“Kalau diingat-ingat masa bersalin hari tu, Irfan punya menjerit bukan main kuat. Tapi, tengah panik-panik tu, tak terfikir pula apa punca bayi menangis apabila dilahirkan. Ada yang kata bahaya kalau bayi tak menangis, betul ke?”
Setelah berhempas pulas dalam bilik bersalin, selalunya ibu dan ayah akan menarik nafas lega apabila mendengar tangisan pertama bayi. Namun, pernahkan anda terfikir apa sebenarnya punca bayi menangis sebaik sahaja dilahirkan?
Berikut adalah beberapa fakta dan keajaiban yang menarik untuk anda tahu tentang tangisan pertama bayi.
7 Perkara Anda Tak Tahu Tentang Tangisan Pertama Bayi
Tahukah anda, apabila bayi dilahirkan, bayi akan menangis dalam tempoh 30-60 saat pertama dalam hidupnya. Ada banyak punca bayi menangis pada ketika ini dan ianya adalah salah satu petanda penting dalam menunjukkan keadaan kesihatan bayi.
1. Menstimulasikan Sistem Pernafasan Bayi
Secara sainsnya, tangisan pertama bayi sering dikaitkan dengan bayi yang sihat. Ini kerana, ia menunjukkan paru-paru bayi dapat berfungsi dengan normal.
Selama bayi berada dalam rahim, bayi bergantung kepada plasenta dan tali pusatnya untuk bernafas dan mendapatkan makanan. Setelah dilahirkan, bayi akan mengambil nafas untuk pertama kalinya melalui perubahan peredaran darah. Tangisan dapat membantu menyedut sisa cecair air ketuban yang masih berbaki di dalam peparu atau liang pernafasannya. Tindakan ini membuka ruang untuk laluan oksigen sekaligus mengembangkan peparunya.
2. Membantu Pergerakan Bayi
Setiap bayi akan menangis tidak kiralah bayi dilahirkan secara normal mahupun pembedahan.
Selain memberi laluan kepada pernafasan bayi, proses bayi menangis ini juga dapat membantu bayi secara fizikal. Ini kerana, apabila bayi menangis, tubuhnya akan turut bergerak secara automatik.
3. Kesan Emosi Yang Menakjubkan Kepada Ibu
Seperti dilaporkan dari Telegraph, ibu yang mendengar tangisan bayi akan memberi respon semulajadi yang menakjubkan. Dalam kajian tersebut, saintis mendapati respon yang meningkat pada bahagian otak ibu yang mengawal sifat empati, tindakan, dan motif.
Selain itu, secara emosinya ia membantu ibu mengatasi segala kesakitan dan melonjakkan kegembiraan yang tidak terkira setelah bersabung nyawa untuk melahirkan bayi. Sebab itulah ramai yang ‘lupa’ rasa sakit bersalin sebaik saja mendengar bayi menangis!
4. Ia Bukan Kali Pertama (Sebenarnya)
Menangis sebenarnya bukanlah perkara baru bagi bayi. Seperti yang dilaporkan oleh sebuah jurnal, bayi telah menangis sejak di dalam kandungan lagi.
Tetapi, semasa di dalam kandungan, bayi menangis tanpa suara. Sebaliknya, menunjukkan reaksi yang sama seperti membuka mulut, menekan lidah, menarik nafas beberapa kali, dan perbuatan mencebikkan bibir bawah – semuanya adalah ciri bayi yang sedang menangis cuma ianya tidak mengeluarkan suara!
5. Beberapa Lagi Punca Bayi Menangis
Antara beberapa lagi faktor seperti perbezaan ketika dalam rahim dan di dunia sebenar dari segi suhu, ‘weightlessness’ (bayi berasa ringan ketika dalam kantung air ketuban), dan juga pencahayaan. Ini semua juga menyumbang kepada punca bayi menangis sebaik sahaja dilahirkan.
Bayi yang baru lahir amat sensitif dan dapat mengesan perbezaan pada persekitaran baru ini lalu memberi respon dengan menangis sebagai salah satu cara berkomunikasi.
6. Apa Yang Dilakukan Kalau Bayi Tidak Menangis?
Kadangkala, ada bayi yang tidak akan menangis sebaik sahaja dia dilahirkan. Dalam kes yang normal, biasanya doktor akan membantu menyedut lebihan cecair pada peparu dan laluan pernafasannya dan bayi kemudiannya akan menangis beberapa minit selepas itu.
Jika masih tidak berhasil, doktor akan terus membantu merangsang tangisan pertama bayi dengan mengurut lembut pada dada atau kaki bayi.
Walaubagaimanapun, jika bayi tidak menangis dan diiringi dengan tanda fizikal lain yang merisaukan, maka bayi perlu dibawa ke Neonatal ICU untuk pemeriksaan lanjut.
7. Kesan Jangka Masa Panjang Kepada Bayi
Seperti yang kita tahu, tangisan pertama ini penting untuk ‘kick-start’ sistem pernafasan bayi agar dapat berfungsi dengan efisyen. Jadi, apa kesannya jika bayi tidak mengeluarkan tangisan apabila dilahirkan?
Menurut MomJunction, bayi yang tidak menangis sebaik saja dilahirkan biasanya mempunyai masalah seperti sinus atau selsema yang kerap pada tahun pertamanya. Kebarangkalian untuk menghidapi jangkitan hidung, tekak, atau bahagian dalam telinga yang mampu menjadi penyebab bayi bermasalah pendengaran atau pertuturan juga adalah lebih tinggi.
Tangisan Yang Mendamaikan
Kini anda tahu punca bayi menangis sebaik sahaja dia dilahirkan ke dunia dan betapa pentingnya fungsi ini dalam perkembangan kesihatannya.
Jika dikenangkan kembali saat melahirkan dahulu, ianya amat mendamaikan bukan?