“Aduh, kecik besor kecik besor je Mak tengok tulisan awak ni Anas… Dah kenapa tulisan macam kena puting beliung ni? Cuba tulis elok-elok sikit…”
Bila check buku sekolah anak-anak, memang begitulah gayanya. Mesti ada mak-mak dan ayah-ayah yang terpaksa urut dada tengok tulisan anak yang ala-ala cakar ayam.
Kalau disuruh tulis semula, bukan main ‘liat’ dan lambat pula. Kita yang tengok mereka menulis pun rasa kasihan. Terkial-kial je. Kadang-kadang tu dah ajar banyak kali sampai timbul pula rasa geram kan?
Apapun, mak-mak dan ayah-ayah kena banyak bersabar. Jom ketahui dulu beberapa punca anak susah menulis.
5 Sebab Anak Susah Menulis. Tulisan Comot & Tak Boleh Dibaca
1. Belajar Menulis Bukan Semudah Yang Disangka
Sebelum mak ayah panik, penting untuk kita faham bahawa menulis bukanlah semudah yang kita sangka bagi anak kita. Ini kerana ia sebenarnya memerlukan kebolehan untuk mengorganisasi, menyampaikan idea, mengingat, dan mengawal otot pada tangan dan jari untuk membentuk huruf-huruf.
Oleh itu, bagi seorang anak kecil yang pertama kali melakukannya sudah tentu akan mengambil sedikit masa untuk dikuasai dengan baik.
Untuk mendapatkan tulisan yang cantik, ia bukan saja memerlukan latihan menulis di atas kertas, tetapi juga koordinasi anggota serta rangsangan motor yang melibatkan saraf kasar dan saraf halus.
2. Kurang Latihan Kemahiran Motor
Menulis memerlukan kemahiran memegang objek dan mengawalnya dengan keseimbangan, seperti juga memandu kereta.
Disebabkan itu, anak-anak kita memerlukan banyak latihan fizikal untuk membolehkan mereka mengawal otot pada jari dan pergelangan tangan. Menurut kajian dalam sebuah jurnal Child Development, kemahiran menulis sebenarnya boleh diasah seawal usia 3 tahun.
Pelbagai aktiviti harian yang mudah seperti ‘bermain’ makanan, membina blok bangunan, menconteng, atau merangkak dapat membantu mereka mengkoordinasikan mata dan tangan. Anak yang lebih besar pula boleh dibiasakan dengan aktiviti menggunting, membutang baju, menggunakan puncher, dan sebagainya.
Selain itu, macam-macam aktiviti DIY juga boleh ibu ayah sediakan untuk menggalakkan anak-anak mengasah kemahiran motor kasar dan halus.
3. Terlalu Banyak Gajet
Kita pun boleh mengagak bahawa antara punca terbesar perkara ini berlaku adalah akibat penggunaan gajet yang berlebihan. Kekuatan asas yang diperlukan dalam permainan yang mengasah kemahiran motor halus dan kasar semakin kurang dilakukan apabila anak-anak lebih sering menghadap tablet dan smartphone.
Menurut Sally Payne, Ketua Paediatrik Terapi Carakerja (Occupational Therapist) di Heart of England Foundation menerusi The Guardian, kanak-kanak sekarang tidak memiliki kekuatan tangan seperti mana 10 tahun lalu.
Disebabkan ini, kanak-kanak tidak memiliki genggaman tangan yang fleksibel dan seterusnya menjadikan mereka kekok atau berasa sukar untuk memegang pensel dengan baik.
4. Kurang Pendedahan
Cara pegangan pensel biasanya akan berlaku secara berperingkat mengikut perkembangan motor anak. Mereka boleh didedahkan dengan pelbagai jenis alat tulis untuk menarik minat mereka serta mengasah kemahiran menulis sejak kecil.
- Usia 1 – 3 tahun : Pada usia ini, anak-anak kecil baru dalam proses mengenal alat tulis. Ketika anda memberinya sebatang pensel, mereka akan memegangnya dengan seluruh jari. Mereka menggunakan kekuatan lengan, bahu dan tangan
- Usia 3.5 – 4 tahun : Apabila semakin besar, anak mula memegang pensel dengan 4 jari. Mereka mula pandai menggerakkan tangan menggunakan bahagian siku ke bawah kerana bahagian bahu semakin stabil.
- Usia 4.5 – 6 tahun : Pada usia ini, anak-anak boleh memegang pensil dengan 3 jari. Mereka menggunakan ibu jari, jari telunjuk, dan jari tengah untuk menggerakkan mata pensel. Cara memegang hampir sempurna, namun mungkin belum cukup berasa selesa.
- Usia 4.5 – 7 tahun : Pada usia ini, anak-anak biasanya telah dapat memegang pensel dengan baik dan mengawal pergerakan mata pensel untuk membentuk bentuk huruf dengan efisyen.
5. Masalah Pembelajaran
Tulisan yang kurang kemas atau sedikit comot bukanlah sesuatu yang anda perlu risaukan. Namun jika ia tidak bertambah baik walaupun setelah latihan demi latihan, bahkan semakin serius dan seolah-olah ‘menyeksa’ si anak, ibu bapa mungkin boleh merujuk masalah ini kepada guru atau juruterapi carakerja (occupational therapist).
Menurut pakar, masalah pembelajaran seperti disleksia dan dysgraphia juga boleh menyumbang kepada masalah kesukaran menulis di kalangan kanak-kanak.
Banyak Cara Ajar Anak Menulis Dengan Seronok
Ada banyak cara untuk mengajar anak menulis dengan seronok di rumah. Jangan hadkan anak-anak dengan penggunaan pensel dan kertas semata-mata, sebaliknya cubalah menarik minat mereka dengan menggunakan kapur, pen marker, atau cat lukisan.
Mereka juga boleh diajar menulis pada pelbagai permukaan selain kertas di atas meja. Banyak contoh dan idea kreatif yang boleh kita cedok daripada Pinterest, Google dan yang sewaktu dengannya.
Dengan menjadikan latihan menulis kurang rigid dan tak membosankan, anak-anak tentu lebih bersemangat untuk belajar menulis!