Sebuah video di TikTok milik pengguna bernama Yusoff mencuri perhatian ramai apabila memaparkan anaknya terpaksa redah banjir demi menuju ke lokasi peperiksaan SPM. Dalam keadaan air yang semakin naik dan jalan utama terputus, pelajar itu tetap berusaha untuk hadir ke sekolah bagi meneruskan perjuangan SPM.
Dalam video tersebut, kelihatan si bapa membantu anaknya menyeberangi kawasan yang ditenggelami air. Beg sekolah yang dibawa diletakkan dalam tong hitam bagi memastikan ia tidak basah, sementara si anak terpaksa berenang di beberapa bahagian yang lebih dalam.
ANAK REDAH BANJIR DEMI JAWAB SPM, “SEMOGA BERJAYA DIK”

Menurut si bapa, ini merupakan dugaan yang terpaksa dilalui anak sulungnya yang sedang menduduki peperiksaan SPM tahun ini, dan beliau mendoakan agar semuanya dipermudahkan.
“Air yang dalam, terpaksa juga kami redah. Jalan utama terputus kerana air banjir. Semoga Along berjaya dalam peperiksaan SPM tahun ini, amin. Dugaan untuk anak sulung hendak pergi peperiksaan SPM, terpaksa berenang meredah banjir, jalan utama terputus. Semoga Along berjaya di dunia dan akhirat. Dalam tong hitam itu beg dia,” jelasnya.
Perkongsian itu bukan sahaja mengundang rasa sebak dalam kalangan pengguna media sosial, malah ramai yang memuji semangat gigih pelajar tersebut untuk tetap hadir ke peperiksaan walaupun berdepan kesulitan.
Menurut si ibu, pihak sekolah telah menyediakan bantuan, termasuk tempat penginapan sementara untuk pelajar yang terjejas banjir.

Video tersebut dirakam ketika anaknya dalam perjalanan menuju ke asrama yang disediakan. Keluarga memilih untuk menghantar anak mereka sendiri kerana banyak jalan utama telah terputus dan sukar dilalui.
Si ibu turut mengucapkan terima kasih atas doa serta sokongan orang ramai, sambil berharap agar ia menjadi kekuatan buat anaknya mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Semangat yang ditunjukkan pelajar ini turut menjadi inspirasi kepada ramai calon SPM lain agar terus berusaha tanpa berputus asa dan pastinya warganet membanjiri ruang komen.
“Sebaknya tengok video macam ini. Sesetengah pelajar langsung tak pentingkan SPM tapi sebenarnya ada yang sanggup pertaruhkan nyawa demi SPM,” komen pengguna TikTok.
Baca juga: Setiap Posisi Tidur Suami Isteri Ada Maksud Tersirat, Rasa Hangat Bila Dipeluk Dari Belakang…
Sumber: TikTok Yusoff
