Dapur

Resepi Char Kuey Teow ‘Kick’ Macam Kat Kedai. Mudah & Boleh Simpan Stok Pesnya Sekali

895
SHARES

“Sedapnya char kuey teow kat pasar malam tu… Tadi dah beli barang sebab rasa teringin pulak nak makan. Macam mana nak buat bagi rasa ‘kick’ macam kat kedai makan tu ye?”

Sesekali memang best kalau pekena char kuey teow, terutamanya bagi peminat seafood atau udang.

Char kuey teow ni memang lain sikit berbanding kuey teow goreng yang kita biasa masak dekat rumah tu sebab rasa udangnya lebih ‘kick’, kuahnya pun sedap, basah-basah dan pekat.

Sebenarnya tak susah pun nak buat char kuey teow homemade di rumah. Nak-nak kalau kita simpan pesnya sikit. Bila nak masak, boleh terus guna. Senangnya hidup!

Jom tengok resepi char kuey teow yang dikongsikan oleh Fatin Nur Izzah ni. Langkahnya mudah tapi nampak sedap dan sangat menyelerakan.

Resepi Char Kuey Teow Sedap & Mudah

Lepas beberapa kali percubaan, inilah resepi char kuey teow yang saya dah olah dan paling menjadi.

Bila rasa nak makan, mudah je sebab pesnya dah tersedia.

Caranya cukup mudah.

Jom tengok bahan-bahan untuk buat pesnya dulu di bawah.

  • 1 kg udang (ambil kulit & kepala untuk buat pati)
  • 2 senduk kicap manis
  • 2 senduk kicap pekat
  • 2 senduk sos tiram
  • 2 kiub ikan bilis
  • 2 sudu cili boh
  • 6 ulas bawang putih diketuk

Cara-cara

1. Rebus Kulit & Kepala Udang

Mula-mula siang udang, kemudian ambil kulit dan kepalanya.

Rebuskan sampai masak/ bertukar warna oren.

2. Kisar & Tapis

Biar sejuk sikit dan lepas tu bolehlah kisarkan kepala udang dan kulitnya bersama air rebusan tadi.

Tapiskan hampas dan ambil airnya.

Hampas tu boleh buang atau buat baja.

3. Masak Pes

Kemudian ambil pati udang tadi dan masak semula atas api.

Campurkan kicap manis, kicap pekat, sos tiram, kiub ikan bilis dan cili boh ke dalam air tapisan udang tadi.

Lepas tu tambahkan 6 ulas bawang putih yang diketuk.

4. Tunggu Hingga Pekat

Bila semua bahan tadi dah mendidih, perlahankan api dan biarkan dalam 30 minit atau lebih.

Air rebusan tadi akan menjadi lebih pekat dan bawang putihpun dah hancur.

Boleh tengok beza garisan atas masa awal masak dan garisan bawah selepas 30 minit.

5. Masak Dengan Kuey Teow

Bila dah siap pesnya tadi, sekarang bolehlah kita guna pes ni untuk masak char kuey teow.

Masak sepinggan sepinggan lagi sedap tau, baru rasa dia ‘kick’!

Caranya, tumis 2 ulas bawang putih dan masukkan udang. Letak 1 senduk pes char kuey teow tadi dan sedikit air.

Tambah kuey teow, lepas tu pecahkan telur sebiji. Perasakan secukupnya dengan garam dan gula.

Last sekali masukkan taugeh dan daun kucai. Siap.

Tadaa! Inilah hasilnya…

Resepi char kuey teow

Boleh Simpan Stok Pesnya Tadi

Yang lebihan pes kuey teow tadi kita simpanlah dalam bekas macam ni. Pastikan tunggu sejuk dulu.

1 bekas pes ni boleh buat sampai 4 bungkus kuey teow.

Kalau nak tahan lama, boleh simpan dalam freezer. Kalau tak nak buat banyak sangat, kurangkan je sukatan yang saya gunakan di atas tu.

Dah ada stok pes char kuey teow ni, barulah senang bila nak masak bila-bila masa nanti kan?

Jadi lepas ni tak payah nak beli kat luar lagi. Sedap dan mudah buat sendiri. Bahannya pun boleh bubuh ikut suka kita. Lagi meriah dan berbaloi.

Selamat mencuba!

 

*Resepi char kuey teow ini dikongsikan oleh Fatin Nur Izzah menerusi Facebook. Ia telah disunting dan diterbitkan semula dengan kebenaran.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×