Rakyat

Pusat Asuhan Akan Diwujudkan Di Semua Agensi Kerajaan Menjelang Januari 2019

Susulan tragedi kematian adik Adam Rayqal di tangan pengasuhnya yang menggemparkan negara 2 hari lalu, kerajaan mengambil tindakan untuk mewujudkan pusat penjagaan kanak-kanan di seluruh agensi perkhidmatan awam persekutuan dan negeri menjelang 1 Januari tahun hadapan kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Hannah Yeoh.

Tragedi kematian Adam Rayqal yang ditemui dalam peti sejuk rumah pengasuh menggemparkan rakyat Malaysia.

Pekeliling Telah Dikeluarkan

Dalam sebuah sidang media semalam, beliau berkata bahawa kerajaan telah mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Awam Bil. 6/1989 di mana Perkhidmatan Persekutuan dan Negeri hendaklah menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja untuk kemudahan ibubapa yang bekerja menghantar anak-anak mereka bagi mendapat pengasuhan yang berkualiti.

“Kementerian ini akan membuat audit di semua agensi kerajaan bagi memastikan semua agensi kerajaan mempunyai pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja terutamanya mereka yang bekerja secara syif,” tambah beliau lagi.

Selain sektor awam, pihak swasta juga diharapkan turut serta dalam usaha menyediakan kemudahan tersebut bagi pekerja mereka. Mengulas tentang kos, beliau menambah bahawa insentif pengecualian cukai 10% akan diberikan kepada syarikat di sektor swasta selama 10 tahun bagi ubah suai dan penyelenggaraan bangunan untuk pusat asuhan.

Foto Kredit: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat

Menambahbaik Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Penjagaan Kanak-kanak 1984

Yeoh juga berkata terdapat keperluan mendesak untuk memperbaiki Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Penjagaan Kanak-Kanak pada tahun 1984, termasuk menubuhkan Suruhanjaya bagi kanak-kanak serta badan bebas untuk mengawasi, melapor dan membuat cadangan kepada Parlimen.

Sistem ini akan memastikan sesiapa yang ditugaskan bersama dengan kanak-kanak seperti penjaga, guru, pengawal sekolah, pemandu bas sekolah dan guru tuisyen didaftarkan, dan ini akan mengurangkan risiko keselamatan dan keselamatan kanak-kanak daripada dikompromi.

Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wah, perkhabaran gembira buat penjawat awam! Semoga usaha ini mendapat sokongan penuh daripada majikan di sektor swasta juga. Dengan langkah ini diharapkan dapat memperkasakan lagi fasiliti untuk memastikan kaum wanita di negara ini dapat terus berkhidmat tanpa rasa fobia menghantar anak mereka ke pengasuh atau taska.

 

Sumber: The Malay Mail, Roket Kini

Yang Popular

To Top