Hebahan

Sejak PKP Suhu Cuaca Di KL Makin Menurun, Tapi Kenapa Dalam Rumah Masih Panas? Ini Penjelasan Pakar

55
SHARES

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meninggalkan pelbagai kesan. Perintah ini dilangsungkan gara gara penularan wabak Covid-19 yang kini melanda dunia. Wabak ini juga memberi impak yang sangat besar bukan hanya kepada manusia, malah kepada ekonomi sosial semua. Virus ini sehingga hari ini telah membunuh beribu mangsa dan membuatkan seluruh dunia cemas. Akibat dari virus ini, pelbagai tindakan yang drastik diambil oleh kebanyakan negara bagi membendung wabak ini.

PKP ini berlangsung juga untuk memutuskan rantaian wabak ini yang boleh berjangkit melalui sentuhan dan air liur. Namun begitu, PKP ini juga bukan sahaja telah memberi kesan ke atas rakyat Malaysia sendiri, tetapi ianya juga tidak langsung memberi kesan lain terhadap negara ini dari segi ekonomi dan sosial. Seperti perkongsian Prof. Madya Gs. Dr. Mohd Johari Mohd Yusof dilaman facebooknya, beliau telah berkongsi apa yang berlaku terhadap Malaysia sepanjang PKP ini.

Juga Memberi Kesan Terhadap Haba

Selain daripada kesan ke atas kesihatan, ekonomi dan sosial yang dicetuskan oleh COVID-19 ini, kesan virus ini ke atas alam sekitar juga banyak dibicarakan dan dibincangkan. Di antaranya, Menteri Alam Sekitar Malaysia, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan melalui pemerhatian yang telah dilakukan di beberapa stesen pengawasan kualiti udara di sekitar Lembah Klang (iaitu di Batu Muda dan Cheras (Kuala Lumpur) serta Wilayah Persekutuan Putrajaya) telah menunjukkan pengurangan pencemaran alam sekitar di mana ianya mencatatkan penurunan yang signifikan iaitu penurunan 55 hingga 68 peratus bagi Nitrogen Dioksida (NO2); 17 hingga 34 peratus bagi Sulfur Dioksida (SO2); enam hingga 15 peratus bagi karbon monoksida (CO); dan enam hingga 14 peratus bagi habuk halus bersaiz 2.5 mikron (PM2.5). Penurunan ini ekoran pengurangan aktiviti seperti pelepasan asap kenderaan, asap cerobong industri dan pembakaran terbuka.

Selain itu, menurut Agensi Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan Amerika (NASA) juga menyatakan tahap NO2, bahan pencemar yang datang terutamanya dari pembakaran bahan api fosil, telah turun sebanyak 30 peratus. Manakala di China, pencemaran alam di negara tersebut bagi dua bulan pertama tahun 2020 berbanding tempoh yang sama tahun 2019 telah turun secara drastik akibat daripada lumpuhnya kebanyakan industri pembuatan kereta dan kilang di negara tersebut.

Kajian Dilakukan Oleh Penyelidik Dari UPM

Melihat kepada senario kesan COVID-19 ini ke atas alam sekitar dunia, sekumpulan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia yang diketuai oleh Prof. Madya Gs. Dr. Mohd Johari Mohd Yusof telah mengkaji impak pandemik COVID-19 ke atas kesan pulau haba bandar (atau lebih dikenali sebagai Urban Heat Island Effect) bagi Bandaraya Kuala Lumpur. Bersama beliau dalam melaksanakan kajian ini ialah Prof. Madya Dr. Helmi Zulhaidi Mohd Shafri dan Gs. Junainah Abu Kasim (pelajar PhD).

Penyelidik melaksanakan analisa ke atas imej satelit dengan melihat suhu permukaan bandar (land surface temperature) bagi Bandaraya Kuala Lumpur dengan menggunakan teknik Sistem Maklumat Geografi (Geographical Information System – GIS). Dua imej satelit bertarikh 23 Mac 2019 dan 24 Mac 2020 telah dianalisa dan dibandingkan untuk melihat perbezaan suhu di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur. Tarikh ini dipilih bagi membandingkan kesan perlaksanaan penguatkuasaan PKP disebabkan penularan wabak COVID-19 ke atas alam sekitar.

Hasil analisa mendapati bahawa terdapat penurunan suhu yang ketara di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur yang mana suhu tertinggi dicatatkan pada 23 Mac 2019 adalah 30.95 darjah Celsius tetapi berlaku penurunan suhu kepada 28.11 darjah Celsius pada 24 Mac 2020 (iaitu penurunan sebanyak lebih kurang 2.84 darjah Celsius). Penurunan yang sangat ketara ini secara tidak langsung mengurangkan kesan UHI yang selama ini dialami oleh Bandaraya Kuala Lumpur.

Jika dilihat secara terperinci pula, kawasan CBD (central business district) Bandaraya Kuala Lumpur seperti di Jalan Chan Sow Lin menunjukkan penurunan suhu sebanyak 2.12 darjah Celsius bagi kedua-dua tarikh tersebut. Penurunan yang ketara ini adalah akibat dari pengurangan penggunaan kenderaan dan kesesakan lalu lintas di atas jalan raya di sekitar kawasan ini. Penurunan suhu yang sama juga dapat dilihat di sekitar kawasan Lembah Pantai dan Bangsar South iaitu sebanyak 2.24 darjah Celsius yang mana kawasan ini terkenal sebagai pusat komersil yang padat. Kesan penguatkuasaan perlaksanaan PKP akibat COVID-19 ini telah menunjukkan pengurangan aktiviti di kawasan komersil ini yang mana pengurangan penggunaan penyaman udara sebagai contoh dan pengurangan kesesakan kenderaan di kawasan ini telah memberi kesan kepada suhu sekitarnya.

Namun begitu, terdapat juga peningkatan suhu didapati di kawasan perumahan berkepadatan tinggi seperti di kawasan Wangsa Maju. Hasil analisa menunjukkan peningkatan suhu sebanyak 1.21 darjah Celsius di antara kedua-dua tarikh tersebut. Peningkatan ini adalah akibat peningkatan penggunaan penyaman udara di kawasan ini yang mana penduduk didapati berada di kediaman masing-masing sebagai mematuhi penguatkuasaan perlaksanaan PKP di seluruh negara daripada 18 Mac 2020 sehingga 14 April 2020 (sehingga artikel ini ditulis).

Hasil kajian ini adalah amat menarik jika dikaji dari segi kesan wabak COVID-19 ini kepada alam sekitar. Media secara umumnya banyak menunjukkan kesan negatif yang diakibatkan oleh wabak COVID-19 ini, namun disebaliknya kesan positif wabak ini jarang di ketengahkan oleh media yang mana kesannya amat baik ke atas alam sekitar samada di Malaysia mahupun di negara-negara lain. Amat ketara dilihat wabak COVID-19 ini sedikit sebanyak dapat memberi sedikit ruang kepada muka bumi ini untuk bernafas dengan lebih baik dan memperbaiki alam semulajadinya yang telah sekian lama dirosakkan oleh makhluk bernama manusia. Manusia jelas selama ini mengambil ringan ke atas kesan kerosakan yang dilakukan oleh mereka ke atas alam sekitar, jesteru, wabak COVID-19 jelas memberi pengajaran kepada manusia sejagat untuk lebih peka ke atas alam sekitar agar ianya lebih lestari dan dapat dikecapi dengan baik bukan sahaja oleh generasi sekarang malahan untuk generasi akan datang.

Sumber : Johari Yusof

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×