Permintaan sederhana seorang kanak-kanak untuk mendapatkan doa daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyentuh hati ramai apabila dia sendiri meminta dirakamkan video sebelum menjalani pembedahan yang dikatakan mempunyai risiko tertentu
PERMINTAAN AMMAR SEBELUM PEMBEDAHAN DAPAT RESPONS ANWAR IBRAHIM

Muhammad Ammar Izdiyad
Kanak-kanak bernama Muhammad Ammar Izdiyad itu dilihat bersungguh-sungguh menyampaikan pesanan kepada pemimpin negara berkenaan meskipun mengalami kesukaran untuk bercakap dengan lancar.
Menerusi video yang dikongsikan ibu saudaranya, Siti Hawa Jamaluddin di Threads, Ammar secara peribadi meminta agar Anwar mendoakan urusan pembedahannya dipermudahkan.
Ammar minta PMX doakan pembedahan dipermudahkan
Dalam rakaman tersebut, Ammar menyapa Anwar yang turut dikenali sebagai PMX sebelum memaklumkan bahawa dirinya bakal menjalani pembedahan.
“Assalamualaikum PMX, saya Ammar. Saya nak masuk wad, nak operation dah ni. PMX boleh doakan saya?” katanya menerusi rakaman tersebut.
Menurut wanita itu, Ammar sendiri yang bersungguh-sungguh meminta supaya video itu dirakamkan untuk disampaikan kepada Perdana Menteri.
Menerusi hantaran berkenaan, Siti Hawa turut memaklumkan bahawa anak buahnya itu bakal menjalani pembedahan berkaitan tonsilitis atau radang tonsil. Lebih merisaukan, doktor turut menjelaskan bahawa prosedur tersebut mempunyai risiko tertentu terhadap keadaan Ammar.
“Bersungguh-sungguh suruh rakamkan video dia nak bagitahu dekat PMX, bercakap pun tak cukup nafas tu.
“Mohon doa dari acik uncle semua juga untuk Muhammad Ammar Izdiyad ya.
“Doktor cakap pembedahan ni agak berisiko untuk Ammar, semoga Allah mudahkan semuanya dan diberi kesembuhan untuk Ammar,” menurut hantaran tersebut.
Lihat di Threads
PMX balas permintaan Ammar
Permintaan Ammar itu akhirnya mendapat respons daripada Anwar yang menitipkan doa agar kanak-kanak berkenaan diberikan kesihatan yang baik serta dipermudahkan urusan pembedahannya.
Malah, Perdana Menteri itu turut mendoakan agar Ammar berjaya dalam peperiksaan yang bakal dihadapinya.
“Atuk doakan, insya-Allah berjaya dalam peperiksaan dan pembedahan. Syafakallah, kita berdoa kepada Allah mudah-mudahan sihat. Doa sebaiknya,” katanya.
Dalam masa sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan, turut meninggalkan komen dengan mendoakan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak itu.
“Salam. Semoga adik Ammar dapat menjalani pembedahan dengan selamat dan sihat wal afiat sentiasa. Amiin,” tulisnya.
Semoga urusan pembedahan Muhammad Ammar Izdiyad dipermudahkan, diberikan kesembuhan dan kembali sihat seperti sediakala. Amin.
Lihat di Threads
Sumber: Threads @sitihawajamaluddins
