Famili

Bantu Ibu Bapa Terpaksa Bertugas, Pihak Pengusaha Taska/Tadika Minta Kebenaran Beroperasi

9
SHARES

Selari dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat kepada semua negeri kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis sehingga 6 Disember, pengusaha taman asuhan kanak-kanak (Taska) dan taman didikan kanak-kanak (Tadika) mendesak Majlis Keselamatan Negara (MKN) membenarkan premis itu beroperasi.

Hal ini kerana, pembukaan taska dan tadika bertujuan bagi membantu petugas barisan hadapan dan petugas perkhidmatan penting meninggalkan anak-anak ketika bertugas.

MELEGAKAN IBU BAPA YANG TERPAKSA BERTUGAS

Presiden Persatuan Pengusaha TASKA dan TADIKA Putrajaya (PUSPAJAYA) Husna Abdul Rahaman berkata, pembukaan perkhidmatan itu pasti melegakan ibu bapa kerana dapat menghantar semula anak, sekali gus membolehkan mereka kembali bekerja serta menumpukan kepada tugas diamanahkan.

Menurutnya, pembukaan Taska dan Tadika berdaftar itu juga dapat menyelesaikan masalah ibu bapa menghantar anak-anak ke tempat jagaan tidak berdaftar dan pengasuh tidak terlatih, yang dikhuatiri menimbulkan masalah kepada kanak-kanak berkenaan.

Katanya, ibu bapa dan petugas barisan hadapan sememangnya menunggu pembukaan Taska dan Tadika berkenaan kerana terdapat segelintir daripada mereka berhadapan bebanan kewangan ekoran terpaksa membayar yuran di dua tempat yang berlainan.

“Ibu bapa memerlukan tempat yang selesa dan selamat untuk meninggalkan anak-anak sepanjang mereka bertugas selain memastikan pusat jagaan itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baru-baru ini media melaporkan, kerajaan akan menilai semula pembukaan Taska dan Tadika berikutan wujud dakwaan banyak perniagaan itu ‘gulung tikar’. Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik berkata ia bergantung kepada pelbagai faktor khususnya membabitkan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak.

SOP TASKA DAN TADIKA MEMANG KETAT

Husna berkata, masalah pematuhan SOP tidak timbul kerana sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) lalu pengusaha Taska dan Tadika mematuhinya, manakala pemeriksaan pemantauan dari semasa ke semasa dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pihak polis.

Justeru, pihaknya merayu kepada kerajaan agar memberi kebenaran khas kepada Taska, Tadika dan pusat jagaan sementara beroperasi semula bagi membantu petugas barisan hadapan dan petugas perkhidmatan penting di pusat kerajaan ini.

Sementara itu, beliau turut bersetuju dengan peruntukan dana khas berjumlah RM30 juta disediakan untuk penyediaan Taska di bangunan kerajaan, khususnya hospital melalui Belanjawan 2021.

“Inisiatif diadakan itu dapat membantu petugas barisan hadapan dan golongan ibu bekerjaya mengalami pelbagai kekangan untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan kanak-kanak.

“Kami turut menghargai usaha kerajaan mengetengahkan dasar keprihatinan melalui dana sama dalam bentuk geran padanan sehingga RM20 juta yang disediakan untuk sektor swasta bagi mengelak pengusaha ‘gulung tikar’ selain mengurangkan jumlah pengangguran yang ramai dalam kalangan pekerja Taska dan Tadika terlatih,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Most Popular

To Top
×