Deko & Hias

Bukan Hotel, Ini Lobi Lif Flat Selayang! Jiran-Jiran Sepakat Menghias, Raih Pujian Menteri Agama

lobi lif

Bukan di hotel mewah, sebaliknya di sebuah flat di Selayang, penduduk berjaya mengubah lobi lif dan koridor kediaman mereka menjadi ruang yang lebih cantik, bersih dan ceria hasil kerjasama jiran tetangga.

Baca juga: Selama Ini Main Sumbat Je Bawah Sinki Dapur, Rupanya Ada 5 Barang Yang Tak Patut Ada Dekat Situ

HIAS LOBI LIF MACAM HOTEL, USAHA PENDUDUK FLAT DI SELAYANG RAIH PUJIAN

lobi lif

Gambar: Ihsan @ilaalnk

Usaha itu menarik perhatian ramai selepas seorang wanita berkongsi gambar ruang berkenaan menerusi akaun Threads miliknya, @ilaalnk. Menariknya, penduduk berbilang bangsa bukan sahaja berganding bahu mencantikkan kawasan kediaman, malah turut menyumbang wang, tenaga dan makanan bagi menjayakan usaha tersebut.

Perkongsian itu menerima pelbagai pujian warga maya yang tersentuh melihat semangat kejiranan mereka, termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Jiran Melayu, India dan Pakistan sama-sama bergotong-royong

Menerusi perkongsian tersebut, @ilaalnk meluahkan rasa syukur kerana berpeluang tinggal di kawasan kejiranan yang mempunyai penduduk yang saling membantu tanpa mengira latar belakang bangsa.

“Daripada flat ke lobi hotel. Tidak sangka rezeki dapat jiran yang baik, sama-sama sepakat dapat menghasilkan ruangan rumah cantik dan bersih seperti ini.

“Aras kami ada jiran Melayu, India dan Pakistan semua rajin bantu sumbang dana dan tenaga, (sumbangkan) makanan pun ada. Meriah, semoga sampai bila-bila hubungan baik ini. Barulah rumahku syurgaku kan,” tulisnya.

Menurut wanita itu, usaha menceriakan kawasan kediaman berkenaan dilakukan selepas mereka berbincang dengan pihak pengurusan flat mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan sebelum kerja menghias dimulakan.

Malah, inisiatif itu juga dicadangkan oleh pihak pengurusan sebagai salah satu cara untuk mengeratkan hubungan sesama penduduk.

Pertandingan hias aras eratkan hubungan jiran

lobi lif

Gambar: Ihsan @ilaalnk

Lebih menarik, aktiviti menghias dan menceriakan kawasan kediaman itu turut dijadikan pertandingan bulanan antara aras di flat berkenaan.

Menerusi pertandingan tersebut, penduduk mempunyai peluang untuk saling mengenali dan bekerjasama, termasuk dengan jiran yang sebelum ini mungkin tidak begitu rapat.

“Ini juga idea daripada pihak pengurusan, selain bertanding (keceriaan antara aras) dapat mengeratkan lagi hubungan antara jiran, daripada tidak kenal (jiran) jadi kenal.

“Jiran yang ‘sporting’. Melayu, India dan Pakistan, bukan (antara orang) Malaysia sudah ini tetapi antarabangsa,” tulisnya.

Berkongsi berita gembira, wanita itu turut memaklumkan bahawa aras kediamannya berjaya meraih gelaran juara bagi bulan berkenaan.

Dia juga menjelaskan bahawa karpet yang kelihatan di bahagian tangga dalam gambar berkenaan hanya diletakkan sementara bagi menyambut kunjungan tetamu kehormat sebelum dialihkan dan disimpan semula.

Baca juga: Ibu Tak Mampu Belikan Squishy, Anak Ini Buat Sendiri Guna Kreativiti… Hasilnya Bikin Ramai Kagum!

Dr Zulkifli Hasan turut puji semangat penduduk

Usaha penduduk flat itu turut mendapat perhatian Dr Zulkifli Hasan yang meninggalkan komen positif pada hantaran berkenaan.

“Alhamdulillah, terbaik! Teruskan semangat kerjasama, bantu membantu dan menjaga persekitaran kita. Contoh yang baik untuk kita semua,” tulisnya di ruangan komen.

Kisah ini membuktikan bahawa suasana kediaman yang selesa bukan hanya bergantung pada hiasan atau keluasan ruang, tetapi turut dipengaruhi sikap penduduk yang saling menghormati dan bekerjasama.

Apabila jiran sepakat menjaga kawasan bersama, ruang kediaman bukan sahaja kelihatan lebih menarik, malah hubungan sesama komuniti juga dapat menjadi semakin erat.

lobi lif

Gambar: Ihsan @ilaalnk

Sumber: Threads @ilaalnk

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×