Hebahan

Pengusaha Taska Boleh Tolak Anak Asuhan Yang Disyaki Dijangkiti Penyakit

Pengusaha taman asuhan kanak-kanak (TASKA) boleh menghalang kehadiran kanak-kanak asuhan atau mana-mana pihak yang menghidap penyakit berjangkit dalam tempoh tertentu mengikut arahan pegawai kesihatan.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Ruhaini Zawawi berkata, perkara itu termaktub di dalam Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 mengikut Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012 dalam memastikan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak asuhan.

UNTUK MEMASTIKAN KESELAMATAN DAN KESIHATAN ANAK ASUHAN

Via: Cikgu Share

Menurutnya, peringatan itu bagi mengelak kejadian kematian seorang bayi lelaki berusia empat bulan, Jumaat lalu yang sebelum itu didapati dalam keadaan lemah ketika dalam jagaan sebuah taska di Bandar Seri Botani, Ipoh.

“Jika pegawai perubatan memperakui kanak-kanak, pengurus, penyelia, pengasuh atau pekerja dijangkiti sebarang penyakit berjangkit atau terdedah kepada, atau tinggal dalam rumah sama dengan seseorang yang dijangkiti, maka pengusaha hendaklah melarang kehadiran mereka di taska bagi tempoh tertentu jika dikehendaki pegawai perubatan secara bertulis.

“Pihak taska pada bila-bila masa boleh menolak anak asuhan yang disyaki dijangkiti penyakit berjangkit termasuk deman, selesema, campak atau cacar air (chicken pox) dan penyakit kulit sehingga kanak-kanak itu diperakui sihat oleh pegawai perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat pemeriksaan di taska tempat jagaan bayi empat bulan yang meninggal dunia Jumaat lalu. Menurutnya, pengusaha yang tidak mematuhi peraturan itu adalah melakukan kesalahan yang jika sabit boleh didenda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya. Menurut akhbar Harian Metro Sabtu lalu melaporkan Muhammad Aakif Iskandar yang juga anak bongsu daripada tiga beradik meninggal dunia ketika menerima rawatan di HRPB jam 6.55 petang.

Bapa bayi itu, Meor Ikram Addnan dipetik berkata, anaknya baru sebulan dihantar ke taska itu dan ketika dihantar ke taska, bayinya berada dalam keadaan sihat, namun hidungnya sedikit berair akibat selesema. Ruhaini berkata, ibu bapa juga perlu bertanggungjawab memaklumkan mengenai keadaan kesihatan anak mereka kepada pihak taska bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

TOLONG PASTIKAN ANAK SIHAT SEBELUM DIHANTAR

“Perlu diberi penekanan dalam kalangan ibu bapa terutama yang menghantar anak ke taska tolong pastikan anak sihat apabila diserah kepada penjaga sebab sebarang kemungkinan boleh berlaku dan jika boleh tiada elemen salah menyalahkan sesiapa yang bertanggungjawab bila perkara tidak diingini berlaku.

“Dalam kes ini difahamkan pengusaha atau penjaga tidak dimaklumkan (kesihatan) mangsa semasa terima dilihat sihat, mungkin tiada makluman atau berlaku salah faham antara ibu bapa dengan penjaga berhubung kesihatan bayi berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama Ruhaini berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati taska berkenaan sudah tamat perakuan pendaftaran JKM Januari lalu dan kini dalam proses memohon perakuan baru.

“Susulan itu, taska ini ditutup sementara waktu sehingga perakuan pendaftarannya diperbaharui .

“Difahamkan kelewatan permohonannya disebabkan pengusaha sedang melengkapkan dokumen daripada beberapa agensi termasuk bomba serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selain dalam proses menggantikan jubin taska.

“JKM dapati taska ini sudah beroperasi lebih lima tahun dan tidak pernah berlaku kejadian seperti ini dan pengusaha juga sentiasa patuh garis panduan kami dan tidak timbul isu penderaan atau salah laku dalam kes ini,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Most Popular

To Top