Kejayaan anak Malaysia mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa pastinya menjadi kebanggaan ramai. Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan tahniah kepada Profesor Dr Kuik Cheng-Chwee selepas beliau tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis teratas dunia bagi tahun 2026.
PERDANA MENTERI UCAP SYABAS PROF CHENG-CHWEE, TERSENARAI 2% SAINTIS TERATAS DUNIA

Gambar Profesor Dr Kuik Cheng-Chwee di hantaran Facebook Anwar Ibrahim.
Prof Kuik Cheng-Chwee harumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa
Dalam hantaran berkenaan, Anwar menzahirkan ucapan tahniah kepada Profesor Dr Kuik Cheng-Chwee yang berkhidmat sebagai Felo Utama di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Tahniah dan syabas kepada Profesor Dr Kuik Cheng-Chwee, Felo Utama IKMAS, UKM, atas kejayaan tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis teratas dunia bagi tahun 2026,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.
Menurut beliau, pengiktirafan itu bukan sahaja mengiktiraf sumbangan Prof Kuik dalam bidang ilmu, malah membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan dan sumbangan beliau dalam bidang ilmu, malah turut mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Semoga kejayaan ini terus menyemarakkan budaya ilmu, memperkukuh tradisi penyelidikan dan menjadi inspirasi kepada generasi ilmuwan untuk menyumbang kepada kemajuan negara,” katanya.
Pernah Terlibat Dalam Penggubalan Kertas Putih Pertahanan Malaysia

Gambar Facebook Perdana Menteri.
Selain berkhidmat di UKM, Prof Kuik Cheng-Chwee turut memegang jawatan sebagai Felo Kanan di Institut Dasar Luar, Sekolah Pengajian Antarabangsa Lanjutan (SAIS), Universiti Johns Hopkins di Amerika Syarikat.
Beliau juga merupakan pengasas bersama Kaukus Hubungan Antarabangsa Asia Timur (EAIR), sebuah platform penyelidikan yang menggalakkan pertukaran pandangan, pembabitan dan pemerkasaan dalam kalangan profesional hal ehwal luar di Malaysia.
Dalam bidang dasar pertahanan negara, Prof Kuik pernah mengetuai Pasukan Penulisan bagi penggubalan Kertas Putih Pertahanan pertama Malaysia dari 2019 hingga 2020.
Beliau turut dilantik sebagai anggota Majlis Perundingan Dasar Luar, Kementerian Luar bagi tempoh 2023 hingga 2024.
Pencapaian ini sekali gus mengetengahkan peranan ahli akademik dalam memperkukuh bidang penyelidikan serta menyumbang kepakaran kepada pembangunan dan kepentingan negara.
Semoga pencapaian Profesor Dr Kuik Cheng-Chwee ini, dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai ilmuwan untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara.
Sumber: Facebook Anwar Ibrahim
