Asuh

‘Home Schooling’ Bukan Hanya Untuk Golongan Elit

519
reads

Home schooling telah lama dipraktikkan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Australia dan Britain. Biasanya kita hanya mendengar tentang home schooling ini dipraktikkan oleh golongan atasan dan selebriti, bukan? Tapi, tahukah anda, home schooling ini juga sesuai untuk anak-anak yang tidak begitu cemerlang dalam pelajaran di sekolah?

Pada dasarnya, tujuan utama home schooling ini adalah untuk menghapuskan keciciran dalam pendidikan. Ianya lebih tertumpu kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan kronik yang menyukarkan mereka bersekolah di sekolah biasa. Di Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menguatkuasakan home schooling sejak tahun 2003 dengan meletakkan syarat-syarat tertentu.

Kini, home schooling mula menjadi pilihan ibu bapa yang inginkan anak-anak mereka belajar di bawah pengawasan mereka atau tenaga pengajar yang dipercayai.  Ibu bapa dan pengajar berperanan menjadi guru di rumah untuk mengajar anak-anak mereka mengikut modul yang sesuai untuk mendidik anak-anak mereka, seiring dengan kurikulum pendidikan Malaysia.

3 Kategori Home Schooling

Tidak terhad kepada belajar sendirian di rumah, sebenarnya terdapat 3 kategori home schooling yang boleh dijumpai di negara kita:

1. Kanak-kanak yang diajar oleh ibu bapa sendiri

2. Sekumpulan kanak-kanak yang diajar oleh ibu bapa mereka bersama-sama di satu tempat yang tidak formal

3. Pusat pendidikan formal yang menggunakan metodologi dan silibus home schooling. Contohnya, Primrose Hill Active Learning di Avenue K, KLCC

Kelebihan ‘Home Schooling’

Bagi ibu bapa yang masih mencari-cari info mengenai home schooling, mungkin kebaikan ini berguna untuk dijadikan sandaran sebelum memilih untuk mengajar anak mereka sendiri di rumah.

 

1. Suasana santai

Bersekolah di rumah lebih menyeronokkan kepada anak-anak dari segi aktiviti dan tempat pembelajaran kerana persekitaran yang santai dan tidak formal. Tidak terhad setakat di rumah, persekitaran pembelajaran boleh diubah-ubah mengikut kesesuaian masa dan tempat.

Aktiviti yang dilakukan juga boleh dipelbagaikan sesuai dengan objektif yang ingin dicapai dalam pengajaran yang disampaikan. Dalam hal ini, ibu bapa serta pengajar perlu kreatif untuk mempelbagaikan akiviti pembelajaran untuk anak-anak mereka.

 

2. Kelonggaran Masa dan Tempat Belajar

Masa pembelajaran dan pengajaran lebih fleksibel kerana tidak terikat dengan rutin tertentu. Ibu bapa boleh memulakan proses pengajaran dan pembelajaran mengikut kesesuaian anak-anak, berbeza dengan sekolah harian yang mempunyai jadual yang telah ditetapkan.

Selain itu, mereka juga berpeluang untuk belajar dalam persekitaran yang berbeza setiap hari. Kelebihan ini membolehkan ibu bapa mengajar mengikut kesediaan anak-anak tanpa perlu dipaksa selagi ianya berjalan mengikut kurikulum kebangsaan.

 

3. Penumpuan Minat Mengikut Personaliti

Ibu bapa yang lebih rapat dan mengenali anak mereka boleh  memfokuskan pendidikan anak-anak mengikut minat dan personaliti masing-masing. Dengan merancang aktiviti bersesuaian, mereka akan menjadi lebih bersemangat lalu dapat mengembangkan lagi potensi diri mereka.

Kaedah ini dapat dimanfaatkan oleh anak-anak yang pasif dan tidak mahu terlibat dalam aktiviti di kelas walaupun diberi galakan oleh guru-guru. Kanak-kanak kelainan upaya atau berpenyakit kronik juga tidak ketinggalan menyerlahkan bakat mereka.

 

4. Terhindar dari Gejala Sosial

Pelajar yang bersekolah di sekolah harian lebih terdedah dengan gejala sosial berbanding mereka yang bersekolah di rumah. Di rumah, mereka hanya dikelilingi oleh kaum keluarga dan kumpulan kecil yang terdiri daripada rakan terdekat. Ibu bapa juga lebih mudah  mengawasi pergerakan dan aktiviti anak-anak di rumah berbanding mereka yang bersekolah di sekolah harian.

 

5. Hubungan Keluarga Lebih Akrab

Sesetengah keluarga tidak mempunyai waktu harian yang rutin. Ada ibu bapa yang selalu ke luar negara buat beberapa tempoh tertentu dan cuti mereka pula bukan waktu cuti sekolah. Jika begini, bagaimana interaksi antara keluarga dapat berlaku?

Dengan pilihan home schooling, keluarga dapat menyelaraskan jadual mereka supaya ahli keluarga dapat berkumpul dan meluangkan masa berkualiti.

6. Modul Bebas

Ibu bapa bebas mencari dan menggunakan pendekatan dan modul yang bersesuaian dengan keupayaan anak mereka asalkan mengikut objektif kurikulum yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan. Pelbagai aktiviti luar seperti lawatan juga dapat dijalankan dengan lebih kerap kerana kurangnya prosedur serta risiko keselamatan.

Terdapat bermacam-macam idea modul yang sesuai boleh didapati di internet ketika ini. Walaubagaimanapun, ibu bapa perlu bijak dalam memilih modul untuk digunakan supaya matlamat pembelajaran tercapai.

 

7. Kos Pendidikan Yang Fleksibel

Selalu ibu bapa bertanya adakah home schooling memerlukan kos yang mahal? Untuk pengetahuan semua kos untuk home schooling  bergantung kepada kemampuan ibu bapa itu sendiri.

Ibu bapa adalah guru yang akan mengaturkan semua aktiviti dalam pembelajaran dan pengajaran, maka setiap kos aktiviti itu boleh di kawal mengikut kemampuan masing-masing. Gunakan bahan bantu mengajar yang terdapat disekeliling  anda untuk menjimatkan kos.
Foto Kredit: ahsnews.netFoto Kredit: ahsnews.net

Alternatif Praktikal Sesuai Dengan Gaya Hidup

Sekolah harian atau home schooling, kedua-duanya mempunyai objektif yang sama iaitu mendidik individu dari segi intelek, emosi dan jasmani. Walaupun bukan pilihan utama, home schooling menyediakan alternatif yang praktikal untuk ibu bapa. Setiap pemilihan sama ada sekolah harian atau sekolah di rumah semuanya adalah hak individu masing-masing.

Yang Popular

To Top