Hebahan

Waktu Bekerja Fleksi Untuk Penjawat Awam Mulai 1 Mac 2019

1.1K
SHARES

Bermula 1 Mac ini, projek rintis Waktu Bekerja Fleksi (WBF) akan dilaksanakan di semua kementerian dan jabatan Persekutuan di beberapa negeri bagi menggantikan Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) yang digunakan ketika ini.

Inisiatif Pembaharuan Perkhidmatan Awam

Arahan pelaksanaan WBF itu yang menjadi sebahagian inisiatif pembaharuan perkhidmatan awam, dikeluarkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah, dalam satu pekeliling kepada semua ketua setiausaha kementerian.

Ia akan dilaksanakan di kementerian dan jabatan kerajaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya manakala jabatan Persekutuan bagi negeri Perlis, Perak, Selangor, Johor, Terengganu, Sarawak dan Sabah.

Berdasarkan pekeliling itu, WBF terpakai kepada semua pegawai yang mengamalkan Waktu Bekerja Pejabat di kementerian atau jabatan.

Waktu bekerja fleksi

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah,

Waktu Pejabat

Waktu pejabat WBF ini akan bermula pada jam 7.30 pagi sehingga 5.30 petang kecuali hari Khamis di Johor dan Terengganu, yang bermula jam 7.30 pagi hingga 4 petang.

“Pegawai boleh memulakan tugas pada bila-bila masa antara 7.30 pagi hingga 8.30 pagi. Pegawai yang mengetik kehadiran pada jam 8.31 pagi dikira lewat memulakan tugas.

“WBF hendaklah dilaksanakan berdasarkan waktu bekerja sehari iaitu selama sembilan jam termasuk waktu rehat sejam. Contohnya, pegawai yang memulakan tugas pada jam 8.07 pagi akan menamatkan tugas pada jam 5.07 petang,” katanya.

Tuntutan Bayaran Lebih Masa

Tambah pekeliling itu, pegawai yang memulakan tugas sebelum jam 7.30 pagi akan dianggap memulakan tugas pada jam 7.30 pagi.

Sebarang tuntutan bayaran lebih masa adalah tidak dibenarkan melainkan pegawai diarah sedemikian.

“Jika pegawai diarahkan menjalankan kerja lebih masa, perkiraan bayaran lebih masa itu adalah selepas pegawai mencukupkan waktu bekerja sehari.

Kebenaran Pulang Awal Untuk Ibu Mengandung & Suami

“Pelaksanaan kebenaran pulang awal satu jam kepada pegawai wanita mengandung dan suami sebagaimana ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11/ 2017 adalah terpakai bagi projek rintis ini,” katanya.

Selain itu, garis panduan lain yang turut ditetapkan dalam WBF ialah bagi kementerian atau jabatan yang mempunyai perkhidmatan kaunter, ketua jabatan hendaklah memastikan perkhidmatan itu tidak terjejas dengan pelaksanaan projek rintis ini.

Tidak Terpakai Untuk Sekolah & Institusi Kesihatan

“Ketua jabatan, atas kepentingan perkhidmatan, boleh mengarahkan mana-mana pegawai untuk hadir ke pejabat pada masa-masa yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, projek rintis WBF ini tidak terpakai untuk semua pegawai yang berkhidmat di sekolah atau institusi pendidikan dan fasiliti kesihatan,” katanya.

Pekeliling itu turut menyatakan bahawa ketua jabatan bertanggungjawab memantau waktu bekerja pegawai dengan memastikan syarat dan garis panduan dipatuhi.

Bakal Dilaksana Mulai 1 Mac Ini

“Projek rintis WBF akan dilaksanakan mulai 1 Mac sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak dan hasil awal projek rintis ini akan dibentangkan dalam satu mesyuarat dijadualkan pada 4 April depan,” katanya.

Elemen keanjalan bagi waktu bekerja dalam perkhidmatan awam dilaksana sejak 1998 apabila WBB diperkenalkan.

Ketika ini, kaedah WBB ditetapkan berdasarkan empat peringkat waktu iaitu waktu masuk kerja jam 7.30 pagi, 8 pagi, 8.30 pagi dan 9 pagi manakala waktu balik kerja pula pada jam 4.30 petang, 5 petang, 5.30 petang dan 6 petang.

Apa Kata Anda?

Maksudnya, siapa datang awal tu dapatlah balik awal kan. Kalau punch card 8.15 pagi, balik 5.15 petang. Punch card 7.35, balik pun 4.35 petang. Kena cukup-cukup 9 jam.

Jadi, rasanya ramai setuju tak dengan pelaksanaan Waktu Bekerja Fleksi ni?

*Sumber: Berita Harian

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×