Nur

‘Seni’ Jadi Imam Solat, Bukan Sekadar Jadi Imam Tapi Perlu Juga Tahu Keadaan Jemaah

6
SHARES

Benar seperti yang dikata, agama Islam itu indah dan memudahkan hambanya untuk melakukan amalan-amalan kebaikan dalam merebut pahala. Begitu juga dalam amalan solat terutamanya apabila dilakukan secara berjemaah yang dikemudikan oleh seorang imam.

Selain imam itu seorang yang bertauliah, alangkah moleknya jika memiliki juga kriteria yang memahami hal ehwal sekeliling dan tahu bagaimana untuk meraikannya. Sebagaimana yang dikongsikan Ustaz Khairul Anuar Basri mengenai ‘seni menjadi imam solat’ seperti di bawah.

Baca juga: Mahalnya ‘Harga Neraka’, Peniaga Guna ‘Marketing Maksiat’ (MARSIAT) Demi Kaut Untung

JADI IMAM SOLAT BUKAN SEKADAR ADA TAULIAH TAPI PERLU…

Gambar hiasan: Detiknews.

SENI MENJADI IMAM SOLAT

Imam solat yang baik itu bukan sekadar ada tauliah jadi imam dan tahu syarat sah dan batal solat semata-mata.

Tetapi imam solat yang baik itu perlu juga memiliki kriteria sebagai seorang imam solat yang faham hal ehwal keliling dan tahu bagaimana untuk meraikannya.

Berikut adalah beberapa seni menjadi imam solat yang memenuhi tuntutan solat berjemaah dan juga mencapai kesempurnaannya.

BEBERAPA CIRI SENI IMAM SOLAT YANG PENUHI TUNTUTAN SOLAT JEMAAH

Gambar hiasan: Iluminasi.

1. IMAM SOLAT MESTILAH BAIK BACAAN AL-QURAN

Imam solat mestilah seseorang yang paling baik bacaan Al-Qurannya. Bacaan bertajwid adalah menjadi kemestian.

Jika imam solat memiliki suara yang elok, ia adalah bonus kerana suara yang merdu boleh menghadirkan kekhusyukan kepada para jemaah.

Tapi awas! Berlebihan dalam berlagu juga boleh menimbulkan suasana yang tidak selesa bagi sesetengah jemaah. Maka, bersederhanalah.

2. JANGAN MENJERIT KETIKA MENJADI IMAM

Nada bacaan Al-Quran level tenang-tenang saja. Jika microphone terlalu rapat dengan mulut, cuba sesuaikan jaraknya agar ia tidak nyaring dan menyakitkan telinga jemaah.

3. MERAIKAN JEMAAH DENGAN PANJANG PENDEK BACAAN MENGIKUT KEADAAN

Imam solat mestilah tahu meraikan jemaah dari sudut panjang pendek bacaan dalam solat.

Sekiranya ada keadaan yang memerlukan dipendekkan bacaan, maka pendekkanlah. Sebagai contoh apabila menjadi imam solat di masjid yang menjadi persinggahan para musafir dalam perjalanan.

4. KETIKA DARURAT DARI SUDUT MASA, PENDEKKAN TEMPOH SOLAT

Gambar hiasan: Masjisuna.

Begitu juga dalam keadaan darurat dari sudut masa, maka pendekkanlah tempoh solat.

Sebagai contoh solat Jumaat ketika masuk waktu Zohor agak lambat. Jika dipanjangkan, ada kemungkinan jemaah akan lambat masuk semula ke tempat kerja.

Atau, dalam suasana ramai jemaah yang terpaksa solat di luar masjid di bawah panas terik cahaya matahari. Maka pendekkanlah tempoh solat.

Atau, dalam suasana solat yang dihadiri oleh kanak-kanak atau orang tua yang uzur, memendekkan tempoh solat juga adalah pilihan yang lebih utama.

5. BACAAN SURAH PADA SUBUH JUMAAT

Menjadi kebiasaan di Malaysia untuk solat Subuh dengan bacaan Surah As-Sajdah dan Al-Insan pada hari Jumaat.

Jika waktu Subuh masuk agak lambat, maka lebih baik digantikan dengan surah-surah lain yang lebih pendek bagi meraikan jemaah yang berkejar-kejar untuk ke tempat kerja atau menghantar anak ke sekolah.

6. PEKA DENGAN DERAPAN KAKI JEMAAH MASBUK PADA RAKAAT PERTAMA

Imam solat juga perlu peka dengan derap kaki jemaah yang mungkin masbuk pada rakaat pertama terutamanya dalam solat Zohor atau Asar.

Jika boleh tunggu jemaah tersebut untuk bertakbir dan mendapatkan rakaat yang pertama, maka tunggulah dengan sedikit bacaan surah tambahan dan rukuk yang sedikit panjang.

7. SESUAIKAN PEMILIHAN NADA & TABAQAT SUARA PADA SETIAP TAKBIR

Gambar hiasan: Iluminasi.

Bagi imam solat yang pandai bertannum, pemilihan nada dan tabaqat suara juga boleh disesuaikan pada setiap takbir intiqalat (pindah rukun).

Jangan semberono dengan nada tinggi rendah atau panjang pendek terutamanya pada sujud yang kedua kerana ia akan mengelirukan jemaah sama ada untuk naik qiyam rakaat seterusnya atau sudah sampai ke rukun tahiyyat akhir.

8. PANDAI ADJUST SUPAYA MAKMUM TIDAK MENDAHULUI IMAM DALAM RUKUN SOLAT

Imam solat mesti pandai ‘ejas’ supaya makmum tidak mendahului imam dalam setiap rukun solat.

Ini memerlukan sedikit latihan praktikal. Amat biasa berlaku dalam solat jemaah, makmum telah sempurna rukun sedangkan imam masih belum sempurna rukun.

9. PANJANGKAN SEDIKIT SUJUD TERAKHIR LEBIH DARIPADA BIASA

Panjangkanlah sedikit sujud yang terakhir lebih daripada biasa.

Selain daripada ia adalah tempat mustajab doa, ia juga memberi peluang kepada jemaah untuk berdoa. Ia juga adalah isyarat bahawa selepas itu adalah tahiyyat akhir.

Ini hanyalah pendapat peribadi saya berdasarkan pengamatan dan pengalaman saya sendiri menjadi imam solat. Jika ada lagi seni menjadi imam yang boleh ditambah, maka bolehlah ditulis di bahagian komen.

Semoga yang baik itu boleh dipraktikkan agar matlamat untuk menarik lebih ramai lagi anggota masyarakat hadir solat berjemaah tercapai.

#KAB

Sumber: Facebook Khairul Anuar Basri

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×