Ketika api marak dan asap tebal memenuhi sebuah rumah kedai tiga tingkat di Taman Bayu Perdana, Klang, seorang lelaki nekad mempertaruhkan keselamatan diri selepas terdengar tangisan kanak-kanak.
Tindakan wira kebakaran itu bersama beberapa orang awam akhirnya berjaya menyelamatkan dua kanak-kanak yang terperangkap.
RUMAH KEDAI TERBAKAR, HADIR RAHMAT BURHAN WIRA TAK DIDENDANG

Tangkap layar video Facebook Pieda Ibrahim.
Lelaki berkenaan, Rahmat Burhan, pada awalnya berada bersama isterinya, Rahfidah Ibrahim, sebelum menyedari bau asap tebal dari premis tersebut.
Selepas melihat api mula marak di bahagian atas rumah kedai, Rahmat meminta isterinya menghubungi talian kecemasan 999 sebelum terus menuju ke lokasi untuk membantu mangsa.
Nekad panjat rumah kedai tanpa peralatan
Menurut Rahfidah kepada media tempatan, suaminya tidak berfikir panjang selepas mengetahui terdapat mangsa di dalam bangunan.
“Masa itu kami perasan ada bau asap tebal. Bila tengok dekat bahagian atas rumah kedai tu, api dah mula marak. Suami saya tak fikir panjang, dia terus pesan dekat saya suruh hubungi 999.
“Tengok-tengok dia dah lari dan terus lompat pagar dawai untuk panjat ke bahagian tingkap premis tu sebab tahu ada mangsa dekat dalam,” katanya.
Dalam keadaan tiada tangga atau peralatan khas, Rahmat memanjat bahagian luar premis dan cuba menuju ke tingkat yang terbakar.
Setibanya di situ, dia terdengar tangisan kanak-kanak lalu cuba memecahkan jerigi besi pada tingkap. Usaha itu kemudian dibantu beberapa orang awam yang berada di lokasi.
Mereka berjaya membuka jerigi tersebut sebelum seorang kanak-kanak perempuan dikeluarkan, disusuli seorang lagi kanak-kanak lelaki.
Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa turun menggunakan tangga dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami sesak nafas akibat terhidu asap tebal.
“Saya tak boleh tengok begitu sahaja”

Tangkap layar visual Buletin TV3
Ketika dihubungi Buletin TV3, Rahmat menceritakan keadaan yang dihadapinya ketika cuba menyelamatkan kedua-dua kanak-kanak berkenaan.
Menurutnya, bahang panas dan asap tebal menyebabkan dia sendiri mengalami kesukaran untuk bernafas.
“Dalam keadaan itu saya rasa susah nak bernafas sebab bahang panas dan asapnya tebal. Buat saya tak boleh bernafas, sesak,” jelasnya.
Bagaimanapun, tangisan kanak-kanak yang meminta pertolongan membuatkan dia tidak sanggup berdiam diri.
“Apabila melihat dua budak teriak minta tolong, buatkan saya tidak boleh tengok begitu sahaja,” jelasnya lagi.
Rahmat berkata, dia merasakan kekuatan untuk bertindak ketika itu datang selepas melihat kanak-kanak berkenaan dalam keadaan memerlukan bantuan.
“Mungkin Allah berikan saya kekuatan dengan tengok budak yang meminta tolong itu,” katanya.
Selepas dua kanak-kanak tersebut berjaya dibawa keluar, Rahmat dimaklumkan masih terdapat mangsa lain di dalam rumah kedai berkenaan.
Dia kemudian cuba memasuki premis, namun terpaksa menghentikan usaha tersebut apabila api semakin marak dan asap menjadi semakin tebal.
Rahmat bersama beberapa penduduk turut menuju ke bahagian belakang premis dalam usaha mencari jalan lain untuk membantu. Namun, bahang api yang semakin kuat menyebabkan mereka terpaksa membatalkan usaha itu sementara menunggu pasukan bomba tiba.
Dua mangsa lain ditemukan dalam tandas

Tangkap layar video Facebook Pieda Ibrahim
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai tiga tingkat bangunan kelas A.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.51 petang.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang tiba di lokasi kira-kira lapan minit kemudian. Siasatan awal mendapati kebakaran berlaku di tingkat dua bangunan dengan anggaran kemusnahan sekitar 90 peratus.
Pihak keluarga memaklumkan terdapat empat mangsa di dalam premis, dengan dua daripadanya berjaya diselamatkan oleh orang awam. Selepas api berjaya dipadamkan, pasukan bomba menemukan dua lagi mangsa pada jam 6.33 petang.
Kedua-duanya ditemui dalam tandas yang berasingan dan terdiri daripada seorang lelaki dewasa berusia 66 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun.
Kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia di dalam tandas berasingan berkenaan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan. Menurut JBPM, kedua-dua mangsa mempunyai hubungan sebagai bapa saudara dan anak saudara.
Mayat mereka kemudian diserahkan kepada unit forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 10.15 malam. Premis kemudian diserahkan kepada forensik kebakaran JBPM untuk tindakan lanjut, manakala operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 10.05 malam.
Tragedi tersebut bukan sahaja mengorbankan dua nyawa, malah memperlihatkan keberanian orang awam yang bertindak sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
Bagi Rahmat, keputusan untuk membantu hadir secara spontan selepas melihat dua kanak-kanak meminta pertolongan dalam keadaan bangunan dipenuhi asap dan bahang api.
Tindakan pantasnya bersama beberapa orang awam akhirnya membolehkan dua kanak-kanak itu dibawa keluar dari premis sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
Sumber: Buletin TV3 / Lobak Merah / Harian Metro
FT Image: Pieda Ibrahim
