40 Minggu

7 Fakta Tentang Masalah Uri Di Bawah Ketika Mengandung (Plasenta Previa)

2.7K
SHARES
mengandung uri di bawah

“Tak pernah dengar pula tentang masalah uri di bawah dalam keluarga aku. Macamana aku boleh kena pula? Bolehkah aku melahirkan secara normal nanti? Nak tanya banyak-banyak dengan doktor tadi tak sempat pula. Harap-harap semuanya ok.”

Plasenta previa (atau praevia) dari segi bahasanya bermaksud ‘placenta first’ merujuk kepada masalah kedudukan uri di bawah ketika mengandung.

Posisi di bawah ini adalah tidak normal kerana sepatutnya uri anda patut berada di bahagian tengah atau atas rahim. Dengan kedudukan uri di bawah, laluan untuk keluar dari rahim secara normal akan tertutup, lalu menyebabkan komplikasi.

Walaubagaimanapun, tidak semua kes plasenta previa ini akan menyebabkan komplikasi semasa melahirkan, bergantung kepada jenis atau tahapnya.

Baca lebih lanjut untuk mengetahui tentang faktanya.

uri di bawah ketika hamil

Foto Kredit: plus.google.com

7 Fakta Tentang Masalah Uri Di Bawah Ketika Hamil (Plasenta Previa)

Berikut adalah beberapa fakta yang anda perlu tahu tentang masalah uri di bawah sekiranya anda dikesan dengan masalah ini semasa kehamilan.

1. Selalu Ditemui Pada Awal Kelahiran

Menurut Prof Madya Dr Nik Hazlina Nik Hussain, Pakar Obstetrik & Ginekologi USM Kubang Kerian ia bukanlah sesuatu yang jarang ditemui di awal kehamilan.

Ini kerana, hampir 20% daripada uri berada di bawah pada awalnya. Tetapi, apabila kandungan mencecah usia 28 minggu, uri akan menaik ke atas oleh rahim yang semakin membesar.

Cuma 5% yang masih berada pada bahagian bawah rahim. Jika keadaan ini kekal hingga tempoh akhir kehamilan, keadaan ini digelar masalah plasenta previa.

kurang air ketuban

Foto Kredit: netdoctor.co.uk

2. Apa Puncanya?

Sebenarnya, sehingga kini punca berlakunya masalah uri di bawah masih belum diketahui secara jelas. Namun, kebanyakan laman web kesihatan menyatakan bahawa ia selalunya berlaku pada kehamilan yang kedua dan seterusnya.

Selain itu, terdapat beberapa faktor yang menjadikan seseorang lebih berisiko mengalami masalah ini,

Antaranya:

  • pernah melahirkan secara pembedahan Caesarean
  • menjalani rawatan kesuburan untuk hamil
  • mengandungkan bayi kembar
  • berusia lebih 35 tahun
  • pernah mengalami pembedahan pada rahim
  • telah banyak kali bersalin
uri di bawah

Foto Kredit: 30secondmom.com

3. Bagaimanakah Simptom & Tandanya?

Antara tanda dan simptom yang dihadapi adalah pendarahan secara tiba-tiba, di mana warna darahnya terang dan cerah seperti darah segar. Ia biasanya berlaku pada akhir trimester kedua atau awal trimester ketiga.

Kadangkala pendarahan ini disertai dengan rasa ‘cramp’, namun bagi sesetengah wanita ia tidak menyakitkan.

Pendarahan ini mungkin akan berhenti dengan sendirinya, namun ia boleh menjadi lebih teruk apabila anda menghampiri tarikh bersalin.

Ada juga wanita yang tidak mengalami sebarang tanda atau pendarahan hinggalah waktu bersalin.

tanda habis haid darah

Foto Kredit: lexicolatry.com

4. Tahap Plasenta Previa

Kedudukan uri di bawah semasa mengandung terbahagi kepada 4 jenis (rujuk gambar di bawah):

A) Plasenta Previa Tahap 1: Low lying – Plasenta terletak rendah di bawah rahim. Walaubagaimanapun, bayi masih boleh dilahirkan secara normal.

B) Plasenta Previa Tahap 2 : Marginal – Walaupun kedudukannya di bawah, plasenta tidak menutupi jalan laluan keluar bayi. Bayi masih boleh dilahirkan secara normal.

C) Plasenta Previa Tahap 3 : Partial – Bayi menutup sebahagian besar laluan serviks. Bayi perlu dilahirkan melalui pembedahan Caesarean.

D) Plasenta Previa Tahap 4: Complete – Laluan serviks tertutup sepenuhnya oleh plasenta, maka bayi perlu dilahirkan melalui pembedahan Caesarean.

5. Risiko Kepada Ibu

Selain masalah pendarahan, risiko plasenta previa kepada ibu adalah komplikasi yang dihadapi semasa bersalin.

Ini kerana, kebanyakan wanita yang mengalami masalah uri di bawah ini turut mengalami ketidaknormalan pada posisi bayi atau bayi songsang. Bagi plasenta previa tahap 3 dan 4, pembedahan Caesarean secara elektif akan dilakukan pada minggu ke 38 usia kandungan sekiranya tiada pendarahan serius berlaku.

Jika berlaku pendarahan yang teruk kepada ibu, kelahiran secara pembedahan mungkin terpaksa dilakukan sebelum tempoh bayi matang.

Pembedahan Caesarean boleh meningkatkan risiko pendarahan selepas bersalin serta meningkatkan risiko uri melekat pada rahim atau ‘placenta accreta’. Dalam keadaan ini uri tidak boleh dipisahkan daripada dinding rahim akibat sebahagian tisu uri telah melekat pada otot-otot rahim.

6. Risiko Kepada Bayi

Pendarahan yang terlalu banyak oleh ibu semasa mengandung boleh menjejaskan kesihatan kandungan dan berisiko untuk dilahirkan sebelum cukup bulan.

Di samping itu, bayi yang dilahirkan secara pra-matang akan mengalami pelbagai komplikasi seperti masalah pernafasan dan sistem pertahanan badan yang lemah dan memerlukan sokongan luaran.

Foto Kredit: origin.amp

Foto Kredit: origin.amp

7. Cara Menangani Masalah Uri Di Bawah

Tiada rawatan spesifik yang boleh mengalihkan kedudukan uri ini agar kembali normal. Apabila masuk minggu ke 28,jika posisi uri di bawah masih belum tertarik ke atas, anda dinasihatkan agar lebih berhati-hati.

Untuk mengurangkan pendarahan, ibu dinasihatkan agar banyak berehat dan tidak terlalu aktif.

Menurut BabyCenter, ada yang akan mengalami pendarahan yang lebih teruk. Seeloknya, ketika ini anda perlu mengelakkan daripada melakukan hubungan seks kerana dikhuatiri pendarahan plasenta boleh menjadi lebih buruk.

uri di bawah

Foto Kredit: scoopnest.com

Dapatkan Nasihat Doktor

Walaupun kedengaran rumit dan berisiko, janganlah terlalu risau kerana biasanya doktor anda akan menasihati anda sepanjang kehamilan.

Sekiranya pembedahan harus dilakukan secepatnya, doktor akan mempertimbangkan faktor-faktor tahap keseriusan pendarahan, usia bayi dalam kandungan dan juga sokongan perkhidmatan pediatrik.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×