Nur

“Segalanya Allah Beri Dalam Masa 3 Bulan Sahaja”- Wanita Ini Kongsi Keajaiban Amal Solat Tahajjud

763
SHARES

Tidak dinafikan untuk bangun pada jam 3 atau 4 pagi amatlah susah. Tetapi kebiasaannya apabila orang bangun pada waktu sebegini adalah bagi mengerjakan solat sunat Tahajjud. Pasti semua orang sudah sedia maklum akan keajaiban Tahajjud ini sendiri. Ada sesetengah juga yang telah menjadikan Tahajjud ini sebagai rutin setiap pagi mereka.

Salah seorang pengguna laman Facebook, Dzuriasikim Dzulkefli berkongsi melalui Facebooknya tentang keajaiban Tahajjud itu sendiri. Lebih menarik lagi dia sendiri telah merasakan keajaiban yang dijanjikan itu.

Tahajjud Di Lakukan Pada Waktu 3 Atau 4 Pagi

Bukan mudah untuk bangun jam 4 pagi dan bertahajjud pada setiap hari.

Namun ketika saya mula-mula “kenal” dengan Tahajjud ni, saya dalam keadaan yang amat perit, sakit, sedih, susah, menderita, sering menangis, sesak, difitnah dan entah apa lagi. Ketika itu saya sudah berusia 41 tahun. Tak pernah sekali pun baca atau pelajari dengan bersungguh tentang Tahajjud sebelum tu. Ye lah, kita ni…bila tak terdesak, tak akan nampak. Begitulah… Tahu tentang solat Tahajjud… tapi tak berapa nak ambil kisah (biarlah saya jujur, saya tidak malu).

Tak pernah terfikir pada usia macam tu kena halau keluar rumah. Rumahtangga yang dibina atas dasar suka sama suka akan runtuh. Kena cari kerja semula. Kena menjual di tepi jalan. Sesak sampau kena kutip duit syiling untuk beli susu anak yang masih kecil. Sungguh ketika itu saya amat terdesak dan memerlukan. Susah nak tulis dengan kata-kata… Jadi itulah kekuatan pertama saya untuk bangun malam. Kesusahan saya, adalah kekuatan saya.

“Doa di saat tahajud bagaikan anak panah yang melesat tepat mengenai sasaran.”
(Imam Syafi’i)

Bila terhaca ini buat pertama kali, saya yakin seratus peratus, itulah caranya untuk saya keluar dari keperitan.

Doa pertama dalam Tahajjud pertama saya hampir tidak masuk akal. Masa tu saya tak ada wang, tak ada pekerjaan, kena halau rumah sebab tak mampu bayar sewa, pendek kata tak punya apa. Tapi saya berdoa dalam Tahajjud saya untuk,

– Diberikan peluang untuk bersujud di hadapan Kaabah. Kerana berasa teramat sedih dan tidak ada seorang pun yang akan faham kedukaan hati saya waktu itu.

– Diberikan pekerjaan yang baik dan cukup untuk menanggung anak 5 orang.

– Diberikan jalan yang mudah untuk pindah rumah.

Diringkaskan cerita, dengan izin dan kekuasaan Allah yang Maha Mendengar, Maha Pemurah dan Maha Penyayang, segala yang saya hajatkan itu telah Allah berikan dengan mudah dan hampir sekali gus! Anda pasti sudah membaca kisah bagaimana saya telah mendapat pekerjaan yang sangat baik dengan jawatan dan gaji yang baik juga. Dapat pindah rumah dengan rezeki yang tidak disangka-sangka. Dapat makanan dan keperluan rumah melalui seorang kiriman Tuhan. Bahkan telah dapat pergi ke Mekah dan bersujud di hadapan Kaabah! Bukan sekali, tetapi berkali-kali… 

Padahal ketika saya berdoa dalam Tahajjud pertama saya itu, saya tidak punya apa-apa. Segalanya Allah berikan dalam masa 3 bulan sahaja. Allahu, mahu apa lagi? Apabila kita sangat berhajatkan akan sesuatu lalu Allah beri, perasaan tu… Nak tulis macamana pun saya tak reti.

Sudah Menjadi Kebiasaan

Namun oleh kerana semua itulah rasa mengantuk saya hilang di setiap pagi. Selimut dan bantal sudah tidak berasa empuk lagi. Biarpun dalam dingin dan hujan lebat serta enak tidur, saya tetap bangun malam.

– Saya rasa kuat hati.

– Rasa yakin.

– Sedih berkurang.

– Yakin bahawa cukup hanya Allah.

– Tidak meletakkan bahagia pada genggaman orang.

– Tidak berharap lagi kepada orang.

– Jiwa semakin tenang.

– Dada lapang.

– Lebih redha.

-. Lebih ikhlas.

– Lebih bahagia.

Bila orang sering tanya saya, inilah jawapannya. Makin kita buat, makin terima, makin banyak akan kita merasakan nikmatnya.
Kalau tak buat, kita tak akan tahu… Tak nampak. Tak rasa. Tak yakin untuk berdoa kerana akal kita terbatas. Sungguh sangatlah banyak keajaiban yang telah dan sedang berlaku dalam hidup saya.

Dan saya nak pesan satu perkara…. Ketika berdoa, doalah dengan sangat ikhlas. Berdoa dengan suatu keyakinan yang mutlak dan langsung tidak ada rasa berbelah bahagi dalam hati…. Bahawa jika Allah ingin memberi, segalanya adalah mudah bagi Allah. Bahkan untuk perkara yang tak dapat kita fikirkan caranya sekalipun!

Cara Memudahkan Bangun Solat Malam

Doa, kemudian “lepaskanlah….”. Lupakan ia. Tak ada mengeluh. Tak ada rasa resah. Tak ternanti-nanti “Bila aku nak dapat semua ini…”. Dan saya juga nak kongsikan di sini, cara untuk memudahkan kita bangun solat malam:

1. Sebelum masuk tidur, berniatlah dengan bersungguh yang kita ingin melakukan Solat Tahajjud.

2. Menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat.

3. Bersederhana makan dan minum pada waktu siang.

4. Membaca ayat-ayat Al-Quran.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang hendak tidur dan berniat untuk bangkit bagi mengerjakan Solat Sunat Tahajjud, kemudian tidurnya terlajak sampai ke pagi, maka dicatat niatnya itu sebagai satu pahala, manakala tidurnya pula dikira sebagai kurniaan Allah yang diberikan kepadanya.”
(Riwayat al-Nasa’i dan Ibnu Majah r.a.)

Sumber : Dzuriasikim Dzulkefli

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×