Semua orang tahu, sebagai ibu-bapa, kita kena berkelakuan baik dan melakukan perkara yang betul di hadapan anak-anak. Ini dapat membentuk akhlak anak-anak. Namun, berapa ramai yang betul-betul melakukannya?
Kanak-kanak itu ibarat kain putih, mereka sentiasa memerhatikan setiap perbuatan dan percakapan kita. Samada perasan atau tidak, bila ibu selalu berkata “Bodoh” depan anak-anak, secara tidak langsung, anak juga akan ikut kata “Bodoh” dengan adik-beradik dan kawan-kawan yang lain.
Walaupun mereka masih kecil, apa yang kita cakap atau buat di hadapan mereka pada masa kini akan memberi kesan yang mendalam terhadap perkembangan mental, rohani dan jasmani mereka.
Mari kita sama-sama hayati 10 perkara ibu bapa mesti lakukan di hadapan anak-anak.
14 sikap ibu bapa yang patut ditunjukkan depan anak-anak
Inilah perkara yang patut ibu bapa lakukan di hadapan anak-anak mereka untuk membentuk dan mengekalkan hubungan kekeluargaan yang sihat di rumah.
1. Cium dan peluk pasangan depan anak
Apa salahnya tunjukkan sifat penyayang dengan pasangan masing-masing? Menurut laporan Persatuan Kaunseling dan Psikoterapi Kanada, kanak-kanak yang kerap memerhatikan ibu bapa mereka menunjukkan kasih dan sayang yang bersesuaian akan membentuk imej mental dan menjadi landasan kepada mereka apabila dewasa kelak.
Penting untuk ibu bapa memaparkan sifat penyayang sesama mereka di hadapan anak-anak. Walaubagaimanapun sifat penyayang bukanlah bermaksud menunjukkan perkara-perkara yang berbau seksual. Melalui tindakan yang berpatutan, anak-anak sepatutnya dapat memahami bahawa kedua ibu bapanya menyayangi dan menghormati sesama mereka.
Cuba cium pasangan depan anak. Tentu dia akan tergocoh-gocoh dan marah-marah, kenapa tak cium dia Cuma harus diingat, peluk sangat sendiri sahaja. Jangan pandai-pandai peluk pasangan orang lain pula.
2. Ringan tulang, sentiasa menolong pasangan anda
Ibu bapa harus menunjukkan yang mereka saling bantu membantu dalam kehidupan seharian di hadapan anak-anak mereka. Ini dapat mengajar anak-anak bahawa salah satu ciri-ciri perhubungan yang sihat adalah saling bantu membantu dalam melakukan tugasan rumah tangga.
Membantu pasangan anda dengan melakukan tugasan harian seperti mencuci pinggan mangkuk atau menyapu lantai dan mop di hadapan anak anda dapat mendidik mereka secara tidak langsung. Minda bawah sedar mereka akan berkata bahawa menghulurkan bantuan adalah salah satu kualiti yang penting dalam hubunga kekeluargaan.
Maka, apa salahnya suami basuh baju, sidai baju dan lipat sekali? Pedulikan apa kata jiran!
3. Buat kerja sama-sama dengan anak
Bagi menunjukkan anak-anak tanda hubungan yang sihat dan penuh kasih sayang, adalah sangat penting untuk buat kerja bersama-sama anak. Anak-anak pantang kena offer untuk buat kerja orang dewasa. Kalau tidak percaya, cuba berikan anak penyapu. Tentu sekali dia akan suka sapu lantai, cuma hasilnya tidak sama seperti hasil orang dewasa.
Bina jadual bersama-sama di rumah dan pastikan banyak masa bersama keluarga di dalam jadual tersebut. Jika ada kelapagan, kemas juga mainan anak-anak bersama. Ini secara tidak langsung dapat memupuk sikap tanggungjawab dalam dirinya.
4. Selalu ucapkan “Terima kasih” sebagai penghargaan pada pasangan
Cuba untuk hargai dan raikan setiap kali pasangan anda berjaya melakukan sesuatu di hadapan anak anda. Ini mengajar mereka bahawa maklum balas positif atau negatif adalah perlu di dalam perhubungan.
Anak-anak dapat belajar menghargai usaha keras seseorang dan akan lebih bertimbang rasa terhadap perasaan orang lain. Jika mahu lebih mesra, selepas ucapkan Terima Kasih, cium sekali pipi pasangan anda!
5. Toleransi dan bertimbang rasa apabila bercanggah pendapat
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Perselisihan tetap akan berlaku di dalam rumah tangga. Ia mungkin berpunca dari sesuatu yang remeh seperti lupa buang sampah yang sudah penuh.
Bagaimana anak-anak anda melihat anda bertengkar dengan pasangan anda akan memberi kesan kepada kematangan emosi anak-anak anda. Elakkan bergaduh depan anak-anak. Pastikan anda tidak terlalu melebih-lebih dalam perselisihan apabila anda di hadapan mereka.
Kalau mahu bergaduh juga. Masuk terus dalam bilik tidur. Untung-untung dapat anak satu lagi!
6. Kongsi minat masing-masing
Cinta bukanlah satu-satunya perkara yang anda dan pasangan anda kongsi. Anda dan pasangan anda mungkin mempunyai latar belakang dan minat yang berbeza.
Jika si ibu suka tonton Food Network, ayah pula jangan keras kepala mahu tonton ESPN. Cuba sesekali layan apa yang pasangan kita suka tengok. Anak-anak akan lihat ini sebagai satu keserasian.
Tetapi adalah sangat penting bagi anak-anak anda melihat yang anda sentiasa berusaha untuk berkongsi minat masing-masing. Ini dapat memaparkan kepada anak-anak anda kepentingan dalam menghabiskan masa berkualiti bersama.
7. Memberi sedikit ruang kepada pasangan apabila perlu
Apabila berlaku perselisihan yang kecil anda perlu paparkan kepada anak-anak anda bahawa memberi sedikit ruang kepada pasangan anda juga adalah penting. Ianya juga boleh ditonjolkan apabila pasangan anda terlalu letih melakukan kerja harian.
Jadi, apa salahnya bila berikan isteri keluar tengok wayang, sambil huha-huha dengan kawan-kawan perempuan dia yang lain.
Kita perlu mendidik anak-anak anda bahawa memberi sedikit ruang kepada pasangan anda dengan tidak mengganggu si dia tidak bermaksud anda tidak mengambil berat tentang pasangan anda. Kita cuma sekadar perlu memberi pasangan anda peluang untuk merehatkan diri.
8. Menguruskan konflik dengan pintar
Penerbitan saintifik bertajuk Jurnal Perkembangan Kanak-kanak menyatakan yang anak-anak yang kerap memerhatikan ibu bapa mereka menjerit, bertengkar ataupun penganiayaan mental dan fizikal akan mengalami kurang keyakinan pada diri sendiri.
Menguruskan konflik secara pintar di hadapan anak-anak adalah penting supaya mereka faham bahawa konflik dapat diatasi dengan cara yang konstruktif dan sopan. Kalau gian sangat nak menjerit, jerit kuat-kuat dalam kereta semasa memandu seorang diri!
9. Memohon maaf apabila silap
Jangan memandang rendah kepada kekuatan memohon maaf. Kesan memohon maaf dari anak-anak adalah seumpama melempar seketul batu kecil di dalam tasik, riak terhasil akan pergi jauh. Begitu juga sesama pasangan anda.
Mengakui kesilapan dan memohon maaf dari pasangan anda dapat memberi kesan yang positif kepada anak-anak yang melihatnya. Mereka akan belajar untuk tidak takut untuk memohon maaf apabila melakukan kesalahan. Salam, cium tangan dan peluk pasangan erat-erat. Biarkan anak-anak nampak perlakuan ini.
10. Selesaikan masalah yang sukar bersama
Apabila menguruskan rumah tangga, banyak cabaran seperti kewangan, kesihatan atau pekerjaan akan melanda. Cuba untuk duduk berbincang dan saling membantu dalam menyelesaikan masalah yang sukar bersama-sama. Secara tidak langsung anak-anak anda akan lebih berasa selesa kerana dapat menyumbang. Ini juga akan membantunya membentuk kemahiran menyelesaikan masalah yang boleh digunakan di masa hadapan.
Anda bertanggungjawab untuk memastikan setiap tingkah laku dan perbuatan anda tidak memberi impak yang negatif terhadap anak-anak. Bina suasana kekeluargaan yang positif supaya anak-anak anda dapat membesar menjadi seorang yang sihat dan ceria.
11. Mengaji depan anak
Jika mahir, ajar anak baca Al-Quran. Biarkan anak tahu baca Al-Quran dari kita sendiri, sebagai gurunya. Jika tidak, hantar mengaji Al-Quran di rumah orang yang mahir atau dengan ustaz/ustazah yang berkelayakan.
Jika ada masa terluang, baca Al-Quran dan biarkan anak nampak kita baca. Kalau boleh, setiap hari. Jika ini menjadi kebiasaan, anak akan rasa ini rutin. Bila kita tidak baca, dia akan bertanya, “Eh, kenapa mama dengan ayah tak baca Al-Quran hari ini?”
12. Bersedekah pada orang susah
Bila makan di kedai makan, akan ada orang yang meminta sedekah. Ada juga orang buta yang menjual tisu. Cuba berikan duit pada anak-anak, biarkan dia yang beri duit pada orang itu.
Kalau bawa anak ke masjid, biarkan dia yang masukkan duit dalam tabung masjid.
13. Tunjukkan sikap suka bantu orang lain
Jika ada orang yang dalam kesusahan, bantu mereka. Jika ada kucing yang tidak boleh turun dari atas bumbung, ajak anak sekali. Jika ada kawan-kawan anak yang cedera jatuh basikal, biarkan kita yang tolong.
Secara tidak langsung, bila anak lihat kita membantu orang lain, akan terbit rasa bangga dalam diri dia. Percayalah, kita akan jadi role-model pada dia. Anak akan ingat perkara baik yang kita buat sampai bila-bila.
14. Tunjukkan sikap sabar
Orang Malaysia memang terkenal dengan sikap bengis di jalan raya. Bila memandu bersama anak-anak, cuba kawal diri sendiri. Sentiasa bertenang dan jangan sampai terhambur kata-kata cacian dan makian yang kadang-kadang tidak sengaja, terhambur dari mulut.
Bila orang potong queue sebelah kiri, cuba senyum. Bila kereta yang berada di lane kanan perlahan, cuba senyum juga. Boleh?
Akhir kata
Apakah sikap ibu bapa dan perkara lain yang patut ditunjukkan di hadapan anak-anak? Kongsikan dengan kami di ruangan komen.
Inspirasi dari: Indiaparenting.com