Sihat

9 Petua Melegakan Sakit Tekak & Bengkak Tonsil Dengan Bahan Semulajadi

1.2K
SHARES

“Sejak-sejak cuaca tidak menentu ni, selalu pula sakit tekak. Kadang-kadang sampai nak makan pun perit bukan main. Sampai nak demam pun ada. Macam mana nak hilangkan sakit tekak ni ya.”

Bila buka mulut dan tengok di cermin, ada bonggolan di kiri kanan tekak. Kemerahan dan bengkak pula. Itu menandakan anda juga sedang mengalami keradangan tonsil atau lebih dikenal sebagai ‘tonsilitis’. Dua gumpalan di hujung tekak adalah tisu limfoid yang memainkan peranan seperti penapis daripada bakteria dan kuman supaya tidak memasuki saluran pernafasan yang menyebabkan jangkitan.

Penyakit ini lazimnya berlaku pada usia kanak-kanak, tetapi ada sesetengahnya akan berlanjutan hingga meningkat dewasa. Namun begitu, usah khuatir kerana penyakit ini normal dan boleh diubati dalam masa 7 ke 10 hari.

Ada beberapa petua sakit tekak yang juga boleh diamalkan untuk mengurangkan bengkak tonsil dengan menggunakan ramuan yang sedia ada di rumah.

9 Petua Melegakan Sakit Tekak Dan Bengkak Tonsil Dengan Bahan Semulajadi

Berikut adalah antara petua sakit tekak dan tonsil yang mudah untuk anda lakukan di rumah.

1. Madu

Selain kandungan gula semulajadi, madu juga mempunyai berbagai khasiat terapeutik seperti komponen antibakteria dan antiradang. Bahan-bahan aktif ini mampu melegakan kesakitan serta mengurangkan rasa bangkak. Ia juga membekalkan nutrisi lain seperti antioksida, zat besi dan mineral.

Cara penyediaannya ialah mencampurkan 4 sudu teh madu, satu suku sudu garam dan perahan sebiji limau kasturi. Kacaukan dan minum 2 ke 3 kali sehari untuk kesan lebih cepat.

2. Kunyit

Selain menjadi penyeri masakan, kunyit juga sering menjadi pilihan bagi rawatan alternatif dari rumah kerana kesan baiknya pada kesihatan seseorang termasuk rawatan tonsil yang bengkak.

Minum susu panas dengan campuran sesudu kunyit serbuk untuk meredakan sakit tekak. Amalkan 2 kali sehari untuk kelegaan segera.

Kandungan penyembuh yang ada pada kunyit mampu melawan pembiakan bakteria dan virus yang menyumbang kepada jangkitan. Bengkak juga menjadi susut dengan pengambilan kunyit kerana ia membantu menguatkan sistem imun tubuh.

3. Kumur Air Garam

Rata-rata banyak doktor gigi yang mengesyorkan penggunaan kumuran air garam bagi meningkatkan kesihatan oral secara menyeluruh termasuklah tekak. Hal ini disebabkan oleh kebaikan garam yang didapati berkesan untuk mengurangkan perit di tonsil akibat kepedihan dan bengkak lebih-lebih lagi ketika ingin makan dan minum.

Caranya ialah dengan mencampurkan sesudu garam dalam secawan air suam. Kumur tiga kali sehari bagi kesan yang optimum.

4. Lemon

Lemon juga sinonim dengan rawatan bagi tonsillitis secara semulajadi dari rumah kerana memiliki kandungan nutrien yang tinggi  seperti antivirus, antiradang dan antibakteria. Bahan utama lemon iaitu vitamin C pula dapat menguatkan sistem pertahanan tubuh bagi melawan penyakit.

Cara penggunaannya ialah dengan menyediakan air suam yang ditambah dengan perahan sebiji lemon, secubit garam dan sesudu madu. Amalkan dua kali sehari untuk kesan yang cepat.

cara merawat tonsil

Foto Kredit: .sogoodblog.com

5. Kulit Kayu Manis

Selain kunyit, kulit kayu manis juga adalah rempah yang tidak asing dalam masakan di rumah. Tahukah anda, rempah wangi yang diperkaya dengan agen antimikrob ini dapat menjadi penawar kepada tonsillitis kerana keupayaannya menghalang pembiakan bakteria pada tonsil dan mengurangkan bengkak dan rasa sakit pada kawasan tersebut.

Gunakan dengan menambah sesudu kulit kayu manis dan 2 sudu madu ke dalam secawan air panas. Minum 2 ke 3 kali sehari selama seminggu untuk mendapatkan kesan yang efektif.

Foto Kredit: foodesto.com

6. Pudina

Didihkan secawan air bersama segenggam daun pudina. Tapiskan, tambah sesudu madu dan minum 2 ke 3 kali sehari. Bakteria dan virus yang membiak pada kawasan tonsil dapat dihapuskan dengan penggunaan pudina kerana kandungan antibakterianya.

Komponen mentholnya yang menyegarkan pula mampu memberi kelegaan kepada permukaan tonsil yang terkena jangkitan. Boleh juga amalkan berkumur dengan pembersih mulut berperisa pudina untuk memperbaiki kesihatan tonsil serta kawasan lain dalam mulut seperti gusi, gigi dan lelangit.

7. Jintan

Nutrisi yang terkandung dalam jintan juga dipercayai dapat menyembuhkan tonsillitis secara alami dari rumah. Setiap bijian memiliki kadar antioksida, vitamin dan mineral yang tinggi. Selain dapat melawan jangkitan, komponen aktif ini juga dapat menguatkan sistem imunisasi badan.

Panaskan suku sudu biji jintan di atas kuali sehingga perang. Kemudian, tambah secubit serbuk kunyit dan kacau bersama. Sesudah masak, tambahkan secawan susu. Minum semasa suam dan ulang 2 ke 3 kali sehari untuk kesan terbaik.

petua hilangkan sakit tekak

8. Buah Tin / Ara

Dengan kandungan serat ‘mucilage’ sebagai bahan utama, ia mampu melawan tonsillitis dengan melegakan kesakitan dan bengkak. Selain melancarkan pergerakan usus, serat ini juga bertindak aktif bagi melindungi dan menyembuh kawasan yang berjangkit dari serangan bakteria.

Rebus 3 biji buah tin kering. Hancurkan dan makan bersama sesudu madu. Amalkan 2 ke 3 kali sehari bagi meredakan sakit.

9. Halia

Halia juga sering digunakan sebagai petua secara turun temurun untuk pelbagai penyakit termasuk sakit tekak yang berpanjangan. Kandungan antibakteria dan anti-radangnya yang aktif bukan sahaja dapat mempercepat proses sembuh, ia juga dapat mengurangkan rasa sakit dan bengkak.

Cara penggunaannya ialah dengan menyediakan teh halia. Didihkan secawan air dengan sesudu halia parut. Selepas didih, biarkan selama 10 minit dan sedia untuk diminum.

masalah keputihan

Foto Kredit: blog.doctoroz.com

Dapatkan Rawatan Doktor Jika Simptom Berlarutan

Dengan beberapa pilihan alternatif perawatan dari rumah, bengkak dan perit di tekak kini dapat dirawat dengan cara lebih praktikal serta mempunyai khasiat sampingan yang lain. Penyakit tonsillitis tahap normal dapat dirawat sekurang-kurangnya dalam masa 4 hari.

Jika sakit semakin berlarutan, dapatkan rawatan secara klinikal dengan segera. Rawatan tonsillitis perlu dirujuk kepada doktor pakar tekak sekiranya menunjukkan beberapa simptom seperti sukar untuk bernafas dan kelenjar di leher yang mula membengkak dan tompokan nanah mula kelihatan di tonsil. Sekiranya perlu, doktor pakar akan menasihatkan agar anda melakukan pembedahan tonsil.

Untuk melihat cara perawatan sakit tekak atau tonsil bagi bayi dan anak kecil, rujuk artikel ini: 9 Cara Efektif Merawat Tonsil Bengkak Pada Bayi & Kanak-kanak

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×