Tular di media sosial apabila seorang wanita meluahkan perasaan berhubung kesukaran dialami untuk memohon tuntutan nafkah tertunggak di mahkamah syariah. Hati wanita mana yang tidak remuk apabila terpaksa berhadapan dengan kesukaran sebegini bukan?
Perkongsian video itu mendapat perhatian dari Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar kerana ramai dalam kalangan netizen yang pernah berada dalam situasi sama ‘menghentam’ sistem kerja di kaunter mahkamah itu.
TUNTUTAN NAFKAH TERTUNGGAK, URUSAN MAHKAMAH SYARIAH SANGAT SUSAH!
Menerusi satu hantaran video di platform TikTok, wanita dikenali sebagai Nurin Alisa itu mendakwa tidak boleh membuat urusan di mahkamah syariah pada waktu petang kerana kaunter ditutup lebih awal.
Walaupun sudah datang seawal jam 2.30 petang, Nurin masih tidak boleh membuat apa-apa urusan kerana kakitangan di kaunter mahkamah syariah itu memaklumkan bahawa sudah ramai pelanggan yang hadir sebelumnya.
Nurin turut menjelaskan bahawa bukan semua orang mempunyai kebebasan untuk meminta pelepasan dari majikan selain berkongsi cerita bahawa cutinya sebelum ini sudah habis digunakan bagi menjaga anaknya di hospital.
“Aku sudah penat, datang banyak kali selepas itu ditolak. Sudah sembilan bulan (bercerai), aku tak dapat apa-apa (nafkah). Balik kerja, aku datang sini tetapi kaunter tutup. Sudah berapa kali aku datang. Sumpah penat.”
“Sampai aku cakap dekat kaunter, ‘patutlah ramai yang mengalah untuk memohon tuntutan nafkah sebab macam ini’. Suruh datang hari Isnin hingga Jumaat. Masalahnya siapa tak kerja waktu itu? Aku sudah tak boleh mohon cuti.”
Dia berkongsi lagi bahawa sudah mengambil cuti selama dua minggu sebelum ini kerana menjaga anak sakit di hospital.
“Datang jam 3 ke, 2.30 petang ke tetap tutup sebab dia kata sebelum aku ini sudah ramai orang. Aku masuk kerja 7 pagi, balik 4 petang. Aku nak balik pukul berapa lagi?” kesalnya.
Dalam perkongsian yang sama, Nurin turut meluahkan kekesalannya terhadap bekas suami kerana enggan menunaikan nafkah buat dirinya dan anak TANPA perintah daripada pihak mahkamah syariah. Wanita itu turut menunjukkan borang setebal kamus yang sudah diisi namun tuntutan nafkah tersebut masih belum diselesaikan hingga hari ini selain mengakui tidak memiliki pendapatan tinggi untuk melantik peguam.
DAPAT PERHATIAN MENTERI HAL EHWAL AGAMA
Perkongsian Nurin yang mendapat tontonan 2.3 juta di laman TikTok itu tidak sia-sia apabila turut mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang memberikan respon di ruangan komen. Datuk Dr Mohd Na’im yang juga bekas Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) itu bertanya mahkamah syariah mana yang terlibat sebelum dijawab Nurin melalui pesanan secara terus (DM).
“Alhamdulillah perkongsian saya itu dapat perhatian Datuk Dr Mohd Na’im dan pihak Mahkamah. Harapnya akan ada peraturan baharu yang lebih mempertahankan hak wanita dan anak-anak. Aku bukan lawan bukan untuk diri sendiri tetapi buat semua wanita.”
“Di luar negara kalau bapa kandung meninggal, yang kena tanggung nafkah adalah keluarga mentua. Macam mengikut Al-Quran dan Al-Sunnah. Tetapi tidak di negara ini. Bapa kandung pun boleh terlepas walhal masih hidup.”
Sementara itu, Nurin turut memberikan cadangan kepada pihak mahkamah agar membenarkan borang tuntutan diisi secara atas talian dan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menapis permohonan supaya dapat menjimatkan masa di kaunter yang dikatakan ‘tak cukup tangan’ itu.
@bullisaBurn out♬ original sound – Nurin Alisa
Baca juga: Suami ‘Hilang’ Tanpa Berita, Isteri Boleh Tuntut Cerai Ghaib & Ini 6 Fakta Anda Kena Tahu!
Sumber: Tiktok @NurinAlisa