Perkahwinan adalah ikatan suci yang memerlukan usaha pasangan suami isteri dalam memastikan hubungan tersebut kekal bahagia dan harmoni. Antara tips cinta boleh dipraktikan dalam kehidupan berumah tangga adalah seperti perkongsian di bawah ini.
Jelasnya, tips cinta ini pasti mampu membuatkan rumah tangga anda bahagia dan kekal manis sehingga hujung hayat. Nak tahu macam mana? Ikuti perkongsian lengkap di bawah.
Baca juga: Idea Tentatif Majlis Nikah & Sanding Hari Yang Sama, Sudah Pasti Lebih JIMAT Kos…
TIPS CINTA DALAM PERKAHWINAN AGAR KEKAL HINGGA HUJUNG HAYAT
Selepas lafaz akad, semua orang ucap tahniah dan tiba-tiba hidup berubah. Dari seorang, kini jadi dua. Semua benda jadi ‘kita’. Hidup berdua ini seronok tapi ada cabaran dia juga.
Jadi, macam mana nak pastikan cinta lepas akad ini bukan sekadar indah di awalnya, tapi kekal manis sampai ke hujung hayat?Jawapan dia senang sahaja iaitu libatkan Allah dalam perkahwinan.
1. Solat berjemaah
Masa baru kahwin, semua benda rasa nak buat bersama. Makan sama, tengok TV sama, dan tidur pun sama. Tapi yang paling seronok kalau boleh, biasakan solat berjemaah sama-sama.
2. Tips cinta – baca al-Quran bersama
Selain solat berjemaah, cuba amalkan baca al-Quran bersama. Tak perlu habiskan satu juzuk pun takpe, yang penting istiqamah. Sebelum tidur, luangkan 10-15 minit baca beberapa ayat.
Kalau boleh, buat giliran. Hari ini suami baca, isteri dengar, esoknya tukar giliran. Bukan setakat dapat pahal, tapi hubungan pun jadi lebih kuat.
Sambil itu, boleh tanya pasangan, “Eh, awak tau tak maksud ayat ni?” dan dari situ, perbincangan yang santai tapi bermakna boleh terjalin.
3. Doa bersama-sama
Dalam perkahwinan, ujian pasti akan datang. Kadang-kadang benda kecil sahaja tapi boleh jadi perang besar. Masa ini, jangan lupa berdoa bersama.
Tak semestinya doa formal sahaja, tapi minta perlindungan daripada Allah dalam apa juga keadaan. Lepas solat, pegang tangan pasangan dan berdoalah.
Contoh: “Ya Allah, semoga suamiku rajin buang sampah lepas ini,” atau, “Ya Allah, izinkan isteriku masak sedap hari ini.” Sambil bergurau tetapi saling mendoakan satu sama lain.
4. Tips cinta – sentiasa sabar
Satu perkara yang pasangan suami isteri kena ingat lepas akad adalah tak semua benda akan berjalan lancar macam dalam filem. Ada masa pasangan kita buat kita geram. Tapi di sinilah pentingnya sabar dan mengalah.
Kalau tengah marah, ambil masa bertenang sebelum balas balik. Ingat, mengalah bukan bermakna kalah, tapi tanda matang. Lagi satu, jangan lupa peluk pasangan selepas minta maaf. Sikit-sikit lama-lama cair la hati.
5. Tips cinta – sama-sama menuju ke syurga
Apa yang lebih manis dalam perkahwinan ini kalau bukan sama-sama menuju syurga? Jangan lupa, Allah beri pasangan sebagai satu amanah. Jadikan perkahwinan sebagai satu platform untuk saling mengingatkan dalam kebaikan.
Suami ajak isteri buat kebaikan, isteri bantu suami kuatkan iman. Sama-sama bangun qiamullail, sama-sama sokong antara satu sama lain.
Cinta lepas akad ini bukan sekadar tentang siapa masak, siapa basuh baju, atau siapa tukar lampin anak. Ia adalah perjalanan spiritual yang lebih besar.
Kalau tanamkan niat untuk mendekatkan diri pada Allah, insyaAllah, cinta itu akan kekal subur. Bukan sahaja di dunia, tetapi hingga ke akhirat.
Perjalanan ini panjang, tapi bila Allah ada bersama, semuanya akan indah.
Sumber: Facebook Shauqi Hasan