Inspirasi

Bawa Pulang RM1,500, Qaisyah Khairunnisa Tak Sangka Berjaya Genggam Takhta Juara Pentas Little Star 2026

pentas little star

Minat menyanyi sejak berusia enam tahun membawa Qaisyah Khairunnisa Syahlil, 9 tahun, melangkah lebih jauh apabila berjaya menggenggam takhta juara Pentas Little Star 2026 anjuran SirapLimau.

Bagi murid dari SK Padang Berampah, Sipitang, Sabah ini, kejayaan tersebut menjadi satu lagi pencapaian bermakna dalam perjalanan mengembangkan bakat dan mengejar impian dalam bidang nyanyian.

Baca juga: Pernah Bergelar Juara Dunia, Amatullah Hamidah Tambah Koleksi Kejayaan Pidato Raih Top 5 Di ‘Pentas Little Star’

JUARA PENTAS LITTLE STAR 2026 MILIK QAISYAH KHAIRUNNISA

pentas little star

Qaisyah Khairunnisa Syahlil diapit ibunya Shanty Azlina (kiri) dan Ketua Projek Pentas Little Star 2026, Siti Haidatina Mohamad Aznam di bangunan Media Prima, Balai Berita Bangsar.

Minat menyanyi bermula dengan mengikuti kakak

Menurut Qaisyah, minatnya terhadap dunia nyanyian mula berkembang apabila dia sering mengikut kakaknya, Qahirah Maisarah, menyanyi. Lama-kelamaan, timbul keinginan untuk mencuba pertandingan nyanyian di sekolah dan peringkat daerah.

Ketika berusia tujuh tahun, Qaisyah mula mengikuti kelas vokal serta menjalani latihan khusus bagi memantapkan kemahirannya. Selain belajar memperbaiki persembahan, dia juga seronok dapat berkenalan dengan rakan baharu yang mempunyai minat sama.

Antara pertandingan yang dekat di hatinya ialah Sugandoi Dazanak, khususnya ketika musim Kaamatan. Sepanjang perjalanan itu, Qaisyah turut menyertai pelbagai pertandingan nyanyian, termasuk uji bakat Bintang Kecil RTM.

Usaha tersebut membuahkan hasil apabila dia berjaya mengumpul pelbagai pencapaian dalam bidang nyanyian. Antara persembahan pentas dan pencapaian yang pernah diraih atau disertainya ialah:

  1. Johan Sugandoi Dazanak Daerah Kuala Penyu 2026.
  2. Finalis Sugandoi Dazanak Daerah Papar 2026.
  3. Juara Pertandingan Nyanyian Irama Malaysia Peringkat Sekolah SKPB 2026.
  4. Separuh akhir Sugandoi Dazanak Peringkat Negeri Sabah pada 2025 dan 2026.
  5. Johan Sugandoi Dazanak Daerah Sipitang 2025.
  6. Finalis Big Sabah Voice 2025.
  7. Juara Pertandingan Lagu Patriotik peringkat sekolah 2025.
  8. Naib Johan Sugandoi Dazanak Daerah Sipitang 2024.
  9. Menyertai uji bakat Bintang Kecil RTM.

Teruja apabila impian muncul di televisyen tercapai

pentas little star

Qaisyah Khairunnisa Syahlil dinobatkan Juara Pentas Little Star 2026 anjuran SirapLimau.

Penyertaan dalam Pentas Little Star 2026 menjadi satu lagi pengalaman bermakna buat Qaisyah. Dengan dorongan keluarga, dia berusaha memberikan yang terbaik walaupun sedar bahawa setiap pertandingan tidak semestinya berakhir dengan kemenangan.

Apabila mengetahui pemenang bakal berpeluang muncul dalam rancangan MHI, Qaisyah semakin teruja. Malah, kejayaan melangkah ke kelompok Top 20 pun sudah cukup menggembirakannya.

Namun, dia tidak menyangka perjalanan tersebut akhirnya membawanya bergelar juara. Kegembiraan itu bukan hanya dirasai oleh dirinya dan keluarga, tetapi turut dikongsi rakan-rakan yang membantu mendapatkan undi sepanjang pertandingan.

Ibu bapanya menjelaskan bahawa kemenangan tersebut membawa makna lebih besar daripada sekadar gelaran juara.

“Bagi kami, Juara itu bukan milik Qaisyah seorang, tetapi semua yang telah menyokong dan mengundi Qaisyah sehingga menjadi juara.”

Bagi Qaisyah, pengalaman bekerjasama dengan rakan-rakan untuk mengumpul undi menjadi antara kenangan paling bermakna. Selain membantunya melangkah lebih jauh, pengalaman itu turut meningkatkan keyakinan untuk meneruskan perjalanan dalam bidang nyanyian.

Hadiah wang tunai RM1,500 yang diterima juga mempunyai perancangan tersendiri. Sebahagiannya disimpan untuk membeli perkara yang disukai, manakala sebahagian lagi digunakan untuk belanja rakan-rakan yang memberikan sokongan. Baki wang pula disimpan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Baca juga: 2 Tahun Berturut-Turut Menyanyi Di Majlis Diraja Kelantan, Naufa Nur Azween Raih Top 5 ‘Pentas Little Star’!

Ibu bapa bahagi masa, pelajaran tetap diutamakan

juara pentas little star

Foto ihsan keluarga: Qaisyah dinobatkan Juara Sugandoi Dazanak Peringkat Daerah Kuala Penyu 2026 (kiri) dan Juara Sugandoi Dazanak Peringkat Daerah Sipitang 2025.

Di sebalik pencapaian Qaisyah, ibu bapanya, Shanty Azlina, 42, dan Syahlil Mohd Yah, 41, memainkan peranan penting dalam memastikan minat anak-anak terus berkembang tanpa mengabaikan tanggungjawab lain.

Kedua-duanya bekerja sebagai guru dan perlu menguruskan masa apabila Qaisyah serta kakaknya mempunyai persembahan atau pertandingan. Jika kedua-duanya terlibat dalam acara pada waktu yang sama, ibu dan ayah akan membahagikan tugas untuk menemani mereka.

Dalam masa sama, mereka memastikan pelajaran anak-anak tidak terabai. Sokongan yang diberikan bukan sekadar menghantar mereka ke pertandingan, tetapi turut membantu memastikan pembelajaran terus berjalan dengan baik.

Malah, Qaisyah menyimpan impian untuk memiliki lagu sendiri, meskipun masih belum pasti sama ada mahu menjadikan nyanyian sebagai kerjaya apabila dewasa kelak kerana usianya masih muda dan perjalanan untuk menentukan masa depan masih panjang.

Bagi ibu bapanya, apa juga bidang yang dipilih kelak, mereka berharap Qaisyah berjaya dalam pelajaran dan kehidupan, selain sentiasa merendah diri jika terus melangkah jauh dalam dunia seni.

“Kamu menang bukan bermakna kamu hebat, tapi kamu belum jumpa lawan kamu yang sebenar,” pesan mereka yang selalu mengingatkan Qaisyah tentang hal tersebut.

Pesanan buat anak-anak yang mahu mengejar impian

juara pentas little star

Foto ihsan keluarga: Qaisyah di Ujibakat Bintang Kecil Peringkat Negeri Sabah 2026 (kiri) dan Ujibakat Bintang Kecil Peringkat Negeri Sabah 2025.

Pengalaman menyertai pertandingan mengajar Qaisyah bahawa kejayaan memerlukan usaha, latihan dan kesungguhan. Dia juga mahu kanak-kanak lain yang mempunyai minat sama supaya tidak mudah berputus asa apabila berdepan cabaran.

Buat ibu bapa pula, Shanty dan Syahlil berharap keluarga lain terus memberikan peluang kepada anak-anak untuk meneroka bakat masing-masing tanpa memperlekehkan minat mereka.

Bagi mereka, zaman kanak-kanak ialah peluang berharga untuk anak-anak belajar, mencuba dan membina keyakinan. Dengan bimbingan serta sokongan yang sewajarnya, bakat kecil itu mungkin menjadi permulaan kepada perjalanan yang lebih besar pada masa hadapan.

Bagi Qaisyah, gelaran juara Pentas Little Star 2026 bukanlah noktah kepada perjalanannya. Sebaliknya, ia menjadi satu lagi langkah untuk terus belajar, memperbaiki diri dan mengejar impian dalam bidang yang diminatinya. Tahniah!

AMARAN: ARTIKEL INI MERUPAKAN TEMU RAMAH EKSKLUSIF SIRAP LIMAU DENGAN PIHAK TERBABIT. JADI, ANDA TIDAK DIBENARKAN MENYIAR ARTIKEL INI DI LAMAN WEBSITE YANG LAIN TANPA PEMBERIAN KREDIT YANG TEPAT.

Sumber: TikTok @qahirahmaisarah / Pentas Little Star

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×