Baru-baru ini, seorang bapa berkongsi pengalaman pahit apabila menjadi mangsa individu yang menyamar sebagai penyedia perkhidmatan van sekolah selepas berpindah ke kawasan baharu.
Modus operandi scammer semakin pelbagai sehingga melibatkan perkara yang dianggap biasa dalam kehidupan seharian, termasuklah perkhidmatan pengangkutan sekolah.
Baca juga: T20 Kedekut ‘Tip’, B40 Lagi Pemurah? Pengakuan Rider Ini Buat Netizen Bertekak & Panas Hati!
CARI VAN SEKOLAH UNTUK ANAK, BAPA JADI MANGSA SCAMMER

Foto: Threads @firdausmalek
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Threads oleh pengguna dikenali sebagai Firdaus Malek, dia menceritakan bagaimana dirinya tertipu ketika mencari perkhidmatan penghantaran dan pengambilan anak ke sekolah.
Menurut Firdaus, dia menghubungi seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai “Acik Noor” selepas melihat tawaran perkhidmatan pengangkutan sekolah.
Berdasarkan tangkap layar perbualan yang dikongsikan, individu berkenaan memberi pelbagai maklumat yang dilihat meyakinkan.
Dia memaklumkan menggunakan kereta jenis Perodua Alza, hanya mengambil bilangan pelajar yang terhad serta bertanya secara terperinci mengenai jadual persekolahan anak Firdaus.
Malah, scammer itu turut berbual dengan sopan dan profesional, termasuk menjelaskan kadar bayaran yang dikenakan iaitu RM130 sebulan bagi perkhidmatan pergi dan balik sekolah serta RM65 bagi perjalanan sehala.
Bayar Deposit RM50 Dan Yuran Bulanan Sebelum Perkhidmatan Bermula

Foto: Threads @firdausmalek
Selepas bersetuju menggunakan perkhidmatan tersebut, Firdaus membuat bayaran sebanyak RM180 yang merangkumi yuran bulanan RM130 dan deposit RM50 seperti yang diminta.
Scammer berkenaan kemudian meminta maklumat lengkap anak dan ibu bapa bagi tujuan pendaftaran serta memberikan nombor pendaftaran kenderaan yang kononnya akan digunakan untuk menghantar dan mengambil anaknya.
Lebih meyakinkan, individu itu turut menyatakan bahawa bayaran bulan berikutnya boleh dibuat mengikut tarikh gaji ibu bapa dan tidak menetapkan sebarang tarikh khusus.
Malah, dia juga berjanji untuk berjumpa dengan Firdaus di sekolah bagi memperkenalkan diri kepada anaknya sebelum perkhidmatan bermula.
Tunggu Di Sekolah, Namun Individu Berkenaan Tidak Muncul

Foto: Threads @firdausmalek
Bagaimanapun, perkara yang dijanjikan tidak berlaku.
Menurut Firdaus, dia menunggu di sekolah seperti yang telah dipersetujui, namun individu tersebut tidak muncul.
Usahanya untuk menghubungi nombor berkenaan juga gagal apabila panggilan tidak dijawab.
Lebih mengejutkan, hasil semakan yang dibuat mendapati nombor pendaftaran kenderaan yang diberikan sebenarnya didaftarkan pada sebuah kereta jenis Proton X70 milik individu lain di Kuala Lumpur.
Mengakui kecuaiannya, Firdaus berkata dia sepatutnya meminta salinan lesen memandu atau melakukan semakan lebih awal sebelum membuat bayaran.
“Silap saya juga tak minta lesen memandu,” tulisnya.
Ramai Terkejut, Rupanya Scam Van Sekolah Memang Wujud
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang tidak menyangka perkhidmatan penghantaran pelajar ke sekolah juga menjadi sasaran scammer.
Ramai berpendapat cara individu terbabit berkomunikasi sangat meyakinkan sehingga sukar untuk mengesyaki sebarang penipuan.
“Acik tu punya reply sangat convincing. Tak baiknya dia.”
“Ni first time saya nampak scammer yang sangat meyakinkan. Jahat betul. Kalau saya pun mungkin percaya.”
Selain itu, ada juga pengguna media sosial yang mendedahkan bahawa penipuan melibatkan perkhidmatan van atau bas sekolah sememangnya pernah berlaku sebelum ini.
Orang Ramai Diingatkan Buat Semakan Sebelum Membayar
Kejadian ini menjadi peringatan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang pembayaran kepada individu yang menawarkan perkhidmatan secara dalam talian.
Antara langkah yang boleh dilakukan ialah meminta salinan lesen memandu, memeriksa nombor telefon melalui aplikasi pengenal pasti panggilan, membuat semakan nombor akaun bank serta mendapatkan cadangan daripada pihak sekolah atau ibu bapa lain yang pernah menggunakan perkhidmatan sama.
Dalam era scam yang semakin licik, sikap berhati-hati dan melakukan semakan awal mungkin dapat mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa seterusnya.
Sumber: Threads @firdausmalek
FT Images: Gemini AI
