Nur

Siapa Ummu Hani’ Yang Dikatakan Cinta Pertama Rasulullah SAW? Mufti Tolong Ceritakan…

23
SHARES
ummu hani

Sudah pasti ramai yang pernah mendengar ceramah-ceramah agama yang ada menceritakan tentang kisah cinta Rasulullah SAW. Namun, baru-baru ini tular kenyataan berkenaan cinta pertama Rasulullah SAW yang dikatakan bernama Ummu Hani binti Abu Talib.

Dakwaan tersebut menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah melamar Ummu Hani’ sebanyak tiga kali. Ramai dalam kalangan warganet berasa ragu-ragu dengan kenyataan tersebut dan meminta pihak Mufti beri pencerahan sama ada benar atau palsu.

Baca juga: Doa Penawar Racun Akibat Selalu Digigit Serangga Berbisa, InsyaAllah Tak Melarat..

SIAPAKAH UMMU HANI DAN BENARKAH ‘FIRST LOVE’ BAGINDA RASULULLAH SAW?

ummu hani

1.Ummu Hani’ binti Abu Talib dan nama sebenarnya ialah Fakhitah binti Abu Talib.

2.Beliau merupakan sepupu Baginda Nabi SAW dan puteri kepada Abu Talib yang merupakan bapa saudara Baginda serta kakak kepada Saidina Ali bin Abi Talib RA. Suaminya ialah Hubairah bin ‘Amru bin A‘iz al-Makhzumi.

3.Ummu Hani’ memeluk Islam pada hari pembukaan kota Makkah namun suaminya Hubairah tidak memeluk Islam pada peristiwa berkenaan.

4.Rasulullah SAW pernah memasuki rumahnya serta menunaikan solat sunat dhuha sebanyak lapan rakaat pada hari pembukaan Makkah tersebut.

5.Sayyidatina Ummu Hani’ turut meriwayatkan beberapa hadis daripada Nabi SAW bahkan beberapa orang sahabat mengambil riwayat daripadanya seperti Ja‘dah, Ibn ‘Abbas, Abdul Rahman bin Abu Laila, Mujahid bin Jabr, ‘Ata’ bin Abu Rabah, ‘Urwah bin al-Zubair dan lain-lain. Turut direkodkan bahawa terdapat sekitar 46 riwayat hadis dan Nabi SAW yang sampai daripada beliau.

6.Ummu Hani’ wafat pada tahun ke-50 Hijrah.

Status Hadis Berkenaan Lamaran Rasulullah SAW terhadap Ummu Hani’

Melalui kenyataan yang didakwa, tiga lamaran tersebut berlaku pada tiga latar masa dan keadaan yang berbeza. Dikatakan lamaran tersebut berlaku:

Kali pertama: Sebelum kedatangan Islam, Nabi SAW pernah melamar Ummu Hani’ namun beliau menolak lamaran tersebut kerana menganggap Baginda Nabi sebagai seorang abang lalu beliau berasa segan untuk menerima lamaran tersebut. Berkenaan penyataan dan dakwaan ini, tidak dapat diketahui sumber daripada mana ia disandarkan, sama ada daripada hadis nabawi mahupun kalam para ulama. Setakat pencarian kami, kami tidak menemui sebarang riwayat ataupun athar yang menyebut perkara sedemikian.

Kali kedua: Sebelum Baginda diangkat menjadi Rasul. Riwayat ini ada direkodkan oleh Ibn Sa‘d dalam kitab al-Tabaqat, teks riwayatnya adalah seperti berikut[3]:

أَخْبَرَنَا هِشَامُ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ السَّائِبِ الْكَلْبِيُّ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي صَالِحٍ عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: خَطَبَ النَّبِيُّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – إِلَى أَبِي طَالِبٍ ابْنَتَهُ أُمَّ هَانِئٍ فِي الْجَاهِلِيَّةِ. وَخَطَبَهَا هُبَيْرَةُ بْنُ أَبِي وهب بن عمرو بن عائذ بن عمران بن مخزوم. فتزوجها هبيرة فقال النبي – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -: يا عم زوجت هبيرة وتركتني؟ فقال: يا ابن أَخِي إِنَّا قَدْ صَاهَرْنَا إِلَيْهِمْ وَالْكَرِيمُ يُكَافِئُ الْكَرِيمَ. ثُمَّ أَسْلَمَتْ فَفَرَّقَ الإِسْلامُ بَيْنَهَا وَبَيْنَ هُبَيْرَةَ فَخَطَبَهَا رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – إِلَى نَفْسِهَا فَقَالَتْ: وَاللَّهِ إِنْ كُنْتُ لأُحِبُّكَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَكَيْفَ فِي الإِسْلامِ؟ وَلَكِنِّي امرأة مصيبة وَأَكْرَهُ أَنْ يُؤْذُوكَ. [فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ: خَيْرُ نِسَاءٍ رَكِبْنَ الْمَطَايَا نِسَاءُ قُرَيْشٍ. أَحْنَاهُ عَلَى وَلَدٍ فِي صِغَرِهِ وَأَرْعَاهُ عَلَى زَوْجٍ فِي ذَاتِ يَدِهِ].

Maksudnya: “Hisyam bin Muhammad bin al-Sa’ib al-Kalbi mengkhabarkan daripada bapanya, daripada Abu Soleh, daripada Ibn ‘Abbas, beliau berkata: “Nabi SAW telah datang kepada Abu Talib untuk melamar anak perempuannya, Ummu Hani’ pada zaman Jahiliah (yakni sebelum Baginda menjadi Rasul). Dalam masa yang sama juga, Ummu Hani’ turut dilamar oleh Hubairah bin Abu Wahb bin ‘Amr bin ‘A’iz bin ‘Imran bin Makhzum. Namun Abu Talib mengahwinkan Ummu Hani’ dengan Hubairah, lalu Nabi SAW bertanya: “Wahai pakcik, mengapa pakcik kahwinkan Ummu Hani dengan Hubairah dan menolak pinanganku?” Maka Abu Talib menjawab: “Wahai anak saudaraku, sesungguhnya kami mempunyai hubungan kerabat hasil perkahwinan yang lalu dengan mereka, orang kaya dan mulia selayaknya bersama dengan orang ternama dan mulia juga.”

Jika dilihat pada hadis ini, ia sememangnya menceritakan bahawa Nabi SAW ada melamar Ummu Hani’ dan pinangan Baginda ditolak oleh Abu Talib berdasarkan sebab yang dinyatakan. Namun, hadis ini tidak boleh diterima atas sebab terdapat perawi yang bermasalah pada rantaian sanad hadis ini. Perawi yang dikatakan itu ialah Muhammad bin al-Sa’ib al-Kalbi atau nama panggilannya Abu al-Nadhr. Imam al-Baihaqi menyatakan bahawa hadis yang dibawa olehnya tidak boleh dijadikan hujah[4].

Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya Lisan al-Mizan menukilkan beberapa perbincangan oleh ulama berkenaan khususnya berkenaan dengan perihal perawi bagi hadis di atas. Imam Ahmad bin Hanbal berkata: Sesungguhnya beliau ialah pemilik hikayat dan perihal nasab. Menurutku tidak ada seorang pun yang mengambil hadis daripadanya. Menurut al-Daruqutni dan selainnya berpandangan hadis tersebut matruk (hadis yang ditinggalkan) manakala menurut Ibn ‘Asakir pula ia adalah seorang Syiah Rafidah serta tidak thiqah.[5] Kepalsuan sanad ini juga dibuktikan dengan penyataan al-Daruqutni berkenaan Muhammad bin al-Sa’ib al-Kalbi ini yang secara jelas menyatakan dan mengakui kepalsuan riwayatnya daripada Abu Soleh[6]. Al-Kalbi berkata:

كلَّما حدثت عن أبي صالح فهو كذب

Maksudnya: “Semua yang aku riwayatkan daripada Abu Soleh adalah dusta belaka.”

Meskipun Muhammad bin al-Sa’id al-Kalbi mahir dalam bidang tafsir, namun dalam lapangan hadis, al-Kalbi termasuk dalam kalangan perawi yang terlalu lemah. Oleh yang demikian, jelas bagi kita bahawa hadis ini tidak boleh diterima malah tidak boleh dijadikan hujah. Sehubungan dengan itu, cerita berkenaan lamaran kedua ini adalah tertolak sama sekali.

Kali ketiga: Berlaku ketika mana Ummu Hani telah memeluk Islam yakni selepas peristiwa pembukaan kota Mekah. Hal ini berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah RA:

َ، خَطَبَ أُمَّ هَانِئٍ، بِنْتَ أَبِي طَالِبٍ فَقَالَتْ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي قَدْ كَبِرْتُ، وَلِي عِيَالٌ، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: خَيْرُ نِسَاءٍ رَكِبْنَ الإبلِ ، أَحْنَاهُ عَلَى وَلَدٍ فِي صِغَرِهِ، وَأَرْعَاهُ عَلَى زَوْجٍ فِي ذَاتِ يَدِهِ

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW telah meminang Ummu Hani’ binti Abi Talib lalu Ummu Hani’ berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku telah tua dan mempunyai keluarga (anak-anak).” Jawab Nabi SAW: “Sebaik-baik wanita adalah wanita yang menunggang unta (wanita ‘Arab), paling sangat penyayang sanggup menjanda untuk anak yang masih kecil, paling sanggup memelihara anak suaminya.” (Riwayat Muslim)

Hadis ini merupakan hadis sahih kerana diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam sahihnya. Sebagaimana maklum, ulama bersepakat menerima hadis-hadis yang terdapat dalam Sahih al-Bukhari dan juga Sahih Muslim seperti mana para cendekiawan menyatakan:

تلقته الأمة بالقبول

Maksudnya: “Kesemua umat Islam menerima pakai (Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim)”

Benarkah Ummu Hani’ ‘First Love’ Nabi SAW?

ummu hani

Gambar hiasan: The Conversation

Terdapat kenyataan berkenaan Ummu Hani’ sebagai first love Nabi Muhammad SAW turut diragui dan mesti diambil perhatian agar kita tidak sewenangnya menyatakan sesuatu perkara yang tidak benar berkenaan Baginda SAW. Oleh itu, ia mestilah didasari dengan suatu asas ataupun dalil yang menyatakan secara khusus perkara sedemikian, lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan soal hati dan perasaan seseorang.

Meskipun begitu, sekadar carian pihak Mufti, tidak dijumpai mana-mana ayat al-Quran, riwayat hadis ataupun athar para sahabat yang menyebut apatah lagi menceritakan berkenaan cinta pertama Nabi SAW ini. Berhati-hatilah dalam menyatakan sesuatu ke atas Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ كَذِبًا عَلَيَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ، فَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا، فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sesungguhnya pendustaan di atas namaku bukanlah seperti pendustaan di atas nama orang lain, siapa yang berdusta di atas namaku, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.”- (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kesimpulan, kisah berkenaan Nabi SAW pernah melamar Ummu Hani’ namun ditolak adalah benar namun hanya berlaku sekali sahaja iaitu pada tahun pembukaan kota Mekah, sewaktu beliau baru memeluk Islam, sebagaimana yang diriwayatkan dalam Sahih Muslim.

Adapun bagi dakwaan dua lamaran yang berlaku sebelum Islam adalah tidak diterima kerana sanad riwayatnya terlalu lemah dan tidak layak dijadikan sandaran. Seterusnya, menyatakan first love Nabi SAW iaitu Ummu Hani’ adalah suatu perkara yang perlu diambil perhatian yang mana tidak diketahui sumber asalnya untuk memastikan hal demikian adalah benar. Jadi, berhati-hati apabila menyampai sesuatu berkenaan Nabi ya. Wallahu A‘lam.

Baca juga: Ramai Pernah Rasa Tanda-Tanda Penyakit Ain Tapi Tak Sedar, Rupanya Anda ‘Mangsa’!

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×