli kubur dalam bentuk salam dan doa adalah dibenarkan serta selari dengan ajaran Islam.
Tindakan ini bukan sahaja mencerminkan adab ketika menziarahi kubur, malah menjadi satu amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT serta mengingatkan manusia tentang kehidupan selepas mati.
Penjelasan ini diharapkan dapat memberi kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat agar tidak lagi timbul kekeliruan berhubung amalan ziarah kubur dalam Islam.
Semoga memberi manfaat!
Baca juga: Jiran Buat Rumah Terbuka Tapi Tak Dijemput? Ini Cara Hadap Situasi Tanpa Bermasam Muka
Sumber: Mufti Negeri Selangor
