Famili

Menyakat Budak Ada Batasnya, 5 Kesan Mendalam Ini Mungkin Kita Sendiri Pernah Rasa

“Eee… Tak malu. Dah besar pun menangis lagi. Sikit-sikit nangis, awak kan lelaki. Kalau asyik menangis nanti jadi macam perempuan tau.”

Sebagai orang dewasa, mungkin kita jarang menilai perkataan yang kita lontarkan pada anak kecil. Kita sangka, kitalah yang betul. Kita sangka, anak-anak kecil tak tahu apa. Kita sangka, kita sedang ‘mengajar’ mereka.

Sebenarnya kata-kata kita boleh bertukar menjadi ‘toksik’ dalam minda mereka. ‘Toksik’ ini ibarat racun yang skar dinyahkan, malah ia mungkin diingat sehingga dewasa dan mempengaruhi tindak-tanduk mereka sepanjang hayat.

Jangan Biasa Malukan Budak Kecil, Ini 5 Kesan Mendalam Yang Kita Tak Jangka

1. Anak Mula Percaya Pada ‘Ejekan’

Self-concept adalah imej diri yang kita pegang tentang diri kita – ia termasuklah identiti, kebolehan, minat, perangai kita dan sebagainya. Imej ini biasanya akan lebih menonjol apabila ianya didengar dan ditekankan oleh orang yang rapat dengan kita sejak lahir.

Ringkasnya, anak kecil mudah melihat diri mereka sebagaimana ibu bapa atau penjaga mereka melihat mereka. Jika mereka selalu dilabel sebagai ‘nakal’, ‘lembek’, ‘penakut’ atau ‘jahat’, mesej ini akan perlahan-lahan meresap dalam minda bawah sedar mereka. Hasilnya, mereka akan benar-benar mempamerkan apa yang selalu dilabel terhadap mereka kerana mereka percaya itulah imej diri mereka.

Foto Kredit: afamily.vn

2. Anak Susah Belajar Dari Kesilapan

Bila kita cakap “Banyaknya makan, patutlah tembam sangat ni…” ia tentunya memalukan. Tapi, adakah ia memberi jalan keluar terhadap kesilapan si anak itu tadi?

Bahkan, kata-kata seperti ini membuatkan anak kecil akan berasa bingung dan tak tahu apa yang patut dilakukan. Lebih teruk lagi kalau mereka menganggap yang salah bukanlah pada perbuatan memakan banyak makanan berlemak dan tak berkhasiat itu, tetapi membenci diri mereka sendiri kerana gemuk.

Foto Kredit: Daily Telegraph

3. Ia Boleh Menjadi Punca Kelakuan Agresif

Kajian menunjukkan seseorang yang dimalukan mampu melakukan tindakan yang tidak terjangka, termasuklah berkelakuan agresif terhadap orang lain atau diri sendiri.

Ada kalanya kita saja bergurau dengan budak kecil sebab nak tengok reaksi mereka. Tapi lihat sajalah yang berlaku pada anak 4 tahun yang bertindak membunuh adiknya sendiri yang baru lahir. Ia bermula dengan gurauan orang sekeliling yang berkata “ibu ayah tak sayangkan kamu lagi sebab mereka lebih sayangkan adik”. Siapa sangka, hal sekecil ini mampu menjadi pencetus kepada anak tersebut untuk melakukan tindakan yang langsung tak diduga!

Foto Kredit: sundaykiss.com

4. Ia Menjejaskan Kesihatan Mental

“Eh, tak malulah menangis. Macam baby je…” Ini antara komen yang biasa kita dengar. Cuba fikir semula, salahkan seorang anak menangis kerana mahu mempamerkan emosi mereka? Bukankah itu lumrah seorang manusia?

Apabila dimalukan, mungkin ada sesetengah anak kecil yang tidak menunjukkan reaksi secara depan-depan. Namun dalam diam, segala yang didengari mereka dipendam dalam jiwa. Lama-kelamaan, ia menerbitkan suatu perasaan mendalam yang sukar dibuang.

Dalam jangka masa panjang, sifat ini mampu menjejaskan kestabilan emosi, lebih selesa bersendirian, rasa terasing, dan tidak yakin diri.

http://theoffparent.com/

5. Membuka Ruang Kepada ‘Mata-mata Jahat’

Memalukan anak kecil bukan saja sebuah realiti yang berlaku di dunia sebenar, tetapi juga di dunia maya. Contohnya, kita boleh lihat macam-macam komen sinis dan sarkastik yang dilayangkan oleh ‘keyboard warrior’ terhadap gambar-gambar budak sekolah yang nampak cantik dan matang seawal usia 12 tahun. Apabila menjadi viral, keadaan seperti ini sebenarnya berpotensi membuka ruang kepada ‘mata-mata jahat’ yang mengambil kesempatan.

Dalam usia yang baru meningkat remaja, mereka mungkin belum dapat membezakan apa yang baik dan buruk. Akibatnya, anak-anak yang dahulunya konfiden dan selesa dengan sendiri kini berasa malu dan terancam dengan perhatian yang sedemikian.

Foto kredit: thetimes.co.uk

Mendidik Dan Memalukan Adalah 2 Perkara Yang Berbeza

Ada banyak cara mengajar dan mendisiplinkan anak dan yang pastinya perbuatan memalukan atau ‘public shaming’ bukanlah salah satu daripadanya. Sekalipun ia nampak efektif, namun ia hanya akan memberi kesan sementara kepada si anak.

Yang pasti, mendidik anak memerlukan lebih usaha yang menyeluruh dan berterusan. ‘Public shaming’ atau perbuatan memalukan mereka ini sebenarnya merupakan ‘easy way out’ atau jalan keluar yang paling mudah – sebab itulah masih ramai yang memilih untuk melakukannya.

Walaupun kita seorang dewasa, tak bermakna kita berhak memalukan budak-budak. Sebagai seorang manusia, tentu kita juga lebih menghargai kritikan membina yang disampaikan dengan penuh berhemah. Logiknya, kita sendiri tak suka bila dimalukan depan orang ramai kan?

Yang Popular

To Top