Bukan calang-calang kebolehan yang dimiliki kanak-kanak berusia empat tahun ini apabila Gaeshwin Nair dari Seremban, Negeri Sembilan berjaya mengenal pasti puluhan komponen enjin kenderaan dalam masa hanya satu minit, sekali gus meraih tiga pengiktirafan rekod di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Lebih membanggakan, kebolehan luar biasa Gaeshwin itu melayakkan dirinya diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) serta dua organisasi rekod antarabangsa, iaitu International Book of Records dan Worldwide Book of Records.
KENAL PASTI 44 KOMPONEN ENJIN KENDERAAN DALAM MASA 60 SAAT

Gambar World of Buzz: Gaeshwin Nair berusia 4 tahun berjaya mengenal pasti puluhan komponen enjin kenderaan dalam masa hanya satu minit.
Menurut laporan World of Buzz, ibu bapanya, Thynalan Mohan Das dan Gayathri Nair, mula menyedari keupayaan pembelajaran anak mereka ketika Gaeshwin baru berusia satu tahun setengah.
Pada usia tersebut, dia sudah mampu menyebut kesemua planet dalam sistem suria mengikut urutan yang betul. Seiring pertambahan usia, minatnya terhadap dunia automotif semakin berkembang sehingga dia berjaya mencatat pencapaian yang membanggakan.
Pada 24 Julai 2026, Gaeshwin berjaya mengenal pasti sebanyak 44 komponen enjin kenderaan dalam tempoh 60 saat, sekali gus melayakkannya menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records menerusi kategori “Most Automotive Engine Components Identified By A Child In One Minute”.
Pencapaian itu turut mendapat pengiktirafan antarabangsa daripada dua organisasi lain, masing-masing dengan kategori rekod tersendiri.
Berikut ialah tiga pengiktirafan yang berjaya diraih Gaeshwin:
- Malaysia Book of Records (MBR) – Pemegang rekod kebangsaan bagi kategori kanak-kanak yang mengenal pasti paling banyak komponen enjin automotif dalam masa satu minit.
- International Book of Records – Pemegang rekod dunia bagi kategori “Most Automotive Engine Components Identified In One Minute (Preschooler)”.
- Worldwide Book of Records – Pemegang rekod dunia bagi kategori “Most Automotive Engine Components Identified And Recited By A Child In One Minute”.
Baca juga: Dah Bersara Tapi Masih Sibuk? Pembantu Dedah Ini ‘Kerja’ Yang Tun M Buat Setiap Hari Di Pejabat!
Minat terhadap kereta bermula sejak kecil

Gambar World of Buzz.
Minat Gaeshwin terhadap dunia automotif semakin mendalam apabila ibu bapanya memperkenalkan kad imbas pendidikan yang memaparkan lebih daripada 100 jenama kereta berserta negara asal masing-masing.
Menariknya, dia berjaya mengenal pasti semua jenama tersebut dalam tempoh hanya satu hingga dua bulan.
Daripada mengenali pelbagai jenama kereta, Gaeshwin kemudian mula mempelajari komponen enjin yang lebih kompleks, termasuk aci engkol (crankshaft), pengangkat injap (valve lifter), pelaras aci sesondol (camshaft adjuster), pam minyak enjin, rod penyambung, penutup pemasaan dan pemisah minyak.
Melihat minat anak mereka yang semakin mendalam, Thynalan dan Gayathri mengambil inisiatif menyediakan bahan pembelajaran serta peluang untuk Gaeshwin mengenali komponen enjin sebenar.
“Menyedari minat dan keterujaannya yang mendalam, kami mengambil keputusan untuk memupuk minatnya melalui bahan pendidikan serta pendedahan secara langsung kepada komponen enjin sebenar. Ini membolehkannya meneroka, belajar dan mengembangkan pengetahuannya dalam bidang automotif,” kata mereka.
Ibu bapa mahu Gaeshwin membesar dengan seimbang
Bagi Thynalan dan Gayathri, kebanggaan terbesar mereka bukan sekadar sijil atau gelaran yang berjaya diraih anak mereka.
Sebaliknya, mereka berasa gembira melihat sifat ingin tahu semula jadi serta kecintaan Gaeshwin terhadap ilmu berkembang menjadi sesuatu yang luar biasa.
Dalam masa sama, mereka mahu memastikan anak mereka tetap menikmati zaman kanak-kanak yang seimbang sambil terus diberikan ruang untuk meneroka minat dan mengembangkan potensinya.
“Kami berharap perjalanan Gaeshwin dapat memberi inspirasi kepada ibu bapa lain untuk mengenal pasti kelebihan unik anak-anak mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk meneroka potensi masing-masing,” kata mereka lagi.
Kisah Gaeshwin membuktikan bahawa setiap kanak-kanak mempunyai minat dan kebolehan tersendiri. Dengan sokongan serta bimbingan yang sesuai, minat tersebut boleh menjadi titik permulaan kepada pencapaian yang membanggakan.
Sumber: World Of Buzz
