Bukan mudah untuk seorang kanak-kanak membina keyakinan diri ketika berhadapan dengan penonton, apatah lagi apabila perlu beraksi di pentas pertandingan. Namun, berbeza dengan kebanyakan rakan seusianya, Naufa Nur Azween binti Shuhaisham sudah menunjukkan minat terhadap bakat nyanyian sejak berusia tiga tahun.
Baca juga: Biodata Tun Dr. Hasmah, Doktor Wanita Melayu Terawal Yang Banyak Berjasa Kepada Negara
BAKAT NYANYIAN NAUFA TERSERLAH SEJAK USIA 3 TAHUN

Ihsan Nor Haslinda Zakaria: Naufa Nur Azween Shuhaisham,12, membuat persembahan sebagai jemputan khas nyanyian di Majlis Istiadat Diraja Negeri Kelantan Sempena Majlis Taman Hari Keputeraan Sultan Kelantan pada 01 Oktober 2025.
Kini berusia 12 tahun, anak kelahiran Tumpat, Kelantan ini bukan sahaja aktif menyertai pertandingan, malah berjaya mengharumkan nama negeri menerusi beberapa pencapaian membanggakan dalam bidang seni suara.
Keberanian dan bakat semula jadinya turut membawa Naufa terpilih sebagai salah seorang peserta Top 20 kempen Pentas Little Star anjuran Siraplimau sebelum meraih tempat saguhati.
Mula menyanyi sejak kecil, ibu jadi tulang belakang
Menurut ibunya, Nor Haslinda binti Zakaria, 47, Naufa mula menunjukkan minat terhadap nyanyian seawal usia tiga tahun sebelum memberanikan diri menyertai persembahan dan pertandingan ketika berusia tujuh tahun.
Sejak itu, Nor Haslinda sentiasa memberikan sokongan dengan menyediakan segala persiapan yang diperlukan setiap kali anaknya menyertai persembahan.
Menariknya, Naufa mempunyai keyakinan diri yang tinggi secara semula jadi, selain mudah mesra dan mampu menyesuaikan diri dengan orang sekeliling. Dari segi vokal pula, dia banyak berlatih sendiri bagi memantapkan kebolehan menyanyi.
Antara penyanyi yang menjadi inspirasi Naufa ialah Datuk Siti Roziana binti Zain (Ziana Zain), yang diminatinya sejak sekian lama.
Bakat dan usaha Naufa turut membuahkan hasil apabila berjaya meraih beberapa kejuaraan, antaranya:
- Johan Pertandingan Bintang Kecil RTM Negeri Kelantan bagi tahun 2025 dan 2026.
- Mewakili Kelantan dalam Pertandingan Debaran Bintang Kecil RTM Zon Semenanjung pada 2025 dan 2026.
- Mewakili Kelantan dalam Pertandingan Nyanyian Genta Suara Kategori Irama Tradisional di PICC Putrajaya pada 2025.
- Johan Pertandingan Nyanyian Karnival Ceria Simpan SSPN Negeri Kelantan 2026.
- Johan Pertandingan Nyanyian Hepili Got Talent Kementerian Pendidikan Malaysia Peringkat Kebangsaan 2025.
- Persembahan jemputan khas Majlis Istiadat Diraja Kelantan sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan pada 2025 dan 2026.
Ibu sanggup jadi pengurus peribadi demi kejayaan anak
Di sebalik pencapaian tersebut, Nor Haslinda memainkan peranan besar dalam memastikan minat anaknya terus berkembang.
Dia sanggup menghantar dan menemani Naufa ke setiap persembahan, selain mengurus jadual harian supaya latihan nyanyian tidak mengganggu waktu persekolahan.
Bukan itu sahaja, Nor Haslinda turut menyediakan keperluan pertandingan termasuk pakaian, perjalanan, penginapan dan makan minum.
“Saya juga akan sentiasa menjaga kesejahteraan mental Naufa bagi memastikan dia menyanyi kerana minat yang mendalam dan bukannya kerana paksaan atau tekanan untuk menjadi terkenal.”
Bagi beliau, sokongan moral juga sama penting supaya anaknya tidak mudah berputus asa sekiranya berdepan kegagalan atau kekalahan.
RAIH TEMPAT SAGUHATI PENTAS LITTLE STAR, SIMPAN IMPIAN JADI GURU VOKAL

Ihsan Nor Haslinda Zakaria: Naufa mewakili Negeri Kelantan dalam Pertandingan Debaran Bintang Kecil RTM Peringkat Zon Semenanjung pada 12 September 2026 yang bertempat di Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Seremban Negeri Sembilan.
Mengulas kejayaan Naufa dalam kempen Pentas Little Star, Nor Haslinda meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua yang memberikan sokongan serta undian sehingga anaknya berjaya berada dalam kelompok Top 20 dan memperoleh tempat saguhati.
Naufa sendiri berasa gembira dengan pencapaian tersebut, apatah lagi sijil yang diterima berpotensi membantu mendapatkan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) yang terbaik untuk permohonannya ke sekolah menengah khas pada tahun hadapan.
Biarpun masih muda, Naufa sudah mempunyai impian besar. Selain mahu menjadi penghibur hebat tanah air seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, dia turut bercita-cita menjadi guru vokal dan membuka perniagaan sendiri apabila dewasa kelak.
Nor Haslinda pula berhasrat untuk terus mencari peluang persembahan dan pertandingan agar bakat anaknya dapat diketengahkan kepada khalayak lebih luas.
Dalam masa sama, dia turut menitipkan pesanan kepada ibu bapa lain supaya tidak memandang rendah bakat yang dimiliki anak-anak, sebaliknya memberikan ruang dan sokongan unutk mereka mencuba.
Bagi keluarga Naufa, kejayaan bukan sekadar tentang kemenangan pertandingan, tetapi juga keberanian untuk terus mencuba dan membina keyakinan diri dengan sokongan orang tersayang.
