Poligami kembali menjadi topik menarik apabila seorang wanita, Shuhadah Jaafar, memilih untuk reda bermadu dengan rakannya sendiri selepas suaminya, Muhammad Azizi Zakaria, menyatakan hasrat untuk berkahwin lagi.
Keputusan ini diambil selepas pertimbangan panjang, menekankan kejujuran, tanggungjawab dan komunikasi terbuka dalam rumah tangga mereka.
Baca juga: Sewa Tertunggak & Bil Tak Dibayar, Penyewa Tinggalkan Rumah Sewa Kotor… Memang Loya Teruk!
POLIGAMI DENGAN KAWAN SENDIRI, WANITA INI REDA BERMADU KASIH

Selepas hampir tujuh tahun mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Azizi Zakaria, Shuhadah akhirnya memilih untuk mengizinkan suaminya berpoligami dan bermadu dengan Nor Azura Mohd Azmin. Keputusan itu bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya melalui pertimbangan panjang melibatkan emosi, prinsip dan masa depan semua pihak yang terlibat.
“Bila tahu suami ada hati dengan kawan saya dan nak berkahwin dengannya, memang saya sedih. Tapi bila difikirkan semula dan suami pun berterus terang niatnya nak halalkan hubungan, saya terima kerana yang penting mereka tak ada hubungan di belakang saya,” kata Shuhadah Jaafar.
Shuhadah menjelaskan, dia mengenali Nor Azura secara tidak sengaja selepas membuat tempahan pakaian di sebuah butik. Hubungan mereka sekadar kenalan biasa, sesekali bertemu di beberapa acara dan tidak terlalu rapat. Justeru, pengakuan suami tentang hasrat untuk berkahwin dengan wanita yang dianggap sebagai kawan itu sememangnya mengejutkan.
Sebagai isteri, Shuhadah mengakui bukan mudah untuk menerima hakikat dimadukan. Namun, kejujuran suami yang berterus terang serta penjelasan bahawa perkahwinan kedua bukan didorong oleh nafsu semata-mata, sebaliknya atas dasar tanggungjawab dan kebaikan bersama, membuatkan dia mula membuka hati.
“Suami dan madu sudah suka sama suka, jadi saya bagi keizinan kerana berkaitan soal hati ini susah. Takut jika tak izinkan, jadi perkara yang bukan-bukan pula di kemudian hari nanti.
“Saya ada kongsi di media sosial juga mengenai perkahwinan mereka kerana tak nak timbul fitnah dan niat nak bagi contoh kepada suami di luar sana yang berniat berpoligami, berterus teranglah dengan isteri pertama. Jangan ambil mudah dengan kahwin senyap-senyap atau di seberang (Thailand),” luahnya.

Shuhadah juga memilih untuk berkongsi kisah perkahwinan suaminya di media sosial sebagai langkah mencegah fitnah, selain berharap dapat memberi pengajaran kepada pasangan lain. Menurutnya, kejujuran dan komunikasi terbuka adalah asas penting sekiranya seorang lelaki berniat untuk berpoligami, bukannya mengambil jalan pintas dengan berkahwin secara rahsia.
Dalam menjalani kehidupan bermadu, Shuhadah berharap hubungan antara dia, madu dan suami terus terpelihara. Dia turut menekankan pentingnya sikap saling menghormati dan keadilan suami agar keharmonian rumah tangga dapat dikekalkan. Malah, hubungan yang terjalin dengan madu yang juga merupakan kenalan sendiri disifatkan lebih mudah untuk membina keserasian, dan kini mereka semakin rapat.
Sementara itu, Muhammad Azizi mengakui perasaannya terhadap isteri kedua hadir tanpa dirancang. Menyedari risiko dan tanggungjawab besar yang bakal dipikul, dia memilih untuk berterus terang dengan isteri pertama serta melalui saluran yang betul demi menjaga maruah dan adab perkahwinan.
Sebagai suami, dia meluahkan rasa terharu terhadap pengorbanan isteri pertama yang bukan sahaja memberi keizinan, malah membantu dalam proses permohonan di mahkamah. Menurutnya, sokongan tersebut adalah sesuatu yang tidak ternilai dan menjadi peringatan besar tentang amanah yang perlu dipikul sebagai suami kepada dua isteri.
Baca juga: Ibu Kecewa Kantin Jual Mi Segera Di Hari Pertama Persekolahan, Anak Terus Makan
Sumber: Harian Metro
