Ingin tahu tips ambil gambar yang mudah bagi menghasilkan kelainan dalam gambar yang diambil?
Tidak pasti cara terbaik untuk mengambil gambar yang cantik dan menarik?
Mahu gambar kelihatan lebih ‘style’ walaupun dengan menggunakan barang-barang sedia ada di rumah sahaja?
Usah gusar! Kaedah ‘flat lay’ untuk mengambil gambar menjanjikan keunikan dan pasti memukau pandangan sesiapa jua yang melihatnya!
‘Flat Lay’ Jadikan Gambar Lebih Menarik Dan ‘Stylo’
Melihat gambar-gambar yang cantik di media sosial, kadang kala terdetik di hati ingin mengambil gambar sendiri. Lebih-lebih lagi bagi anda yang mempunyai perniagaan ‘online’ yang memerlukan anda untuk mengambil gambar sendiri bagi mengemaskini stok terkini.
Kaedah ‘flat lay’ merupakan salah satu kaedah terkini dengan hanya meletakkan barang-barang sedia ada pada tapak rata untuk mengambil gambar dari arah atas. Ianya cukup mudah dan akan menghasilkan gambar yang sangat menarik sekiranya dilakukan dengan teknik yang betul.
5 Tips Ambil Gambar Guna Kaedah ‘Flat Lay’
Berikut merupakan 5 tips ambil gambar guna kaedah ‘flat lay’ sepertimana yang dikongsikan oleh Lin Chalo melalui laman Facebook peribadi beliau. Semoga bermanfaat untuk semua!
1. Sediakan Bahan Utama & Props Mengikut TEMA
Pastikan anda mempunyai bahan utama atau produk dan props mengikut tema yang dipilih. Tentukan beberapa warna sahaja untuk satu set item sebelum memilih props. Bagi memastikan gambar tersebut tidak terlalu padat, anda tidak memerlukan banyak props. Pilih props yang benar-benar sesuai dengan tema. Pastikan kesemua item ‘ngam’ serta menepati tema apabila digabungkan bersama.
Sebagai contoh, sekiranya anda ingin mengambil gambar makanan, anda boleh memilih tema pemakanan yang sihat. Jadikan makanan tersebut sebagai bahan utama, manakala sudu, garfu atau cawan boleh dijadikan props. Selain itu, anda juga boleh meletakkan beberapa buah-buahan atau sayur-sayuran di sekitar bahan utama tersebut sebagai props bagi mengekspresikan tema pemakanan yang sihat. Dengan pilihan empat atau lima warna sahaja seperti gambar di bawah sudah cukup untuk menjadikan gambar tersebut kelihatan cantik dan menarik.
2. Sediakan ‘Background’ Yang Cantik & Bersih
Untuk mengambil gambar yang cantik, anda perlu menyediakan ‘background’ atau latar belakang yang cantik dan juga bersih. Seeloknya, gunakan ‘background’ yang tidak bercorak (plain) atau corak yang sangat minimum agar dapat menyerlahkan bahan utama dan props dalam gambar secara maksima.
Anda boleh menggunakan kad manila, kertas warna, kertas mahjong, ‘placemat’ atau ‘table mat’ sebagai ‘background’ untuk mengambil gambar tersebut.
3. Cahaya Yang Mencukupi
Cahaya mempengaruhi kualiti gambar yang diambil. Cahaya yang mencukupi sangat penting bagi memastikan gambar yang diambil kelihatan cantik, terang, jelas dan nyata,
Ambil gambar di tepi tingkap bagi mendapatkan cahaya yang mencukupi daripada cahaya matahari sebagai sumber cahaya semulajadi.
4. Atasi ‘Shadow’ Berlebihan
Bagi mengatasi ‘shadow’ berlebihan dalam gambar, anda boleh meletakkan styrofoam bertentangan atau bersebelahan dengan tingkap yang membekalkan sumber cahaya sebelum mengambil gambar tersebut.
Styrofoam dapat memantulkan cahaya dan mengurangkan ‘shadow’ dalam gambar yang akan diambil kelak. Cara ini akan menghasilkan gambar yang sangat cantik – hasil daripada pencahayaan yang ‘just nice’ tanpa ‘shadow’ berlebihan atau cahaya yang terlalu terang.
5. Susun Ikut Kreativiti
Susun gambar mengikut kreativiti anda dan ‘blend’ warna dalam gambar tersebut agar ianya nampak sekata (balance) serta sedap mata memandang. Elakkan susunan barang yang terlalu rapat. Berikan ruang yang bersesuaian antara bahan utama dan props agar ianya tidak kelihatan terlalu padat.
Lihat daripada pandangan atas, adakah gambar akan kelihatan cantik dengan susunan sebegitu atau sebaliknya. Cuba buat beberapa susunan dan pilih gambar terbaik untuk dimuatnaik di media sosial kelak.
Mari Jadi Kreatif!
Tips yang cukup mudah dan praktikal, bukan? Hanya dengan menggunakan barang-barang sedia ada di rumah sahaja, anda boleh mengambil gambar yang menarik dan hasilnya pasti tidak mengecewakan. Sangat berbaloi!
Mari praktikkan kesemua tips ambil gambar guna kaedah ‘flat lay’ ini dan kongsikan hasilnya bersama rakan-rakan anda! Selamat mencuba!
*Sumber asal tips ambil gambar ‘flat lay’ ini dikongsikan oleh Lin Chalo melalui laman Facebook peribadinya dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau. Beliau juga aktif menulis di blog peribadi beliau iaitu sweetbonda.my.