Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 akan dikreditkan kepada lebih 8 juta penerima bermula 29 Ogos Ini. Menurut Kementerian Kewangan (MOF), jumlah itu membabitkan penerima sedia ada dan penerima baharu atau rayuan akan menerima STR bermula 18 September.
Baca juga: Thailand Umum Perkhidmatan Kereta Api Secara Terus Dari Bangkok Ke Pulau Pinang
SUMBANGAN TUNAI RAHMAH FASA 3 DIKREDITKAN BERMULA 29 OGOS INI
Setiap penerima akan menerima bantuan tunai sehingga RM650 mengikut kategori masing-masing. Penerima sedia ada dan penerima baharu atau rayuan yang berdaftar dalampangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 3 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat.
MOF ingin menasihati penerima STR sentiasa berwaspada dengan pautan tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab di luar sana.
“Sebagai perlindungan daripada kes penipuan (scam), pihak MOF tidak membuat penghantaran SMS dan mesej WhatsApp meminta maklumat peribadi kepada individu,” jelasnya.
MOF juga memaklumkan bahawa melalui Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa peruntukan STR berjaya ditingkatkan daripada RM8 bilion pada tahun lalu kepada RM10 bilion.
“Penambahan peruntukan bagi STR 2024 mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk membantu meringankan cabaran kos sara hidup rakyat, terutamanya bagi keluarga di bawah kategori B40 dan M40 terendah,” ujarnya.
Penambahbaikan STR 2024 adalah sejajar dengan pendekatan Kerajaan MADANI untuk menumpukan sumber kewangan negara kepada rakyat yang memerlukan bantuan.
Selain itu, MOF turut memaklumkan kerajaan turut mengambil pendekatan baharu dengan membuka pendaftaran STR sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan Kerajaan.
“Oleh itu, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.
“Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan,” katanya.
Baca juga: 70% Wanita Malaysia Kekurangan Vitamin D, Jaga-Jaga Dengan Tanda Ini!
Sumber: Harian Metro