“Aduh, stres pula nak ajar anak ke tandas sendiri ni. Ingatkan taklah susah sangat. Kalau seminggu macam ni, haru juga dibuatnya.”
‘Potty training’ atau latihan ke tandas adalah salah satu ‘milestone’ atau fasa peralihan yang amat penting dalam seseorang anak kecil. Sesetengah ibu bapa dikatakan berjaya ajar anak ke tandas hanya dalam masa 3 hari. Tetapi, ramai juga ibu bapa yang mengambil masa berminggu-minggu sebelum anak dapat melakukannya.
Jadi, apakah faktor yang menyebabkan sesetengah anak kecil dapat menjayakannya dengan lebih baik dan cepat berbanding yang lain? Berikut adalah beberapa kesilapan yang mungkin anda lakukan.
7 Kesilapan Ibu Bapa Semasa Ajar Anak Ke Tandas
1. Anak Belum Bersedia
“Kesilapan terbesar yang dilakukan oleh ibu bapa semasa ajar anak ke tandas adalah berkait rapat dengan tidak memahami kesediaan anak untuk melakukannya. Anak kecil seharusnya sudah boleh mengawal keinginan untuk ke tandas dan mereka perlu MAHU melakukannya,” jelas Charles Shubin, pengarah paediatrik di salah sebuah pusat kesihatan antarabangsa.
Mungkin anak-anak tidak memberitahu anda secara langsung bahawa mereka ingin dilatih untuk menggunakan tandas. Tetapi, sebenarnya terdapat tanda yang menunjukkan kesediaan mereka untuk mahu mencubanya.
Antara tanda yang menunjukkan mereka berminat untuk melakukannya adalah apabila mereka suka mengekori anda ke tandas dan mahu melihat apa yang anda lakukan. Mereka mungkin mahu melihat anda ‘flush’, menggunakan paip, dan sebagainya. Lagi satu tanda adalah anak kecil sudah berasa tidak selesa memakai lampin dan suka membukanya sendiri.
2. Ibu Bapa Tak Buat Persediaan
Walaupun yang akan dilatih ke tandas adalah si kecil, tetapi anda juga perlu membuat persediaan mental dan fizikal.
Anda perlu melihat kalendar untuk memilih tarikh yang sesuai untuk melakukannya kerana ia AMAT memerlukan masa dan perhatian. Anda perlu sentiasa berada di rumah dan tidak merancang untuk ke mana-mana dalam masa terdekat.
Jadi, jika anda sedang dilanda kesibukan atau terlibat dengan projek yang hampir masa ‘deadline’, ‘potty training’ bukanlah sesuatu yang boleh anda ambil mudah. Jika anda melatih anak separuh jalan, mereka akan berasa keliru dan sukar menjayakannya dalam cubaan berikutnya.
3. ‘Mengelat’
Sesetengah ibu bapamenganggap lebih mudah untuk melatih anak ke tandas dengan melakukannya ‘separuh-separuh’, iaitu siang dahulu kemudian malam. Namun sebenarnya, pakar berpendapat latihan ajar anak ke tandas ini memerlukan komitmen sepenuh masa. Sediakan pelapik tilam untuk digunakan pada waktu malam dan bawalah pakaian lebih apabila keluar berjalan-jalan.
Jika anda ‘mengelat’ dan menggunakan lampin pada waktu malam, apabila keluar berjalan-jalan, atau pada bila-bila masa anda merasakannya terlalu susah untuk meneruskan latihan, anak juga akan berasa sukar untuk mengekalkan konsistensi mereka.
4. Cepat Mengalah
Setelah 2 hari mengelap najis dan air kencing yang berteraburan, mengeringkan tilam yang basah, dan mencuci baju yang banyak, ramai ibu bapa yang akan mengalah seawal 2-3 hari pertama.
Sedangkan, anak kecil mungkin memerlukan sedikit masa lagi dan hampir berjaya di saat anda membuat keputusan untuk berhenti mencuba. Kebanyakan anak kecil memerlukan masa seminggu atau lebih, dan perlu dipantau dalam masa beberapa minggu selepas itu. Maka, bersabarlah dan berilah mereka sedikit masa lagi untuk mencuba.
5. Tak Tahu Petanda Untuk ‘Membuang’
Kalau anda ingat anak kecil akan terus datang kepada anda dan cakap, “Mama, nak kencing!”, anda silap besar. Anak kecil jarang berbuat demikian, lebih-lebih lagi pada cubaan kali pertama bercerai lampin.
Sebaliknya, petanda yang anda akan nampak adalah lebih ‘halus’. Oleh itu, buat beberapa hari pertama, anda perlu memerhatikan mereka seperti helang. Mereka mungkin akan berjoget-joget, menunjukkan riak muka tertentu, memegang bahagian kemaluan, atau pergi ke suatu tempat yang tak dilihat sesiapa semasa ingin membuang air kecil atau air besar. Tanda-tanda ini tidak mungkin dapat anda kesan sekiranya anda terlalu sibuk, terganggu, dan tidak memberi perhatian.
Sekiranya anda dapat mengenalpasti tanda ini, anak kecil akan lebih cepat membuat hubungkait antara perasaan hendak ‘membuang’ dengan pergi ke tandas, seperti yang dijelaskan oleh Wanda Draper, penulis buku Your Child Is Smarter Than You Think!
6. Buat Anak Takut
Apabila sampai satu tahap tertentu, anda mungkin merasakan bahawa proses ini amat sukar sehingga anda berasa tertekan. Secara tidak sedar, anda telah menunjukkan emosi negatif dan memarahi anak kerana mereka belum dapat bercerai lampin dengan cepat seperti apa yang anda harapkan.
Seperkara yang perlu anda tahu, anak anda juga sedang merasakan perkara yang sama. Mereka juga sedang merasai perubahan dan cuba untuk beradaptasi. Ia bukannya mudah buat mereka. Sekiranya ibu bapa memarahi mereka, tentulah si anak akan berasa lebih ‘teruk’ sehingga menahan kencing atau berak. Hal ini bukan saja boleh menjejaskan latihan ajar anak ke tandas, ia turut akan memberi kesan kepada kesihatan mereka seperti sembelit.
7. Tak Minta Pertolongan
Apabila anda berasa terlalu penat, pastikan anda meminta kerjasama daripada pasangan anda. Seeloknya, latihan ajar anak ke tandas ini dibincangkan terlebih dahulu supaya anda dapat meminta sokongan daripada mereka apabila ada kerja-kerja rumah yang tergendala dan sebagainya.
Oleh itu, penting untuk pasangan anda memahami keadaan ini supaya anda juga tidak berasa stres disebabkan oleh hal-hal lain di rumah.
Setiap Anak Berbeza
Sesetengah anak kecil akan mengambil masa lebih lama berbanding yang lain. Jadi, jangan terlalu terpengaruh dengan bacaan dan pengalaman ibu-ibu lain yang dapat melakukannya dengan begitu baik dan cepat.
Apa pun, percayalah, dengan kesabaran anda, anak anda tentu dapat melakukannya juga.