Hebahan

Kes Pertama Selepas 27 Tahun, Bayi Usia 3 Bulan Di Sabah Dijangkiti Polio

4.6K
SHARES

Penyakit polio merupakan penyakit yang wajib dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Bagi memastikan Malaysia bebas daripada penyakit polio, pemantauan gejala penyakit yang menyerupai gejala penyakit polio iaitu Acute Flaccid Paralysis (AFP) dijalankan kepada kanak-kanak berumur kurang daripada 15 tahun di semua fasiliti kesihatan di Malaysia.

Namun, negara dikejutkan apabila menerima berita bahawa seorang bayi berusia 3 bulan dijangkiti penyakit ini di Tuaran, Sabah.

SELEPAS 27 TAHUN, KES POLIO TERBAHARU DILAPORKAN

Selepas 27 tahun Malaysia bebas daripada polio, satu kes disahkan dijangkiti virus itu membabitkan bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, bayi terbabit mengalami demam diikuti lemah anggota badan dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di hospital serta disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) pada 6 Disember lalu.

Beliau berkata, hasil ujian pengesahan dijalankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Makmal Serantau Polio di Australia, virus itu mempunyai kaitan genetik dengan virus polio dikesan pada kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) di Filipina. Turut menambah, seterusnya, vaccine-derived poliovirus type 1 ini diklasifikasikan sebagai circulating vaccine-derived poliovirus type 1 (cVDPV 1).

BAYI MASIH DIRAWAT RAPI

Menurut laporan Harian Metro, bayi itu masih dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil, tetapi memerlukan bantuan pernafasan. Memandangkan pesakit masih memerlukan rawatan rapi, orang ramai dan pihak media dipohon tidak mengganggu waris atau petugas kesihatan di hospital dalam menjalankan tugas memberi rawatan kepada pesakit.

Kata Ketua Pengarah Kesihatan lagi “Circulating vaccine-derived poliovirus (cVDPV) berasal daripada virus polio yang sudah dilemahkan di dalam vaksin polio yang diberi secara oral (Oral Polio Vaccine – OPV).

“Virus dilemahkan ini dikumuhkan oleh badan melalui najis. Dalam persekitaran tidak sanitari, ia boleh menjangkiti orang lain yang tiada imuniti terhadap polio dan terus tersebar dalam komuniti yang liputan imunisasi polio kurang daripada 95 peratus,” katanya.

Beliau berkata, semakin lama virus itu tersebar dalam komuniti berkenaan, ia mengalami mutasi genetik hingga menjadi virus kembali aktif.

“Virus ini dipanggil vaccine-derived poliovirus (VDPV) dan boleh menyebabkan poliomyelitis. Namun, untuk mereka yang sudah divaksinasi dengan vaksin poliomyelitis, mereka akan mendapat perlindungan daripada jangkitan penyakit berkenaan,” katanya.

HASIL SIASATAN, TIDAK DIBERI VAKSIN

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sehingga 5 Disember lalu, hasil siasatan di kawasan tempat tinggal kanak-kanak dijangkiti polio di Sabah itu mendapati 23 daripada 199 orang (11.6 peratus) berusia antara dua bulan hingga 15 tahun tidak menerima vaksin polio. Beliau berkata, keadaan itu sangat merunsingkan kerana penularan jangkitan cVPDV hanya boleh ditamatkan dengan imunisasi polio.

“Hasil penerangan mengenai kepentingan imunisasi polio bagi mencegah jangkitan polio, ibu bapa semua kanak-kanak itu bersetuju untuk mereka diberikan vaksin polio.

“Aktiviti pencarian kes acute flaccid paralysis (AFP), proksi kepada poliomyelitis di kawasan tempat tinggal kanak-kanak itu sudah dijalankan. Sehingga 5 Disember lalu, seramai 646 orang sudah diperiksa dan tiada orang bergejala AFP dikesan,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan di kawasan berkenaan termasuk pengambilan sampel najis daripada kontak rapat kanak-kanak itu dan sampel persekitaran bagi pengesanan virus polio.

Dalam pada itu, katanya, bagi memastikan virus polio yang dikesan tidak terus menular di Malaysia dan menyebabkan poliomyelitis dalam kalangan mereka yang tiada imuniti terhadap jangkitan polio, aktiviti pemberian imunisasi polio akan diteruskan di kawasan tempat tinggal kes dan diperluaskan ke kawasan lain berisiko.

Artikel berkaitan : Wajib Ambil Vaksin Mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan Dari Perspektif Islam

“Ia bagi memastikan liputan imunisasi polio tinggi iaitu melebihi 95 peratus. Pendidikan kesihatan mengenai penyakit polio dan langkah pencegahan sudah diberikan termasuk penggunaan tandas sanitari dan penjagaan kebersihan diri termasuk tangan.

“Perlu diingatkan penyakit polio seperti banyak penyakit lain ditularkan melalui “fecal oral route.” Penduduk dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran sekiranya mempunyai gejala AFP atau memaklumkan pihak Kementerian Kesihatan sekiranya mengetahui terdapat kes sedemikian tidak mendapatkan rawatan.

“Untuk makluman, kes polio terakhir di Malaysia berlaku pada 1992. Pada Oktober 2000, Malaysia bersama negara Rantau Pasifik Barat diisytiharkan bebas daripada penyakit polio,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kejayaan pembasmian penyakit itu berikutan pencegahan melalui vaksin polio diperkenalkan di dalam Program Imunisasi Kebangsaan sejak 1972 dan diteruskan sehingga ke hari ini. Program tersebut dimantapkan lagi dengan pertukaran cara pemberian vaksin daripada secara oral kepada secara suntikan (Inactivated Polio Vaccine – IPV menggunakan virus polio yang sudah dimatikan) pada 2008.

Sumber : Harian Metro, Kementerian Kesihatan Malaysia

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×