Nur

‘Checklist’ Apa Ibu Bapa Baru Perlu Lakukan Untuk Sambut Kelahiran Bayi Mengikut Ajaran Islam

2
SHARES
sambut kelahiran bayi

“Bagaimana nak sambut kelahiran bayi selain azan? Ada cara lain ke?”

Lazimnya, ibu bapa yang baru menimang cahaya mata pasti keliru apa patut mereka lakukan untuk menyambut kelahiran bayi. Tangisan pertama bayi telah membuai perasaan mereka lantas segala ilmu sambut kelahiran bayi keluar dari otak kerana keasyikan kali pertama melihat si comel itu.

Sebenarnya, cara menyambut kelahiran bayi dalam ajaran Islam tidaklah rumit pun. Cuma ada adab dan amalannya juga sepertimana si suami perlu belajar adab isteri semasa mengandung. Ikuti perkongsian penulis mengenai cara menyambut kelahiran bayi untuk pengetahuan semua di masa depan.

Baca juga: 8 Tanda Pada Bayi Baru Lahir Yang Pelik Tapi Normal, Mama Tak Perlu Risau!

8 CARA SAMBUT KELAHIRAN BAYI MENGIKUT AJARAN ISLAM

1. AZAN DAN IQAMAH

sambut kelahiran bayi

Selepas si comel yang baru dilahirkan ini diserahkan kepada si ayah, bayi itu perlu diazankan di telinga sebelah kanan dan diiqamahkan di telinga sebelah kiri oleh si bapa.

Tujuannya adalah untuk mengusir syaitan yang bersama bayi baru lahir ini dan juga memperdengarkan kalimah mulia dengan niat ia terus masuk ke dalam lubuk hati mereka.

2. DOA 

Ibu bapa juga disarankan membaca surah ayatul kursi, surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas. Sebagai tambahan, mereka boleh menyertakan doa khusus untuk bayi baru lahir:

Maksudnya: “Aku mohon perlindungan untuk anakku dengan kalimah-kalimah Allah s.w.t yang sempurna dari segala gangguan syaitan dan dari segala binatang serta dari segala sorotan mata yang dapat membawa akibat buruk kepada apa yang dilihatnya”.

Tujuan membaca doa ini juga adalah sama dengan seperti melaungkan azan tadi iaitu untuk melindungi bayi dari sebarang gangguan syaitan dan juga menyerap kalimah indah di dalam minda mereka.

3. TAHNIK

sambut kelahiran bayi

Mentahnik adalah perbuatan memindahkan kurma yang telah dikunyah ke lelangit bayi yang baru dilahirkan. Jika tiada kurma, boleh juga gunakan madu dan seumpamanya asalkan ia manis.

Fungsi tahnik adalah untuk memudahkan bayi menghisap susu ibunya dengan kuat secara semulajadi.

4. NAMAKAN BAYI PADA HARI PERTAMA ATAU KE-7

Menurut pandangan ulama yang berbeza, sunat menamakan bayi baru lahir pada hari pertama atau hari ke-7 setelah dilahirkan.

Ibu bapa perlu memilih nama anak dengan baik dan seeloknya mempunyai makna yang baik. Ini kerana nama itu yang bakal dipanggil di hari penentuan kelak.

5. CUKUR RAMBUT

sambut kelahiran bayi

Tindakan mencukur rambut bayi adalah simbolik kepada tanda permulaan kehidupan sebagai manusia dan hamba Allah SWT. Selain itu, cukur rambut juga dapat membersihkan saki baki kotoran pada bayi semasa di dalam perut ibunya.

Bayi perlu dicukur keseluruhan rambutnya kerana jika hanya menggunting sedikit, itu bukanlah merupakan perbuatan sunnah. Kebiasaannya, aktiviti ini diadakan bersama majlis kenduri aqiqah.

6. AQIQAH

Aqiqah merupakan ibadah menyembelih haiwan ternakan sebagai tanda bersyukur kepada Allah SWT atas kelahiran bayi tersebut. Hukum aqiqah adalah sunat muakkad.

Ibadah ini boleh dilakukan bagi ibu bapa yang berkemampuan. Kadar majlis aqiqah adalah dua ekor kambing bagi bayi lelaki manakala seekor kambing bagi bayi perempuan.

7. BERKHATAN

sambut kelahiran bayi

Berkhatan adalah memotong lebihan kulit di bahagian alat sulit iaitu kelentit bagi bayi wanita manakala kulup bagi bayi lelaki. Dari segi Sains, khatan penting untuk mencegah penyakit berjangkit yang berkaitan dengan organ genital.

Ramai ulama berpendapat bahawa bayi lelaki wajar berkhatan semasa meningkat umur baligh dan ada juga yang menganjurkan seawal kelahiran. Untuk bayi perempuan pula, doktor berpendapat umur seawal mungkin adalah lebih sesuai.

8. MENGHEBAHKAN DAN UCAPAN TAHNIAH TANDA GEMBIRA

Sunat menghebahkan kelahiran bayi baru terutama kepada ahli keluarga dan rakan. Ini kerana menurut Al-Quran, ketika Allah memberitahu kisah kelahiran Yahya kepada Zakariya, Allah menggunakan perkataan menggembirakan [rujuk Ali Imran:39 dan Maryam:7].

Ini dapat merapatkan silaturahim, menimbulkan kasih sayang yang mendalam dan kemesraan dalam kalangan keluarga Muslim.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Sinarislamplus

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×