Bersempena ambang tahun baharu 2025, operasi perkhidmatan rel Rapid KL akan dilanjutkan sehingga 3 pagi. Selain itu, laluan bas terpilih juga melanjutkan operasinya sehingga 3.30 pagi pada 1 Januari ini.
Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) memaklumkan pelanjutan operasi tersebut akan membabitkan 18 stesen rel, empat stesen Bus Rapid Transit (BRT) dan 20 laluan bas utama serta perantara Rapid KL, selain jadual kekerapan tren dipertingkatkan di semua laluan rel bermula jam 7.30 malam 31 Disember ini.
Baca juga: 5 Tempat BEST Nak Lepak Tengok Bunga Api Sekitar KL, Sambutan Tahun Baru 2025 Akan Lebih Meriah!
PERKHIDMATAN REL RAPID KL & BAS DILANJUTKAN PADA AMBANG TAHUN BAHARU
Lanjutan masa operasi ini akan membantu pengguna merancang waktu untuk pulang ke rumah selepas selesai menyambut acara tahun baharu selain mengurangkan kesesakan di stesen yang berhampiran lokasi acara sambutan.
“Rapid KL menggalakkan warga kota untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pada hari sambutan dan pengguna disaran menggunakan kad Touch ‘n Go bagi kelancaran perjalanan dan memastikan baki kad mencukupi,” menurut kenyataan tersebut.
Prasarana memaklumkan 2,731 petugas barisan hadapan Rapid KL terdiri daripada polis bantuan dan kakitangan operasi akan bertugas pada malam ambang tahun baru untuk memastikan kelancaran perjalanan.
Lanjutan operasi bagi stesen rel dan BRT yang terlibat adalah laluan Kelana Jaya, Ampang/Sri Petaling, Monorel Kuala Lumpur, Kajang, Putrajaya, BRT Sunway yang membabitkan stesen seperti KLCC, Masjid Jamek, Pasar Seni, Ampang Park, Bukit Bintang, Tun Razak Exchange (TRX), Mutiara Damansara dan Sunway Lagoon.
Antara laluan bas terpilih dan Demand Responsive Transit (DRT) kendalian Rapid KL yang dilanjutkan operasi ialah dari Taman Sri Hartamas -Lin Ho Jalan Lekiu, Taman Jasa Utama-Lebuh Ampang, Stesen Wangsa Maju-Lebuh Ampang, Hentian Kajang-Hab Lebuh Pudu dan Puchong Utama-Hab Pasar Seni.
Ia turut melibatkan Taman Sri Muda-Hab Pasar Seni, Stesen Stadium Kajang-Bandar Teknologi. Stesen Kwasa Damansara-Subang Suria, Stesen Sungai Buloh-Bukit Rahman Putra, Stesen TRX-Taman Maluri/Desa Pandan, Stesen Cyberjaya Utara-Cyber 11, Stesen Alam Megah-Seksyen 27 Shah Alam, Stesen Putrajaya Sentral-Presint 16 dan Stesen Glenmarie-MSU Stadium Shah Alam.
Jadi, rancang perjalanan anda dengan betul agar semuanya lancar ketika ambang tahun baharu tersebut. Gunakan perkhidmatan rel Rapid KL dan bas sebaiknya bersama insan tersayang.
Semoga bermanfaat!
Baca juga: Perkhidmatan Tren MySawasdee Dari Butterworth – Hatyai Secara Terus Bermula 29 Disember
Sumber: Sinar Harian
Kredit imej: Options, The Edge