Asuh

Latih 5 Perkara Ini Bila Anak Buat Salah. Jangan Asyik Paksa Mereka Minta Maaf!

78
SHARES
cara ajar anak minta maaf

Secara logiknya, jika anak berbuat salah, ibu bapa akan menganjurkan agar mereka meminta maaf. Namun, tidak semua anak kecil berasa selesa dan mahu meminta maaf apabila disuruh. Berbeza dengan orang dewasa, kanak-kanak memerlukan lebih banyak masa untuk meneka perasaan orang lain dan tidak mampu berfikir panjang akibat perbuatan mereka. Bahkan, sesetengah orang dewasa sendiri sukar meminta maaf kerana menganggapnya mendedahkan kelemahan mereka sendiri seperti yang dijelaskan oleh penulis buku The Power of Apology, Beverly Engel.

Sungguhpun mengajarkan anak meminta maaf adalah perbuatan yang baik. Namun, ia tidak seharusnya terhenti setakat itu. Mereka perlu dijelaskan sebab dan apa yang berlaku berulangkali agar mereka dapat memahami apa fungsi perbuatan maaf tersebut. Malah, jika ibu bapa asyik memaksa anak ‘meminta maaf’ sekadar untuk menutup malu, anak mungkin akan menyalah tafsir tindakan meminta maaf sebagai sesuatu yang negatif.

Lakukan 5 Perkara Ini Bila Anak Buat Salah. Jangan Asyik Paksa Mereka Minta Maaf!

Oleh itu, jangan lupa ajarkan 5 perkara penting ini apabila anak melakukan kesilapan.

1. Biar Ruang Untuk Bertenang

Bila anak melakukan kesilapan, selalunya mereka akan berada dalam keadaan marah, sedih, atau kecewa. Maka, seeloknya kita beri mereka ruang untuk bertenang terlebih dahulu.

Sekiranya kita ‘membebel’ atau menerangkan kepada mereka apa yang berlaku pada masa tersebut, sebenarnya mereka susah memahaminya kerana sedang dirundung emosi. Maka, situasi berpotensi menjadi lebih buruk. Apabila emosi anak nampak lebih stabil, barulah kita membincangkan tentang apa yang dilakukannya sebentar tadi, seperti yang disarankan oleh Janet Lansbury, penulis buku No Bad Kids.

anak yang sensitif

Foto Kredit: mommynearest.com

2. Fokus Pada Situasi

Apabila anak melakukan sesuatu kesilapan, lebih-lebih lagi di tempat awam – contohnya melanggar seseorang apabila sedang berlari-lari, ibu bapa tentunya akan mudah berasa malu dan marah.

Cuba sembunyikan perasaan anda dan fokus pada situasi tersebut agar anak lebih faham apa yang berlaku dan mengapa mereka perlu meminta maaf. Penting untuk ibu bapa mendapatkan ‘eye contact’, menunjukkan reaksi wajah serius, tetapi bukannya marah atau benci.

Jika kebanyakan masa mereka meminta maaf kerana takut dimarah, mungkin susah untuk mereka meminta maaf apabila berbuat salah ‘di belakang’ anda.

menjerit pada anak

Foto Kredit: kaev.net

3. Jelaskan Apa Yang Berlaku Akibat Tindakannya

Sifat empati adalah sejenis kemahiran yang membolehkan seseorang memahami keadaan orang lain. Sungguhpun ia dianggap satu perasaan yang akan lahir dalam diri seseorang secara semulajadi, namun sebenarnya sifat ini boleh dilatih sejak awal lagi.

Untuk memahamkannya kepada anak kecil, ajarkan mereka memerhati, mengenali emosi, dan membuat tindakan yang sewajarnya. Contohnya, “Tengoklah kawan kamu yang terjatuh tadi. Dia menangis sebab terkejut dan sakit. Kalau kamu berada di tempatnya, apa yang kamu rasa? Bagaimana kita boleh membantunya?”

cara ajar anak

Foto Kredit: huffingtonpost.com

4. Tunjukkan Bagaimana Mereka Boleh Memperbaiki Keadaan

Sesetengah anak yang dah terbiasa mengucapkan kata ‘maaf’ tanpa benar-benar memahami alasannya mungkin merasakan mereka sudah ‘terlepas’ daripada apa-apa kesilapan yang dilakukan.

Oleh itu, jangan lupa ajarkan anak untuk bertanggungjawab terhadap apa yang telah mereka lakukan. Berikan cadangan atau berbincang dengan anak bagaimana mereka boleh memperbaiki keadaan.

Selain meminta maaf, mereka boleh diajar untuk mengangkat kawan yang terjatuh, bersalaman, mengusap belakangnya, mengemaskan semula permainan yang bersepah, memberi hadiah, atau apa saja yang bersesuaian dengan situasi yang berlaku.

anak minta maaf

Foto Kredit: theodysseyonline.com

5. Jadi Contoh Terbaik

Anak-anak adalah peniru ibu bapa yang paling dekat. Mereka mudah mengikut tindak-tanduk kita walaupun mereka belum memahaminya. Oleh itu, kita sebagai ibu bapa juga perlulah berlapang dada dan meminta maaf jika melakukan kesilapan kepada sesiapa di sekeliling kita.

Menurut Annye Rothenberg menerusi Perfecting Parenting, apabila anak mendengar ibu bapa berkata “Papa minta maaf, Papa tersilap”, ia adalah sebuah kenyataan yang amat bermakna buat mereka – kerana secara tidak langsung, kita memberi kebenaran untuk anak melakukan kesalahan. Kita memberitahu mereka bahawa tiada insan yang sempurna. Kita menunjukkan mereka bahawa ada cara untuk membetulkan kesilapan dalam perhubungan.

Foto Kredit: huffingtonpost.com

Latih Dengan Konsisten

Meminta maaf sememangnya memerlukan keberanian. Apabila anak meminta maaf dengan ikhlas, pujilah mereka dan nyatakan bagaimana anda berasa bangga dengan mereka.

Selain itu, berilah dorongan dan sedikit masa untuk anak mempraktikkannya dengan setulus hati. Ingat, tujuan akhirnya adalah untuk mengasah kepekaan anak supaya mereka mampu menjaga sikap dan tidak berulangkali melakukan kesalahan yang sama.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×