Nama Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor tidak asing lagi dalam kalangan ibu bapa kerana beliau sering berkongsi pelbagai tips dalam mendidik enam orang cahaya mata.
Terbaharu, menerusi posting di laman Instagramnya, beliau mendedahkan rutin harian keluarganya di mana seawal jam 5.30 pagi sudah bermula.
Baca juga: Elak Takutkan Anak-Anak Dengan Ketinggian, Gelap & Serangga- Dr Sheikh Muszaphar
PERNAH LUPA JEMPUT ANAK, DR SHEIKH MUSZAPHAR TETAP NAK TAMBAH ANAK
Angkasawan pertama negara itu mendedahkan rutin harian keluarga mereka yang bermula seawal 5:30 pagi dan beliau serta isteri, Datin Dr Halina akan memulakan hari mereka dengan mendahulukan keperluan anak-anak, kemudian barulah menguruskan diri sendiri.
Bukan itu sahaja, mereka juga sentiasa memastikan agar salah seorang daripada mereka akan berada di rumah pada waktu makan tengahari, seterusnya menguruskan aktiviti anak-anak pada sebelah petang seperti sekolah agama, kelas mengaji, kelas tambahan, kelas taekwondo, dan kelas berenang.
Pasangan suami isteri ini juga tidak lari melakukan kesilapan dan mengakui pernah terlupa menjemput anak dari sekolah. Beliau mengakui kepenatan itu dapat dihilangkan hanya dengan sepatah ‘i love you daddy’. Beliau juga sempat berseloroh meskipun penat namun hasrat untuk menambah zuriat tetap ada.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial terutamanya kaum ibu turut bersetuju dengan posting Dr Sheikh Muszaphar dan menyifatkan kehadiran anak sememangnya rezeki yang tidak ternilai.
Sumber: Instagram Dr Sheikh Muszaphar