Dapur

Cara Buat Nugget Ayam Tempura Paling Mudah. Jimat & Sihat!

2.6K
SHARES

“Ish, budak-budak tu bukan main susah nak suruh makan. Kalau aku goreng nugget atau kentang, sekejap saja licin. Tapi, benda macam tu mana elok makan selalu, banyak MSG. Hmm.. Baik aku cari resepi nugget ayam ‘homemade’, baru sihat. Untung-untung boleh masukkan sayuran segar sekali.” 

Anak-anak kecil biasanya memang sukakan nugget dan makanan jenis jejari. Tapi, ibu-ibu yang cerewet dan menjaga soal pemakanan tentu kurang menggalakkan makan makanan yang berproses ini kerana ia mengandungi MSG serta bahan pengawet. Tambahan pula, harganya agak mahal.

Jadi, kalau boleh buat sendiri memang untung dan menyihatkan!

Kami berbesar hati kerana Puan ALeen Aireish sudi berkongsi resepi nugget ayam tempura beliau dengan para pembaca pada hari ini. Menurutnya, ini adalah salah satu resepi kegemaran anak-anak di rumah. memang terbaik. Tak rugi mencubanya!

resepi nugget ayam tempura

Foto Kredit: Puan Aleen Aireish

Resepi Nugget Ayam Tempura ‘Homemade’

Menariknya, Puan ALeen Aireish ada menunjukkan step-by-step bergambar yang mudah untuk rujukan kita semua. Jom tengok langkahnya.

Bahan-bahan :

  • 4 ketul dada ayam ambil bahagian isi sahaja
    ** cuci bersih & rebus hingga masak, kemudian dipotong/hiris kecil dan halus
    ** tak nak rebus dulu pun tak mengapa, boleh kisarkan saja
  • 8 keping roti gardenia
    **dipotong dadu / kecil-kecil
  • daun sup & daun bawang
  • 1 btg lobak merah
    ** dipotong dadu
  • 2 kiub ayam (boleh juga gunakan stok ayam buatan sendiri untuk alternatif yang lebih sihat)
  • 2 sudu makan tepung jagung
  • 2 sudu makan baking powder
  • lada sulah secukup rasa
  • 2 biji telur

Bahan untuk salut nugget

  • tepung goreng ayam + air dibuat batter *jangan terlalu cair
  • tepung goreng ayam untuk golek nugget

resepi-nugget-ayam-3

Cara-cara :

1. Campurkan Bahan & Kepalkan

Campurkan bahan-bahan tersebut dalam satu bekas yang besar. Ramas-ramaskan hingga boleh dikepalkan atau agak-agak boleh dibentuk bulat-bulat kecil.

Terpulanglah pada selera masing-masing untuk menetapkan saiznya.

Andai kata adunan nugget terlalu kering dan susah untuk dibentuk, tambahkan sedikit air. Jangan terlalu cair, pastikan air dimasukkan sedikit demi sedikit ya!

resepi-nugget-ayam-2

2. Buat Salutan Tempura

Tepung goreng ayam dibancuh dengan air untuk dijadikan batter atau tempura. Celup nugget yang dah siap dibulat-bulatkan tadi.

resepi-nugget-ayam-4

Kemudian golekkan dengan tepung goreng ayam.

resepi-nugget-ayam-5

Dah siap untuk digoreng!

resepi nugget ayam

3. Goreng

Panaskan minyak yang banyak supaya nugget tenggelam semasa digoreng. Gorengkan hingga kelihatan warna keemasan.

resepi nugget ayam

4. Siap!

Bila dah cantik keemasan warnanya, bolehlah diangkat dan dihidangkan.

Kalau rajin, buat banyak-banyak untuk disejuk bekukan. Lain kali bolehlah terus goreng saja.

resepi nugget ayam

Ubah Ikut Citarasa

Senang saja nak ikut resepi nugget ayam tempura ini, bukan?

Anda boleh mengganti atau menambah sebarang bahan tambahan lain yang anda suka ke dalam bahan utama tersebut. Bergantung kepada kreativiti dan citarasa masing-masing. Contohnya, mungkin ada yang suka menambahkan keju di dalam nugget ayam ini. Atau, jika ingin diberikan pada anak kecil mahupun bayi, anda boleh menggunakan stok ayam buatan sendiri yang bebas MSG dan mengelakkan penggunaan garam.

Jika dipelbagaikan, tentu takkan bosan menikmatinya sebagai menu bersarapan atau minum petang. Sihat pun sihat, sebab dah ada sayur di dalamnya.

Selamat mencuba!

 

* Sumber asal Resepi Nugget Ayam Tempura ini disumbangkan oleh Puan ALeen Aireish melalui Facebook dan diterbitkan semula dengan kebenaran beliau.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×