Dapur

Cara Buat Oat Cookies Yang Paling Mudah. Sesuai Untuk Diet!

18.2K
reads

Tidak dinafikan lagi, biskut oat adalah salah satu jenis biskut yang amat digemari oleh hampir kesemua golongan usia. Selain rasanya yang enak, ia juga terkenal dengan khasiatnya sehingga digelar biskut diet atau biskut ‘sihat’. Kalau dilihatkan harganya di pasaraya pun, boleh tahan mahal juga.

Oleh itu, kami amat berbesar hati kerana Puan Rarra Sakura berkongsikan 2 buah resepi biskut oat beliau yang nampak sungguh menyelerakan! Malah, siap dengan tutorial yang menerangkan setiap langkah dengan terperinci.

Resepi Biskut Oat 1: Healthy Digestive Biscuit

Resepi biskut oat pertama adalah healthy digestive biscuit yang mempunyai rasa lemak-lemak dan rangup. Menurut beliau, biskut ini amat sesuai untuk orang yang ingin mengawal pemakanan seperti penghidap diabetes.

Selain itu, anda juga boleh menggunakan biskut ini sebagai base untuk membuat cheese cake.

Bahan-bahan

Berikut adalah bahan yang diperlukan:

  • 75 g butter sejuk (dari peti ais)
  • 100 g tepung serbaguna
  • 65 g oatmeal (kisar)
  • 1/2 sk soda bikarbonat
  • 1/2 sk baking powder
  • 35 g gula perang
  • 2 -3 sb susu segar
  • Garam

cara-buat-biskut-oat-1

 

Cara-cara:

1. Kisar Oatmeal

Pertama sekali, kisar oatmeal. Apabila siap, ketepikan.

resepi biskut oat

2. Gaulkan Bahan

Sediakan mangkuk, masukkan butter dan ramaskan dengan tepung beserta oatmeal. Gaulkan hingga strukturnya menjadi seperti breadcrumbs.

Kemudian, tambah baking soda, garam, soda bikarbonat dan gula. Gaul sebati.

resepi-biskut-oat

3. Tambah Susu

Tambahkan susu sedikit demi sedikit. Jika adunan masih lagi kering, boleh tambah lagi susu.

cara-buat-biskut-oat-5

4. Bentukkan Adunan

Gaulkan sampai adunan tadi tidak lagi melekat pada tangan.

Beginilah rupa adunannya.

cara-buat-biskut-oat-6

5. Sejukkan

Setelah siap adunan, balutkannya dengan menggunakan plastik atau cycling film dan simpan dalam peti sejuk bahagian chiller selama 30 minit.

cara-buat-biskut-oat-7

6. Canai Dan Tekap

Selepas 30 minit, keluarkan dari peti sejuk dan canaikan dengan ketebalan 0.5 cm atau 1 cm.

Selepas itu, boleh tekap ngan mana-mana acuan yang anda gemari.

cara-buat-biskut-oat-8

7. Sejukkan Lagi Sekali

Simpankan acuan biskut tadi ke dalam chiller sekali lagi. Kali ini hanya biarkan selama 10 minit.

cara-buat-biskut-oat-9

8. Bakar

Bubuh dalam tray dan bakar dalam ‘oven’ selama 10-15 minit atau keperangan, suhu 170 c.

cara-buat-biskut-oat

9. Siap!

Sejukkan sebentar sebelum disimpan dalam bekas kedap udara. Dah boleh makan! Beginilah tekstur di dalamnya, rangup bukan?

cara-buat-biskut-oat-10

 

Resepi Biskut Oat 2: Biskut Oat Rangup Ala Munchy’s Krunch

Resepi biskut oat kedua ini ada perbezaan sedikit dengan yang pertama kerana ia mengandungi kekacang, buah-buahan kering.

Lebih kurang macam biskut Oat Krunch jenama Munchy’s, tapi bezanya anda bolehlah taburkan segala jenis benda yang anda suka. Lagi satu, anda boleh kawal jumlah gula dan tahap kemanisannya agar lebih menyihatkan. Jadi, memang sesuai kalau diberi kepada anak-anak mahupun orang dewasa sekalipun.

Berikut adalah resipinya:

Bahan-bahan:

Bahan A
————–

  • 250 g butter
  • 1/2 cawan minyak mazola
  • 2 cawan brown sugar (leh kurangkan)
    *Gaul sebati ngan spatula atau sudip kayu

Bahan B
————-

  • 2 biji kuning telur
  • 1 sudu besar esen vanila
  • 1/2 sudu kecil butter oil (tak guna pun tak apa, kelebihannya cuma berbau wangi)
    *Semua bahan ini sebatikan bersama bahan A tadi

Bahan C
————–

  • 350 g tepung biskut (tepung gandum pon leh)
  • 1/2 sudu besar baking powder
  • 1/2 sudu besar soda bikarbonat
  • 1/2 sudu besar cream of tartar (tak guna pun tak apa)
    *Ayakkan semua bahan ni dan campurkan dengan bahan A + B tadi. Gaul sebati.

Bahan D
————-

  • 1 cawan chocolate chip
  • Sejemput buah2 kering seperti cranberries/kismis atau aprikot kering (dicincang kasar)
  • 2 cawan rolled oat (nak guna oat biasa pun boleh kalau tak ada stok)
  • Kekacang lain (hazelnut, walnut, almond, pistachio, kuaci, pumpkin seeds, gajus, chia seed, terpulang ikut kesukaan dan kemampuan). Nak guna kacang tanah pun boleh. Kalau nak campur semua jenis, ambil sejemput saja bagi tiap-tiap jenis kacang sambil cincang kasar sedikit. Kemudian sangai@ bakar dalam oven sekejap untuk menjadikan ia garing.

cara-buat-biskut-oat-a3

 

Cara-cara:

1. Gaulkan Bahan

Pertama sekali, gaulkan bahan A, bahan B, dan bahan C satu persatu. Kemudian, campurkan semua bahan (A+B+C) seperti dalam gambar di bawah.

Bentukkan hingga ia menjadi doh.

cara-buat-biskut-oat-a7

2. Sejukkan Doh & Bentukkan Acuan

Apabila telah menjadi doh seperti ini, simpankan di dalam chiller selama 15 minit.

Kemudian, bentukkan mengikut acuan yang anda suka. Jangan terlalu tebal, terutamanya di bahagian tengah kerana dikhuatiri akan mentah. Agak-agak ya.

cara-buat-biskut-oat-a4

3. Sedia Untuk Dibakar

Kemudian, bakar di dalam ‘oven’ menggunakan api atas bawah, suhu 160 c selama 15 minit.

Suhu bergantung kepada jenis ‘oven’ juga. Kalau nampak biskut dah keperangan, boleh keluarkan.

cara-buat-biskut-oat-a5

4. Siap!

Ini hasilnya yang siap dibakar.

cara-buat-biskut-oat-a6

cara-buat-biskut-oat-a1

Macam biasa, sejukkan dahulu sebelum dimasukkan dalam bekas kedap udara.

cara-buat-biskut-oat-a2

 

Lebih Berbaloi Buat Sendiri!

Menarik bukan? Selepas ini bolehlah buat sendiri biskut oat menggunakan resepi ini. Kalau buat sendiri, tentulah lebih berbaloi kerana kita boleh ikut selera anak-anak yang selalunya suka memilih makanan. Dengan perkongsian ini, diharapkan ibu-ibu dapat mempelbagaikan hidangan biskut yang kurang manis, lebih sihat dan berkhasiat untuk seisi keluarga.

Selamat mencuba!

 

*Resepi asal kedua-dua resepi biskut oat ini adalah oleh Puan Rarra Sakura yang juga merupakan seorang homebaker. Ikuti lebih banyak tips masakan dan resepi hebat melalui Facebook peribadi beliau Rarra Sakura atau Fanpage Koleksi Resepi Rarra Sakura.

Yang Popular

To Top