Bersalin

Kalau Bayi Nampak Macam Tak Puas Menyusu, Semak 7 Perkara Ini

288
SHARES

“Kenapa asyik menangis je dari tadi ni? Takkan dah menyusu lama pun tak kenyang-kenyang lagi? Apa nak buat ni? Aduhai, boleh stres dibuatnya…”

Bagi yang pertama kali bergelar ibu, tentu kita rasa runsing dan risau apabila bayi kelihatan tidak selesa dan asyik menangis. Salah satu perkara yang biasa dipersoalkan adalah sama ada si kecil kenyang menyusu badan.

Apabila menyusu badan, mungkin sukar untuk ibu mengagak berapa jumlah susu yang telah diminum oleh bayi. Apatah lagi apabila bayi nampak kehausan dan tak mahu berenggang dengan ibu.

Walaupun setiap bayi mempunyai sifat dan keperluan yang berbeza, ada beberapa tips yang boleh anda jadikan panduan semasa menyusu badan.

Bayi Menangis Sebab Tak Puas Menyusu? Ini 7 Panduan Berguna Untuk Ibu

Sebenarnya, kekerapan penyusuan susu ibu bergantung kepada permintaan bayi. Tiada had masa mahupun kuantiti yang ditetapkan untuk mereka. Namun, ada beberapa perkara yang mungkin dapat meningkatkan kefahaman anda tentang kekerapan bayi menyusu ini.

1. Keperluan Bayi Beberapa Hari Pertama Setelah Dilahirkan

Pernahkah anda terfikir kenapa jumlah kolostrum yang dihasilkan oleh payudara ibu begitu sedikit pada hari-hari pertama selepas bayi lahir?

Ini kerana bayi baru lahir hanya mampu menerima isipadu yang minima dalam satu-satu tempoh penyusuan. Perutnya diibaratkan seperti sebesar sebiji guli sahaja, iaitu 5-7 ml ketika hari pertama lahir. Kemudian, barulah ia membesar kira-kira saiz penumbuknya pada hari ketiga dan boleh menampung 0.75-1 oz.

Jadi, ibu tak perlu risau sekiranya payudara anda tidak menghasilkan susu yang banyak pada hari-hari terawal dilahirkan kerana ia telah dijadikan bertepatan dengan keperluan bayi.

Dalam tempoh ini, ibu-ibu tak perlu menyusukan bayi dalam tempoh yang lama kerana perutnya tidak dapat menampung banyak susu dalam satu-satu masa. Walaubagaimanapun, pastikan bayi anda menyusu dengan kerap, iaitu sekitar 8-12 kali sehari bagi memastikan bayi mendapat nutrien yang secukupnya.

Foto Kredit: shutterstock.com

2. Keperluan Bayi Selepas 1 Minggu

Selepas lebih kurang 1 minggu hingga 10 hari dilahirkan, lazimnya susu ibu akan terhasil dengan lebih lancar. Dalam tempoh ini, perut bayi adalah lebih kurang sebesar bola pingpong dan mula menampung 1.5-2 oz setiap kali penyusuan. Biasanya doktor akan menasihatkan ibu agar menyusukan bayi dalam selang setiap 90 minit hingga 2 jam sekali.

Maka, pastikan anda menyusu mengikut tempoh yang tetap dan mengepam sekiranya ia terlalu penuh. Cara lekapan mulut bayi pada puting payudara juga perlu betul. Jika tidak, ia boleh menyebabkan bengkak susu yang sangat menyakitkan!

Foto Kredit: americanmigrainefoundation.org

 3. Kekerapan Bayi Menyusu Pada Waktu Malam

Ibu-ibu mungkin perasan bahawa bayi anda mahu menyusu lebih kerap atau lebih lama pada waktu malam. Inilah antara sebab anda memerlukan banyak rehat pada waktu siang kerana kerap terjaga pada waktu malam.

Kajian menunjukkan bahawa 64% bayi berusia 1-6bulan akan menyusu sekitar 1 hingga 3 kali setiap malam (10malam – 4pagi). Penyusuan waktu malam ini merangkumi hampir 20% daripada jumlah susu yang diminum dalam 24 jam.

4. Keperluan Bayi Bertambah Semasa Lonjakan Tumbesaran

Dalam tempoh beberapa bulan, biasanya ibu sudahpun terbiasa dan dapat menganggarkan tempoh penyusuan yang sesuai untuk bayi anda.

Dalam pada itu, bayi anda akan mengalami lonjakan tumbesaran (growth spurt) dari semasa ke semasa. Ketika tempoh ini, bayi akan cenderung menjadi lebih lapar dan mahu menyusu lebih kerap atau lebih lama.

Bagi memastikan bekalan susu anda sentiasa mencukupi dan berpadanan dengan keperluan bayi, penyusuan bayi perlulah mengikut kekerapan yang diinginkan oleh bayi.

Foto Kredit: blog.thebabyspot.com.au/

5. Penghasilan Susu Berbeza Pada Payudara Kiri & Kanan

Dalam sesetengah kes, bayi lebih suka ‘mengempeng’ pada payudara kanan atau sebaliknya. Salah satu sebabnya adalah kedua-dua belah payudara anda mungkin menghasilkan jumlah susu yang berbeza. Ini adalah normal.

Maka sebab itulah dalam kes tertentu bayi hanya kelihatan tak puas menyusu daripada sebelah lagi payudara tersebut – sama ada kiri atau kanan.

Foto Kredit: vagitnist-tyzhden.pp.ua

6. Kosongkan Satu Payudara Terlebih Dahulu

Satu lagi tips menurut BabyCenter, semasa menyusukan bayi, pastikan ibu mengosongkan sebelah payudara sebelum memberikannya yang sebelah lagi.

Dengan cara ini, barulah bayi mendapat kedua-dua susu pertama yang menghilangkan dahaganya (fore milk) serta susu yang lebih berkrim dan lebih pekat yang keluar pada hujung penyusuan (hind milk).

Kalau tak ingat sebelah mana yang disusukan tadi, ibu-ibu bolehlah mencatat atau membuat penanda seperti wristband setiap kali bayi menyusu.

kekerapan bayi menyusu

Foto Kredit: parenttown.com

7. Penyusuan Ekslusif Hingga 6 Bulan

Jangan sesekali mencampurkan makanan seperti bijirin (seperti Nestum) ke dalam susu bayi sebelum usianya mencecah 6 bulan.

Ini kerana, tiada makanan atau minuman lain yang sepatutnya diberikan pada bayi dalam tempoh tersebut walaupun air kosong. Pemberian makanan terlalu awal boleh mengganggu penghasilan susu badan dan boleh memberi kesan buruk kepada sistem penghadaman bayi yang belum matang.

Selepas 6 bulan, penyusuan hendaklah diteruskan dengan memberi makanan pelengkap sehingga bayi berumur 2 tahun.

Foto Kredit: couponraja.in

Susu Ibu Adalah Yang Terbaik

Menurut sumber, susu ibu mengambil masa sekitar 1 jam setengah untuk dihadam manakala susu formula akan mengambil masa 3 hingga 4 jam untuk dihadamkan. Sebab itulah susu ibu amat sesuai untuk pertumbuhan bayi yang optimum – dan hasilnya, bayi yang menyusu susu ibu amat jarang mengalami masalah kesihatan.

Maka, memang normal untuk bayi menyusu dengan kerap. Tambahan pula dengan saiz perutnya yang begitu kecil dan hanya boleh menampung kuantiti susu yang kecil dalam satu-satu masa!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×